27 – 29 Mei
1453 Masihi
Mesej dan arahan Sultan Muhammad
al-Fateh sudah sampai ke telinga semua tentera Islam. Tarikh 29 Mei sudah
ditetapkan. Siap siaga, formasi dan kelengkapan senjata dikumpul. Undur sudah
sirna dari kamus bala tentera Uthmaniah. Semangat ghazi mengalir ke seluruh serat-serat pembuluh darah.
Pasukan artileri masih tetap
menembak dan mengebom tembok Konstantinopel sebagai strategi supaya pasukan
pertahanan musuh tidak boleh berehat. Sementara batalion dan kontijen tentera
darat Uthmaniah dibiarkan berehat.
Di sebelah laut pula, armada
perang Uthmaniah dipastikan oleh laksamana dan komander bertugas agar bersedia
dan berwaspada.
Pada sebelah malamnya, semua
khemah tentera Uthmaniah dinyalakan obor dan api. Sirah perang Rasulullah (SAW)
semasa menakluk kota Mekah diperikan. Mereka bermunajat dan bertakbir lantang.
Sultan Muhammad al-Fateh dan
Panglima Tharhan mengelilingi semua khemah di sebelah malam. Para ulama melawat
tentera dan membaca ayat-ayat al-Quran, terutamanya surah al-Anfal yang
mengisahkan perjuangan jihad.
Para ulama bersepakat untuk
mengisahkan peranan dan keberanian Sahabat Rasulullah (SAW), Abu Ayub al-Ansari,
di malam-malam terakhir sebelum gempuran besar-besaran dilancarkan.
“Tuan-tuan yang dimuliakan Allah,
Rasulullah (SAW) berhenti di rumah Abu Ayub al-Ansari ketika hijrah ke Madinah.
Di sini, di tembok kota ini, jenazah beliau disemadikan. Kita akan mencari
kuburnya sebaik sahaja berjaya memasuki kota ini.”
Sepanjang malam ucapan “Laa
ilaaha illaAllah, Muhammad Rasulullah” bergema menjulang langit, lalu dibawa
angin memasuki kota Konstantinopel. Penat hilang serta merta.
Sementara itu hati-hati musuh
Islam semakin kecut dan kecil.
Berkaitan: Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh | Prelude to the final assault
Berkaitan: Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh | Prelude to the final assault
0 comments:
Post a Comment