Gastrik penyakit bulan Ramadhan?

18 Syawal 1430H: Salam Aidilfitri 1430 Hijrah, sahabat. Maaf jika isu sakit gastrik sudah tidak sesuai untuk diperkatakan. Maklumlah Ramadhan telah berlalu dan Aidilfitri sedang rancak diraikan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Saya teringat antara perbualan dengan seorang sepupu di Besut semasa pulang beraya di sana. Dia khabarkan kepada saya bahawa satu ujian diterima semasa berpuasa Ramadhan tempoh hari, iaitu dia kena serang gastrik.

Sebelum ke klinik, sakit perut menyerang sebaik sahaja berbuka puasa. Perut memulas, badan sakit-sakit dan terasa mual. Mulanya dia tidak mengetahui apa puncanya.

Setelah dirujuk kepada doktor, sah bahawa dia kena gastrik. “Saya takut hendak mengatakan kepada saudara bahawa saudara kena gastrik,” kata doktor tersebut kepada sepupu saya.

“Saya pun tidak mahu tahu saya kena gastrik. Saya tidak akan tinggalkan puasa hanya sekadar gastrik,” jelas sepupu saya tanpa berselindung.

“Itu yang saya bimbang, takut ada orang berkata bahawa alasan tidak berpuasa kerana kena penyakit gastrik. Jadi saudara boleh terus berpuasa. Makan ubat gastrik selepas buka puasa dan semasa bersahur,” nasihat doktor.

Alhamdulillah, doktor Mukmin dan saudara saya itu berbaik sangka terhadap Allah. Tetapi ada segelintir manusia Muslim mencari-cari alasan untuk tidak berpuasa lantaran gastrik. Kalau sakit sikit pun, lekas-lekas pergi ke klinik dan meminta ‘sijil’ atau surat perakuan diserang gastrik. Masalahnya ialah hanya terjadi di bulan puasa. Alahai!

Altantuya: Dakwat kata Gedung Kartun - Zunar

Tidak ada apa yang kami dapat ucapkan dari naskhah sulung Geding Kartun ini melainkan harapan besar agar ia dapat diterima sebagai sebuah media alternatif oleh pembaca, peminat kartun dan rakyat Malaysia.

Kami berbangga kerana dapat turut sama menyumbang ke arah menambah dan memeriahkan khazanah majalah humor di Malaysia.


Namun matlamat sebenar kelahiran Gedung Kartun bukan sekadar itu saja, tetapi untuk melahirkan sebuah majalah kartun alternatif, yang menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai.


Karya-karya kartun, karikatur dan rencana yang mengisi setiap muka surat Gedung Kartun tidak hanya bersifat lucu tetapi ia juga menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu-isu yang semasa.


Dan yang paling penting kartunis sendiri harus tampil menzahirkan sikap dan pendirian jelas dalam soal-soal pokok yang berkisar di minda dan bibir masyarakat serta jadi bahan perdebatan dari Parlimen ke warung-warung kopi.


Karya-karya begini hanya terlahir dari kalangan kartunis dan karyawan yang mempunyai kesedaran tinggi dan begitu perihatin dengan negara tercinta ini.


Selain saya sendiri, tulang belakang Gedung Kartun adalah dua kartunis muda, Jonos dan Ronasina. Semoga jejak langkah mereka menjadi ikutan ramai lagi kartunis muda dan Gedung Kartun menjadi medan karya untuk mereka mencipta nama di persada seni lukisan kartun tanahair.


Sebagai sifatnya naskhah sulung, tentu sekali Gedung Kartun mempunyai banyak sekali kelemahan, kekurangan dan kecacatan. Kami bersedia menerima komen dan maklum balas dari anda. Selamat membaca.


Boleh dibeli di www.kinibooks.com (Klik gambar untuk besarkan imej)


Berkaitan: Altantuya: KDN serbu pejabat majalah Zunar kerana karikatur Najib kibar bendera Mongolia

Gedung Kartun: Majalah Diramalkan Semakin Laku Keras Kerana Diharamkan

Najib Caricature/Altantuya: Problematic licensing laws hampers distribution

Alahai Musim Raya Alahai Pilihan Raya Kecil - Pyanhabib

Pyanhabib (tengah berbaju kemeja putih) di rumah novelis Ramlee Awang Murshid pada 14 Syawal 1430H, menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang disajikan oleh Lusiana Catering

Terasa baharu sahaja pemegang mohor raja-raja Melayu - yang saban tahun muncul di kaca TV, yang barangkali sudah lama melakukan tugasan ini, lama sebelum Malaysia kenal TV warna, gamaknya - umum 1Syawal jatuh pada Sabtu, 20 September.


Terasa rendang daging lembu baharu disendukkan dari kuali dan lemang raya baharu masuk ke mulut dan baharu sahaja hendak turun mencair ke perut.


Syawal masih tersangat awal dan Hari Raya masih sangat seronok untuk dirayakan.
TV terus-terusan berkeliaran dengan program hiburan dan berselirat dengan drama Hari Raya yang balik-balik muka itu-itu juga.

Di atas highway, berita melaporkan orang mati balik raya tidak pernah berkurang!


Dalam suasana inilah, dua gerombolan gedebe politik yang sentiasa bercakar sejak dahulu, kini dan selamanya, umumkan calon masing-masing untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.


Pengumuman ini terasa sedikit lain, kerana ia berlangsung dalam bulan raya di mana sebahagian daripada musuh, gedebe dan pencacai masih lagi berjabat salam meraikan semangat Aidil Fitri tanpa mempedulikan mereka pernah dan akan bermusuhan.


Semangat berhari raya ini sedikit sebanyak melupakan sejenak fobia pilihan raya kecil yang tidak habis-habis merasuk kepala orang politik segala peringkat hingga kepada tukang buka pintu kereta, tukang angkat beg dan tukang tekan butang lif.


Pantang ada Yang Berhormat sakit pening, apatah lagi sakit jantung! Macam selalu, strategi disusun, propaganda diatur, jentera digerak, kemudahan diperguna sebaik-baiknya dengan satu tujuan: Kuasa!


Dalam pilihan raya, menyeranah, menabur janji atau seliparkan musuh adalah dihalalkan. Sejak azali, orang-orang kampung adalah mangsa yang halal dan sasaran terbaik segala dakyah dan dakwah politik, yang sangat-sangat diperlukan sewaktu pilihan raya (ulang: sewaktu pilihan raya!).


Kerana terlalu kerap berlangsung pilihan raya kecil dalam jarak masa yang singkat, ada rakan berkata, Malaysia negara yang kaya pilihan raya tetapi, balik-balik pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri.


Dalam jenaka mereka bertanya, selepas ini siapa pula wakil rakyat - atau ahli Parlimen - yang mati?


Bayangkan kalau selepas ini tiba-tiba giliran Yang Berhormat ahli Parlimen (hemm...) mati mengejut, letak jawatan atau lompat katak dan bukan ahli Dewan Undangan Negeri!

(Pyanhabib
pernah berkhidmat sebagai penulis di ruangan sastera Utusan Malaysia tetapi kini beliau menulis ikut kepala otaknya sendiri.) (Sumber asal: mStar Online.)

Hidang air mineral Gau pun kecoh?

12 Syawal 1430H: Harakahdaily melaporkan bahawa kerana menghidangkan air mineral Gau kepada para tetamu VIP di kejohanan olahraga peringkat negeri Pahang di Bandar Jengka, ia telah menimbulkan kemarahan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang.

Air Gau dalam botol itu dihidang kepada para tetamu untuk merehatkan diri sementara menunggu majlis lain berjalan. Malangnya ia gagal menyejukkan tetamu sebaliknya mengundang kemarahannya.

Melihat sahaja botol air minuman berjenama Gau dihidangkan kepadanya, Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Haji Abdul Aziz Latif itu menyinga dan memarahi pihak urusetia.

Diantara kata-kata Pegarah itu kepada guru berkenaan ialah "Hey! Ada unsur-unsur politik ke ni?" dengan nada yang marah.

Air Gau bukannya milik parti politik PAS, malah tiada pun lambang parti di situ. BN lainlah, ada botol air minuman cap BN. Melatah pula Abdul Aziz ini. Nampak sangat kalut dan bengong dia ini.

Siapa yang bermain ‘unsur-unsur politik' di sini kalau bukan dia sendiri. Memalukan orang Pahang sahaja! Inikah mentaliti seorang pengarah pendidikan negeri?

Air Gau adalah antara air mineral yang popular di sekitar Jengka hinggalah ke Jerantut, Temerloh dan lain-lain kawasan di Pahang hatta keluar dari negeri itu. Air Gau dijual di kebanyakkan kedai runcit, pasaraya dan juga di stesen minyak Petronas. Ia adalah satu-satunya air minuman yang diusahakan oleh orang Melayu/Bumiputera.

Adakah kerana air minuman yang mempunyi bahan galian/mineral ini telah ditemui lebih kurang 20 tahun yang lalu oleh Tuan Guru Hj. Mohd Baqi Othman, maka Abdul Aziz kata ada unsur-unsur politik?

Air ini telah diuji oleh MARDI untuk mengetahui khasiat dan zatnya, keracunan dan bahayanya. Hasil uji menunjukkan air ini mengandungi ketumpatan serta kandungan bahan galian yang menyerupai air Zam-Zam.

Pemanduan 14 jam dari Rantau Panjang ke KL

12 Syawal 1430H: Hari Sabtu, 26 September 2009, saya bertolak ke Kuala Lumpur lebih kurang jam 11.30 pagi dari rumah adik di Rantau Panjang. Tanah Merah dilalui. Sebaik sahaja sampai di satu simpang kanan (terus ke Machang, kiri ke Kota Bahru) menuju ke Kuala Krai, jalan mula sesak. Kena getah! Saya lihat berderetan kereta di atas fly over dari Kota Bahru menuju destinasi yang sama. Bermulalah pemanduan menuju ke Kuala Lumpur yang memakan masa selama 14 jam!

Saudara bayangkan, mahu sampai ke persimpangan ke Gua Musang/Kuala Lipis sahaja memakan masa hampir 3 jam. Jalan sesak berlarutan sehingga ke hentian rehat Gua Musang. Saya ingatkan perjalanan ke Kuala Lipis agak lancar. Sangkut juga! Aduhai.

Sudah sampai masanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan menyediakan sebuah lebuhraya dari Bentong ke Kota Bahru bagi melancarkan perjalanan pulang-balik anak-anak Kelantan serta rakyat yang mempunyai saudara-mara di Kelantan/Besut. Saya pernah memandu selama 12 jam dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang pada Aidilfitri ke-2 beberapa tahun lepas. Tahun ini pula memakan masa 14 jam ke Kuala Lumpur. Memang letih dan tension. Nasib baik saya tidak rushing, jadi bawa perlahan-lahan. Bagi yang kurang sabar, apa lagi, potong cue lah! Geram juga saya, tetapi mahu buat macam mana.

BACA CERITA PENUH.

Halal Food & Catering Services: Lusiana Catering

Copyright © 2010 - Buana Ini - is proudly powered by Blogger