5 Jamadilakhir 1432H - Raja dan rakyat negara Macedonia bakal meraikan satu lagi perkahwinan diraja. Kali ini Raja Philip menjadi hos kepada perkahwinan anak perempuan pertamanya hasil perkahwinan dengan Permaisuri Olympias.
Pengantin perempuan itu juga ialah adik Alexander. Acara ini sudah dirancang menjadi satu majlis gilang gemilang. Ramai tetamu kehomat dari rakan sekutu Empayar Greek dijemput. Semua mereka datang, sama ada secara sukarela mahu pun terpaksa, demi menghormati Raja Philip.
Dalam pada itu, angin semilir terus bertiup membawa gosip dan desas-desus akan perpecahan di kalangan keluarga diraja Macedonia sejak lebih setahun lalu. Perkara ini tidak dapat dielakkan justeru kerana Raja Philip mengahwini Eurydice, seorang gadis bangsawan dari kalangan keluarga diraja
Majlis perkahwinan bakal dijalankan di salah sebuah istana diraja Macedonia yang terletak di satu kaki bukit. Sudah beberapa hari majlis keramaian pra-perkahwinan berjalan. Di sekeliling istana dan lereng-lereng bukit dipasang dengan lampu-lampu jamung menjelang malam. Esok ialah hari yang ditunggu-tunggu. Suasana amat meriah dan bercahaya. Pelbagai acara budaya Greek dan Macedonia dipersembahkan, termasuk acara suka atletik, persembahan artis nyanyian, magik, pementasan teater dan bacaan puisi.
Sebaik fajar menyinsing, panji-panji kebesaran diraja Macedonia diarak melalui satu kawasan lapang yang disediakan khas untuk majlis itu. Tetamu kehormat dan rakyat jelata sudah sedia menunggu, penuh sesak.
“Sila semua pengawal tinggalkan beta,” titah Raja Philip kepada semua pengawal peribadinya bagi mempastikan para tetamu senang dengan baginda tanpa kawalan. Hanya dua orang puterinya, anak lelakinya Alexander dan bakal menantunya menemani baginda memasuki dewan khas.
Raja Philip tidak sempat memasuki pintu masuk dewan. Di hadapan pintu gerbang yang dihias indah, seorang pengawal peribadi muda melanggar perintah baginda dan berlegar-legar santai di belakang pegawai-pegawai istana. Sebaik sahaja Raja Philip menghampiri pintu gerbang di hadapan pintu masuk dewan, lelaki itu bergerak pantas dan terus membenamkan mata pisau Celtik ke bahagian rusuk baginda.
Keadaan serta-merta hingar-bingar dan kelam-kabut. Lelaki yang menikam Raja Philip pantas lari dari situ, sedangkan dalam masa yang sama lain-lain pengawal diraja terus menerkam ke arah Raja Philip yang rebah tidak bernyawa lagi.
-- Akan bersambung, insya-Allah.
Sebelumnya: Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain (1)
** Hakcipta Terpelihara 2011 Web Sutera. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.
P/s: Demi mencari pencerahan dan kebenaran, di lekuk sejarah yang dihitamkan oleh mereka.
0 comments:
Post a Comment