Bajet 2011: Beberapa pertanyaan dan komentar

8 Zulkaedah 1431H - Bajet 2011 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, seiring dengan transformasi yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Itu kata seorang menteri dalam kerajaan. Namun pertanyaan dan pemerhatian saya pula seperti berikut:

- Keperluan untuk membina satu bangunan pencakar langit 100-tingkat berhampiran Stadium Merdeka dan Stadium Negara tidak berapa jelas justifikasinya. Kawasan Lembah Klang kini mempunyai bekalan ruang pejabat dan kediaman yang berlebihan. Berdasarkan analisis semasa, masalah ini dijangka akan berterusan sehingga menyebabkan letusan gelembung hartanah menjelang pertengahan 2011.

- Pihak kerajaan atau EPF perlu memberi justifikasi kenapa wang simpanan rakyat dianggap sesuai untuk digunakan bagi projek pembangunan tanah kepunyaan Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh yang akan dibiayai oleh EPF sebanyak RM10 billion untuk tempoh 15 tahun.

- Pihak EPF akan meningkatkan pelaburan luar negara dari 7 peratus ke 20 peratus dari jumlah aset yang diuruskan. Saya melihat ini sebagai satu risiko yang melibatkan wang rakyat diguna untuk membangunkan ekonomi luar sedangkan ekonomi negara lebih memerlukan sebarang bentuk pelaburan.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh memberi bonus satu bulan gaji kepada kakitangan awam kerana “tindakan itu akan memberi implikasi kewangan besar iaitu sebanyak RM3.1 bilion.”

Katanya, “selaku menteri kewangan yang bertanggungjawab, beliau tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.”

Namun tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa antara projek mega yang disebut oleh PM Najib dalam pembentangan bajet 2011, ialah projek pembangunan Warisan Merdeka di kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara membabitkan pembinaan menara setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion, transit beraliran berkapasiti tinggi (MRT) bernilai RM40 bilion dan juga projek Perkongsian Awam Swasta (PPP) bernilai RM12.5 bilion di mana kerajaan akan menyediakan dana fasiliti berjumlah RM1 bilion.

Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bajet itu tidak mencapai objektif isu utama iaitu menangani defisit yang sedang dihadapi. Katanya, ia menumpukan kepada projek mega yang hanya akan menguntungkan kroni UMNO-BN, lapor agensi berita Agencies.

“Najib langsung tidak menyentuh isu penyelewengan dan rasuah dalam pembentangan belanjawannya.Terlalu banyak tumpuan diberikan kepada imbuhan tapi rakyat tidak akan dapat menikmatinya.” (Lapor Agencies)

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang berkata,
"Kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM5 billion, sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manfaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja.

"Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka. Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan UMNO-BN."
Pada hemat saya, kerajaan mestilah berhati-hati melaksanakan projek yang memakan belanja besar. Sungguhpun projek-projek ini dikatakan akan ditanggung oleh sektor swasta, namun saya berharap kesilapan dan pengajaran dari projek infrastruktur pengangkutan yang lepas seperti LRT, monorail dan ERL yang tidak berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur digunakan sebagai panduan oleh pihak kerajaan dalam memberi kelulusan.

Di samping itu, meskipun projek ini akan dibiayai dan dilaksanakan oleh syarikat swasta, ketelusan tidak boleh diabaikan. Semestinya projek-projek besar seperti MRT akan diberi melalui sistem tender terbuka dan projek-projek ditawarkan kepada syarikat yang mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat, bukannya berdasarkan siapa baik dan rapat dengan ‘orang itu’ dan ‘orang ini’ (baca kroni UMNO-BN) yang dapat projek.

(Lukisan grafik menara di atas diambil dari laman web Malaysiakini)

Dua perkara yang saya setuju, seperti berikut:
Gaji pokok minimum pengawal keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011.

Skim Rumah Pertamaku bantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah. Kemudahan untuk memiliki rumah pertama, dengan kerajaan menjaminkan 10% wang pendahuluan bagi rumah berharga di bawah RM220,000 membolehkan golongan muda mendapat pinjaman 100% untuk membeli rumah.
Berkaitan: Intipati Bajet 2011
Bajet 2011 – membawa negara ke arah mana?


0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger