Berbezakah “Ah Long” dari syarikat kewangan berlesen?

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman dipetik oleh Bernama sebagai berkata bahawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Kewangan 2001 memperuntukkan hukuman berat terhadap peminjam wang tidak berlesen iaitu ceti haram atau "Ah Long".

Beliau berkata satu jawatankuasa kerja ditubuhkan untuk bertanggungjawab memastikan kempen kesedaran dijalankan secara berterusan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.


Akta itu memperuntukkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Beliau berkata sehingga kini sebanyak lima kes masih disiasat berhubung kes Ah Long termasuk kes terbaru yang membabitkan kekejaman Ah Long yang memperlakukan tiga lelaki seperti binatang dengan merantai leher dan kaki mereka kerana gagal membayar hutang, serta dikurung dalam "lokap" buatan sendiri.


Baguslah jika pihak kerajaan sedar akan ‘kekejaman’ komuniti ceti ganas ini. Bagaimana pula dengan bank dan institusi kewangan yang dihalalkan urusan kewangannya? Tidakkah ada kemungkinan bahawa taktik Ah Long juga digunakan bagi mendapatkan kembali pinjaman daripada peminjam yang tidak ada duit?


Bank dan syarikat kewangan juga turut menggunakan khidmat kaki pukul atau komuniti samseng serta entiti ‘pengutip hutang’. Dalam kes pinjaman kenderaan, salah satu cara yang digunakan ialah menyekat kereta di mana-mana sahaja dan bersoal-jawab dengan si peminjam secara baik tetapi ‘dengan nada dan muka penuh ugutan.’


Saya pernah menerima panggilan dari syarikat pengutip hutang yang menyatakan, “Encik kalau tidak bayar, harta benda Encik akan dirampas!”.
Nadanya sarat ugutan dan mengancam, tanpa mengira perasan orang. Apakah ini dibenarkan oleh undang-undang? Jika kaedah ini bersalahan dengan peraturan, mengapa pihak berwajib pekakkan telinga?

Si peminjam bukan sengaja tidak mahu membayar balik baki pinjaman. Cuma si peminjam mengalami masalah kewangan disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Sudah nyata bahawa sistem kewangan kapitalis yang mengamalkan riba (yang jelas haram di sisi Islam) amat menjerut leher dan kehidupan rakyat.


Itu belum termasuk lagi surat berupa ugutan dari syarikat pengutip hutang dan firma guaman kepada si peminjam. Ditambah pula setiap surat yang sampai akan dikenakan kos kepada si peminjam. Menambah beban lagi. Sudahlah memang tidak berduit, ditambah lagi dengan kos-kos yang entah apa-apa. Tidakkah syarikat kewangan dan firma guaman sedar (atau sengaja butakan mata dan hati) bahawa sudahlah tidak dapat membayar ansuran bulanan, tambah pula yang lain.

Ugutan yang dihalalkan ini semestinya menganggu emosi dan mendera jiwa si peminjam. Tidakkah ini juga termasuk dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Kewangan 2001?

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger