PM Najib perlu mohon maaf dari Sheikh Yusuf Qaradhawi

25 Rabiulawwal 1432H - Saya ikuti perkembangan ini. Walaupun PM Najib sudah menafikan apa yang dituduh, namun ianya amat kabur. Menghina seorang tokoh ulamak bernama Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi (foto) dengan tuduhan terlibat dalam kegiatan terrorisme merupakan ujana yang disadur dari Barat dan Israel yang merupakan terroris sebenar. Mengapa PM Najib mengambil acuan dari Barat yang diketuai pentadbiran Amerika Syarikat dan Israel memberikan pelabelan terhadap ulamak Islam yang sudah banyak berjasa kepada dunia Islam?

Bagi saya sekiranya benar apa yang dituduh PM Najib itu, maka itu amat tidak patut. Masih banyak lagi sosok yang benar-benar bersifat terroris, terutamanya pemimpin Israel dan bekas presiden Amerika Syarikat Bush (anak dan bapa) yang perlu diberi teguran dan kutukan.


Laman berita Malaysiakini melaporkan:

“Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak pernah melabelkan gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai pengganas.

“Perdana Menteri berkata sebaliknya gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap sebagai kumpulan ekstrem.”
Islam, Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi, Ikhwanul Muslimin dan Hamas di Palestin bukanlah terroris. Pelabelan terroris itu datang dari Barat (Amerika Syarikat) dan Israel. Mengapakah sebuah negara berdaulat seperti Malaysia yang dipimpin oleh PM Najib terlalu menurut telunjuk mereka? Islamofobia itu dimomokkan oleh Barat dan Israel. Telunjuk siapa PM Najib mahu ikut, Islam atau Amerika Syarikat dan Israel?

Apakah kerana pandangan
Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin berbeza dari pandangan dan pendekatan PM Najib, justeru PM Najib berkata demikian? Apakah kerana PAS di Malaysia memberi sokongan jitu kepada ulama tersebut serta menyokong kukuh perjuangan Ikhwanul Muslimin dah Hamas membuatkan PM Najib lupa diri?

Dalam perkembangan ini, Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim berkata, “
Laporan National Review ada memetik ucapan Dato' Sri Najib Razak di Turki yang dikatakan sarat dengan prasangka buruk terhadap ulama terkemuka Sheikh Yusuf al Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin. Perdana Menteri dilaporkan menggesa agar Ikhwanul Muslimin disisihkan dari agenda perubahan di Mesir kerana masih terlibat dengan keganasan. Pendapat seperti ini malahan dikritik oleh pelbagai institusi dan intelektual. Dunia kini menggesa agar Amerika Syarikat dan Eropah untuk tuntas bekerjasama dengan Ikhwan.”

“Saya terpanggil untuk menegur Perdana Menteri kerana pandangan sebegini jelas dianggap terpencil dan mewakili pandangan dasar luar ekstrem kanan di Amerika Syarikat. Adakah ini sebahagian dari agenda syarikat penasihat demi membaiki imej Dato' Sri Najib di Amerika Syarikat?

“Kenyataan terbaru Najib Razak juga membuka pekung kecurigaaan pemimpin tersebut terhadap ulama dan gerakan Islam seluruh dunia yang kini kian giat menyertai proses demokratisasi. Sekiranya Perdana Menteri mempunyai kebimbangan terhadap sosok seperti Sheikh Yusuf al Qaradawi, mengapa anugerahkan beliau Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun 2009/1431? Sekiranya terbukti benar tohmahan Najib Razak terhadap Sheikh Yusuf al Qaradawi, saya menuntut Perdana Menteri agar segera memohon maaf dari ulama tersebut.”

Di bawah ialah kenyataan penuh Tuan Mohamed Azmin Ali dari PKR.


Kenyataan sembrono Perdana Menteri Najib Razak mengenai Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan Ikhwanul Muslimin tidaklah memeranjatkan. Kenyataan menolak penyertaan Ikhwanul Muslimin dalam menentukan haluan politik Mesir dan Timur Tengah hanyalah semata-mata bertaklid dengan pendirian Amerika Syarikat.


Sebagai pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Najib telah menyinggung ulama tersohor dunia Islam dan seluruh warga Muslim di atas kenyataan tidak bertanggung jawab beliau di Istanbul, Turki yang dipetik oleh National Review Online pada 23 Februari 2011 bertajuk Malaysian PM: Muslim Brotherhood Must Renounce Violence or Be Left Out.


Demokrasi adalah proses politik yang bersifat inklusif. Satu proses politik yang menolak penyertaan sebahagian dari anggota masyarakat adalah bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi.


Sejak penubuhannya dalam tahun 1928 Ikhwanul Muslimin telah terlibat secara langsung dalam perjuangan rakyat Mesir melawan penjajahan. Ikhwanul Muslimin juga pendukung terkuat kepada perjuangan rakyat Palestin.


Sejak diharamkan dalam tahun 1954 Ikhwanul Muslimin menjadi mangsa kepada kezaliman rejim tentera Mesir. Meskipun ditekan selama berdekad-dekad Ikhwan terus kuat dan merupakan organisasi yang paling konsisten melawan kezaliman pemerintahan tentera dan rasuah di negara tersebut.


Mereka yang berpandangan Ikhwan Muslim perlu dikeluarkan dari proses politik Mesir pasca Mubarak dan pasca rejim tentera adalah jahil terhadap sejarah politik Mesir dan aspirasi rakyat negara tersebut. Ikhwan adalah sebahagian dari rakyat Mesir dan merupakan kumpulan yang paling sedar terhadap kezaliman rejim Mubarak dan keperluan demokrasi di Mesir.


Kenyataan Perdana Menteri yang mengaitkan Sheikh Yusuf Qaradhawi dengan keganasan dan terorisme menunjukan Dato' Sri Najib telah menjadi perkakas kepada propaganda Israel yang mendapat dukungan daripada golongan ekstrim dalam dasar luar Amerika Syarikat.


Sheikh Yusuf adalah ulama' yang paling tegas memperjuangan hak rakyat Palestin. Oleh itu, propaganda Israel dan penyokong-penyokongnya di Amerika cuba menggambarkan Sheikh Yusuf sebagai penyokong keganasan.


Perdana Menteri harus sedar bahawa Sheikh Yusuf adalah ulama' dunia Islam yang paling berpengaruh dewasa ini. Selama berdekad-dekad Sheikh Yusuf telah berjuang melalui tulisan dakwah beliau untuk melawan golongan ekstrimis dalam Islam dengan mengemukakan falsafah kesederhanaan (al-Wasatiah) dalam Islam.


Maka mengaitkan Sheikh Yusuf, yang juga Tokoh Maal Hijrah (Malaysia) tahun 2009, merupakan satu kejahilan yang tidak boleh dimaafkan. Kerana keceluparan tersebut saya menuntut Perdana Menteri memohon maaf kepada Sheikh Yusuf Qaradhawi.

-- Kenyataan penuh dari Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, 26 Februari 2011

Berkaitan:
Regim Hosni Mubarak tidak sedar, tidak faham, buta dan pekak - Syeikh Yusuf Qardhawi

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger