Cukup hanya ‘membaca’ al-Quran?


“Keldai hanya pandai memikul al-Quran dan kitab (buku) di atas belakangnya tetapi sedikit pun tidak tahu, tidak berminat mengambil tahu maksudnya.” (Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat)

Ada segelintir ahli atau penyokong Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang berkata bahawa cukup hanya ‘membaca’ al-Quran. Tidak usah mempromosi untuk membaca buku / kitab lain. Ini dikatakan kepada saya dalam satu ruangan borak di internet pada satu ketika. Sama ada sahabat itu sombong, angkuh ataupun takbur, membayangkan bahawa dia sudah cukup ilmu dalam memperjuangkan Islam.


Patutlah presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang, pernah mengatakan bahawa ahli-ahli PAS kurang membaca untuk mendalami selok-belok politik Islam. Itu belum termasuk lain-lain disiplin ilmu.


Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran, surah Faathir ayat 28, maksudnya:
"Dan demikian pula manusia, binatang-binatang melata, dan binatang ternak berbagai-bagai macam warnanya. Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
Mengikut tafsir, perkataan “ulama” dalam ayat di atas merujuk kepada para ilmuan yang mengetahui bidang air, tumbuh-tumbuhan, gunung, manusia, dan bintang. Juga termasuk dalam kategori ini ialah cerdik pandai dalam bidang ICT di zaman mutakhir ini.

Dengan menyebar luas ilmu-ilmu Islam dan ketuhanan menerusi Internet, contohnya, dengan kesedaran bahawa memang amat perlu medium ini digunakan, maka sedikit sebanyak para ilmuan dapat menangkis cemuhan pihak Barat terhadap Islam. Bukankah al-Quran menyuruh umat Islam menimba ilmu? Itu suruhan yang datangnya dari Allah, dalam al-Quran, supaya digali ilmu dari sumber lain.


Dalam bidang falsafah dan sosial, dunia Islam perlu menangani cabaran fahaman tertentu seperti sekularisme, keneutralan nilai, Islam liberal dan seumpamanya. Di samping itu fahaman kebendaan, penentuan (determinism), teknosentrisme dan evolusionisme harus dipastikan tidak meresap telus tanpa tapisan, begitu juga dengan fahaman pecah dan takluk serta kehilangan nilai pengetahuan yang menjadi amalan pihak barat.


Tidakkah saudara sedar apabila semakin ramai manusia mula menghargai ilmu pengetahuan, maka terbentuknya khutub khanah atau apa yang dinamakan perpustakaan sekarang ini. Munculnya pusat-pusat pengajian ilmiah, seperti Univeriti Al-azhar di Mesir dengan dilengkapi oleh sebuah khutub khanah yang besar dan menyimpan pelbagai buku dalam pelbagai disiplin pengajian terus menyemarakkan aktiviti penyebaran ilmu.


Cukupkah hanya ‘membaca’ al-Quran? Bukankah Allah menyuruh penganut Islam supaya memahami dan mengkaji al-Quran? Ingat istilah tadabbur?


Banyak rujukan boleh kita dapati dalam kitab suci al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W dari sudut betapa pentingnya Islam menempatkan usaha mencari pengetahuan, dan dalam memahami alam semula jadi dan cakerawala. Islam menggalakkan kaedah pertanyaan secara saintifik atau lebih tepat lagi kaedah kajian dan penelitian.

Sesungguhnya kemajuan sains Islam telah diketahui umum. Dari tahun 750 Masihi hingga 1050 Masihi telah menyaksikan penemuan sains Islam dalam bidang geografi, kosmologi, fizik, matematik, astronomi dan perubatan. Kebanyakan pengetahuan tersebut adalah dalam kategori sains gunaan. Justru itu perkembangan sains pada era tersebut berkait langsung dengan teknologi, dan ianya benar sehingga kini.


Sains dan teknologi Islam telah membangkitkan era Pembaharuan Eropah yang mana sebelum itu kalangan Kristian melalui pegangan golongan agama gereja menganggap bahawa sains adalah suatu aliran sihir yang berunsur syaitan. Sejarah merakamkan bahawa ada ahli sains pada waktu itu dibunuh kerana mempunyai pendapat berbeza dengan pegangan gereja, walaupun itu adalah penemuan sains oleh cerdik pandai mereka.


Malangnya, bemulanya era Pembaharuan Eropah juga bermulanya zaman kemunduran sains Islam. Ini kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dengan saintis, sama seperti pertentangan yang ada di kalangan Kristian sebelum era pembaharuan. Dan lebih malang lagi wujudnya pendapat bahawa pengkajian saintifik adalah unsur-unsur barat yang harus ditentang. Pegangan ini masih lagi melingkari segelintir masyarakai Islam sehingga kini.


“Aku amat menggalakkan terbinanya perpustakaan di rumah. Milikilah ia di rumah walaupun kecil, di mana di dalamnya terdapat kitab-kitab agama, buku-buku tulisan penulis seantero dunia yang dapat kita cedok ilmunya, serta kaset atau CD berfaedah bagi santapan telinga dan nurani.” (Petikan: Buku Bidadari Dari Timur)
‘Terdapat banyak buku di dalam perpustakaan bapa kita. Kita telah sama-sama meneliti buku-buku tersebut sendiri. Nama buku-buku tersebut dicetak dengan huruf-huruf berwarna emas. Kadangkala kita meneliti kitab ‘Nisapur’; kitab ‘Qustalani’; dan kitab ‘Nail Al-Authar’.

Bukan saja bapa kita telah membenarkan kita membaca buku buku di perpustakannya, bahkan beliau juga menggalakkan kita berbuat demikian. Kau selalu mengatasi saya dari segi ini. Saya cuba mengikut jejak langkahmu tetapi saya tidak mampu. Kau adalah seorang yang luar biasa. Walaupun perbezaan umur kita hanya dua tahun, tetapi Allah telah menyediakan engkau untuk pencapaian yang luar biasa.’
(Petikan: Detik-Detik Hidupku: Hassan al-Banna)
Berkaitan: Jadi ulat buku pun tidak digalakkan?
(Gambar atas: Antara buku-buku karangan 3 Tok Guru)

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger