Kelantan bukan sekadar juara piala Malaysia

23 Zulkaedah 1431H - Untuk pertama kalinya aku mahukan sebuah pasukan bola sepak menang dalam pertandingan mengejar juara. Pasukan negeri Kelantan sudah memberikan aku satu kepuasan. Bagi sebahagian besar perlawanan bola sepak di Malaysia, Eropah, liga EPL, liga Sepanyol, Bundesliga, liga Itali atau Piala Dunia, aku hanya suka menonton aksi bintang-bintang dan ingin melihat gaya permainan mereka. Aku tidak kisah pasukan mana yang menang, janji best team win.

Tetapi malam tadi aku mahu Kelantan menang. Tahniah Kelantan. Kalian memang layak untuk menang, walaupun permainan di separuh masa pertama hambar. Tahniah kepada Tan Sri Annuar Musa. Tahniah kepada penyokong dan pendokong Kelantan dengan memberi rona kemerahan yang melaut di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ianya suatu fenomena!

Inilah yang terjadi


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan yang memenangi Piala Malaysia 2010 malam tadi. Ustaz Hadi berkata, kemenangan itu merupakan hadiah kepada rakyat Kelantan sempena 20 tahun pemerintahan Islam di negeri itu.


"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat Kelantan kerana telah menjuarai Piala Malaysia 2010."

Kerajaan PAS Kelantan rakam ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak The Red Warriors (aku ada sehelai baju-t The Red Warriors) di atas kejayaan menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ber
kata, dengan kemenangan itu sekali gus Kelantan berjaya menebus kekalahannya di tangan Negeri Sembilan 1-3 pada saingan akhir musim lepas.

“Tahniah kepada pemain yang telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga dinobat sebagai juara siri perlawanan bola sepak Piala Malaysia yang sememangnya menjadi idaman rakyat selama masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya lagi, kemampuan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan
(Kafa), Tan Sri Annuar Musa telah mencipta sejarah baru arena bola sepak negeri ini. (Foto di atas dari Sinar Harian)

Berkaitan: Kempen bertukar jadi demam Piala Malaysia


Laporan dari Harakahdaily pula begini: (Foto dari laman FB pendokong Kelantan)
Julang Piala Malaysia: Kelantan isytihar cuti

Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.

Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

"Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Manakala Kelantan memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan, Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad. Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini. (Laporan
Nazri Abdullah, Harakahdaily)

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger