Kualiti Perjuangan – Dr. Maza

16 Ramadhan 1430H: Di bawah merupakan sebahagian komentar atau pandangan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis) berkenaan kualiti sesuatu perjuangan. Saya teruja dan ingin berkongsi ilmu yang Dr. Maza turunkan ini, insyaAllah. Buka mata hati saudara bagi memahaminya.

Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu samada di tempat awam, tertutup atau melalui surat dan email yang menyebut: “saudara, saya penyokong anda”, atau “saya peminat anda”, atau “saya berikan sokongan penuh perjuangan anda”.


Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: “apa yang anda sokong?”, “apa yang anda minat?”. Alhamdulillah, ramai yang menjawab: “saya pembaca setia tulisan anda”, atau “saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media”, atau “saya sering menghadiri kuliah anda”.


Namun jika ada yang menjawab “saja, seronok-seronok” atau “kawan saya sokong anda, saya pun join kelab mereka”, atau “sekadar trend terkini” tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.


Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan ‘keramaian’ dan ‘faedah sampingan’ yang diperolehi.


Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda, bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihanraya.


Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan. Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket, atau ‘makan percuma’.


Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerana ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya; perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata, atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang menyebabkan segala idealismanya ditelan isu-isu peribadi.


Menetapkan halatuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun utama dalam meneruskan perjalanan hidup. Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan? Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?.


Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang.
Kejelasan matlamat dan halatuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.

Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan jawapan serta memahamkan pengikut mereka ‘bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul? Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut?, maka kita akan dapati kelangsungan perjuangan berkenaan. Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya.

Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.


(Sumber: Blog Minda Tajdid Dr. Maza)

*** Saya pengusaha
perkhidmatan katering. Andai saudara memerlukan perkhidmatan katering untuk keraian Aidilfitri 1430 Hijrah, sila hubungi saya. Perkhidmatan merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Kita boleh berbincang, insyaAllah.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger