Biro Tatanegara sarat propaganda perkauman

Saudara, semasa di universiti di tahun-tahun 1990-an, saya tidak pernah menghadiri program anjuran Biro Tatanegara. Namun begitu, dakwaan bahawa biro ini digunakan sebagai medan bagi mendoktrinkan para pelajar dengan fahaman hagemoni UMNO/BN sudah lama kedengaran.

Malah ramai pelajar, saudara-mara, juga rakan-rakan yang menceritakan bahawa "Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah Keadilan (PKR) ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat.”

Slogan 1Malaysia kedengaran di mana-mana. Semua stesen TV tempatan mengalunkan irama 1Malaysia. Irama yang muluk dan indah. Hakikatnya hanya Allah yang Maha Tahu. Justeru itu, saya kira, dengan 1Malaysia, program BTN amat wajar dikuburkan oleh kerajaan pusat.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat (PR) menggesa kerajaan Selangor supaya berhenti menghantar mahasiswa di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri ke program anjuran Biro Tatanegara (BTN) kerana ia didakwa menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar. Laporan Malaysiakini di bawah.

Sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor menggesa pemulauan program agensi bawah Jabatan Perdana Menteri itu melalui satu surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


ADUN Batu Caves, Amirudin Shari berkata bantahan itu dibuat memandangkan sebahagian pengisian program berkenaan didapati tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu.


"Sebaliknya ia merupakan program politik kepartian Umno-BN dan perkauman semata-mata," kata wakil rakyat PKR itu sebagai jurucakap kumpulan ADUN tersebut kepada media selepas persidangan DUN hari ini.


Wakil-wakil yang turut hadir pada sidang media itu, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).


"Justeru kita berpandangan kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengarahkan jemaah (senat) universiti untuk menghalang pelajar daripada menghadiri program BTN," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR, lagi.


Pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan Selangor termasuk Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.


Amirudin juga memberikan alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga tidak mewajibkan pelajar menghadiri program anjuran biro berkenaan.


"Tapi sepanjang pengalaman saya di universiti dan saya percaya perkara ini turut dipropagandakan kepada para pelajar, mereka perlu hadir program BTN.


"Jika tidak, mereka tidak akan lulus. (Dakwaan) ini sesuatu penipuan," tambahnya ketika membacaknya kenyataan bersama mereka.


"Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman (negara) luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja."


Seorang lagi wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, sebagai seorang pelajar tajaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau sendiri - yang pernah mengikuti program BTN - mendapati ia tidak sepatutnya wujud apabila kerajaan sedang bercakap tentang 1Malaysia.


"Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah (parti) Keadilan ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat," katanya.


"Itu saja yang disertakan dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian yang sepatutnya tidak wujud sebagai satu program bawah JPM."


Tambahnya, peserta juga "dimomokkan" tentang tentang "ancaman orang Cina" dalam program yang disertainya itu.


"Ada beberapa mahasiswa (berbangsa) Cina yang hadir (dalam program tersebut). Saya boleh bayangkan betapa mereka rasakan diri mereka begitu takut dalam situasi tersebut kerana modulnya sendiri bersifat perkauman," katanya.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger