12 Ramadhan 1430H: Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar mencadangkan satu penstrukturan semula dibuat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pembersihan ke atas semua anggota yang didakwa terlibat dengan kumpulan kongsi gelap seperti yang pernah didakwa.
Beliau turut mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat segala dakwaan yang membabitkan Ketua Polis Negara (Tan Sri) Musa Hassan sendiri. Penubuhan suruhanjaya berkenaan penting ujarnya kerana pihak polis sendiri tidak berupaya menyiasat kes membabitkan pasukan polis dengan kumpulan kongsi gelap.
Mahfuz juga yakin masih ramai calon yang layak menggantikan tempat Musa sebagai Ketua Polis Negara. "Saya percaya sudah tentu ada calon yang terbaik dalam negara kita dan itu kita serah kepada Yang Dipertuan Agong untuk mempertimbang calon-calon di kalangan pegawai polis yang mempunyai integriti yang tinggi," katanya.
Pada 2007, Musa Hassan didakwa terbabit menerima suapan sebanyak RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gangster. Blogger Raja Petra Kamaruddin dalam blognya Malaysia Today Sabtu lalu pula menyiarkan akuan bersumpah yang didakwa dibuat seorang pegawai polis yang pernah menjadi pembantu peribadi Musa.
Antara dakwaan pegawai polis itu, Musa membiarkan penjenayah memanipulasi kenaikan pangkat anggota polis dan jawatan mereka. Beliau juga mendakwa diarahkan untuk menyelaraskan arahan mengenai pangkat dan jawatan para pegawai polis berdasarkan draf dan cadangan yang dibuat oleh (ketua sindiket) BK Tan.
Musa juga dituduh mengarahkan supaya diwujudkan blog tanpa nama pemiliknya untuk menuduh timbalan menteri dalam negeri ketika itu Datuk Mohd Johari Baharum menerima rasuah RM5.5 juta daripada tiga kepala penjenayah.
Sehubungan itu, Mahfuz meminta kerajaan mempertimbang cadangan untuk menyambung perkhidmatan Musa yang jelas tecalar dengan dakwaan-dakwaan negatif.
0 comments:
Post a Comment