Menurut seorang ustaz dari tazkirahnya (saya lupa nama beliau) individu yang memperoleh doa kesejahteraan para malaikat pada malam al-Qadar akan ada tanda-tandanya di dunia. Antaranya ialah semua anak-anak akan menjadi ‘orang’, iaitu berjaya dalam kehidupan dan baik perilakunya. Kalau berniaga, bisnes sikit sahaja terus menjadi. Tiada sebarang masalah dalam rumahtangga, serta rezeki sentiasa melimpah ruah.
Zuriat keturunan jadi orang baik-baik kerana ia akan turut terbawa-bawa ke generasi kita seterusnya.
Alangkah beruntungnya insan yang beramal/qiam di malam al-Qadar dan menerima doa kesejahteraan para malaikat yang terus diangkat ke hadrat Allah tanpa hijab. Rintihan, hajat, doa, harapan, pengaduan dan amal akan disambut oleh Allah secara terus.
Jika doa, hajat dan harapan sudah termakbul, apa tanda-tanda segera kepada individu? Dia bertambah baik, tenang, pasrah. Individu itu sendiri akan terasa sejuk hatinya, tanpa risau. Orang lain akan perasan bila sampai waktunya, iaitu orang mungkin akan berkata, “Wah! Dia sudah berubah.”, “Baiknya dia sekarang ini.”, “Bersinar dan bersih air mukanya.”
Walau apapun, semoga malam yang masih berbaki ini kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada al-Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu.
Bukankah hidup ini sebuah perjuangan sebelum dipanggil kembali mengadap Allah?
0 comments:
Post a Comment