Buku terjemahan hadis perlu penerangan di mana patut

Buku 300 Hadis Bimbingan susunan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam elok matlamatnya. Ianya mengandungi 300 hadis sahih utama yang mencakupi bidang kehidupan harian dan disusun mengikut tajuk tertentu seperti ilmu, beramal, berjemaah, hal ehwal Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam), para sahabat, rukun Islam dan iman, solat, al-Quran dan banyak lagi.

Susunan tajuk sudah molek. Menurut penerbit, hadis dalam buku ini disampaikan melalui teks yang mudah dibaca dengan terjemahan jelas. Untuk kes ini, saya ingin menyatakan pandangan. Ada kekurangan dalam menterjemahkan sebahagian hadis-hadis utama dalam buku ini.

Bahasa Melayu yang digunakan tidak kontemporari dan masih mengekalkan bau-bauan Arab. Justeru masih bernahu atau berbau Arab, maka makna menjadi samar. Kesamaran itu pula tidak dijelaskan oleh penyusun. Walaupun ada sedikit penjelasan bagi beberapa hadis, ianya jauh dari mencukupi.

Walaupun begitu, usaha menyusun buku ini amat baik. Cuma penyusun perlu mengambil perhatian berat dalam menjelaskan makna hadis yang kurang jelas bagi majoriti umat Islam.

Saya bukan dari aliran agama. Begitu juga majoriti masyarakat Islam Malaysia. Saya takut pembaca akan keliru dan justeru itu ilmu yang hendak disampaikan oleh Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam) tidak kesampaian. Terjemahan ke bahasa Melayu mesti disusun semula supaya memperoleh maksud yang jelas dan sesuai seumpama Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) bercakap dalam bahasa Melayu.

Bagi tuan dan puan yang sudah biasa dengan blog ini, tentu akan perasan bahawa saya mengulangi persoalan yang sama, iaitu penggunaan bahasa atau istilah Arab dan terjemahan berbau Arab. Memang saya perlu ulangi dan terus akan membebel terhadap perihal ini.

Penulisan dan penterjemahan buku-buku agama masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya teringat satu pernyataan yang dikemukakan oleh bekas ketua eksekutif dan presiden MIMOS Berhad, Tengku Datuk Dr. Mohd. Azzman Shariffaden, semasa saya bekerja di sana. Lebih kurang begini,
“Ramai antara para penyelidik di MIMOS ini syok sendiri bila menulis. Kamu orang menulis berkenaan hasil penyelidikan yang dicapai, tetapi ramai yang tidak faham!”
Fenomena ini juga benar terhadap penulisan buku-buku agama, terjemahan hadis dan kupasan tentang sesuatu hukum dalam Islam. Ramai para lulusan sarjana Islam tempatan menulis secara syok sendiri, seolah-olah dia sahaja yang mahu baca hasil tulisan itu.

Saya tidak memperlekehkan ilmu yang dimiliki oleh Ustaz Zahazan maupun saudara Ahmad Hasan, Namun jangan orang kata bahawa Ustaz Zahazan memang pandai berceramah, tetapi tidak pandai menulis. Maaf ustaz, itu pandangan saya demi kebaikan, insyaAllah.

Judul: 300 Hadis Bimbingan: Ke Arah Mencari Reda Allah
Penerbit: Telaga Biru Sdn. Bhd, cetakan pertama Januari 2007
ISBN: 983-3494-68-4
Harga: RM25.90 (Sem. Malaysia) & RM27.90 (Sabah & Sarawak)
Muka surat: 205, hardcover

2 comments:

Anonymous said...

Yakin ka buku tu Ustaz tu tulis...?!!! pakai nama ajer kot.

Try tanya penulis sebenar Ustaz Ahmad Hasan..

jailur_rashied@yahoo.com

Web Sutera said...

Assalamualaikum sdr. Anon. Nama yang dicetak di buku itu ialah kedua-dua nama ustaz Zahazan & Ahmad. Jadi menurut hemat saya merekalah yang menyusunnya. Tidak pasti pula sekiranya Telaga Biru hanya menggunakan nama ustaz-ustaz tertentu demi untuk melariskan bukunya. Ini Telaga Biru wajib jawab sendiri. Jika benar telahan bahawa penerbit ini hanya 'menggunakan' nama, maka ia amat malang sekali.

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger