Prelude Konstantinopel di PBAKL 2013


Satu pembacaan yang memberatkan kepala. Namun menyeronokan dan berisi. Membacanya membuatkan saya merasa seakan-akan sedang membaca karya-karya David Eddings dan David Gemmell (fantasi, epik) yang sarat plot, watak dan naratif. Juga terasa sedikit seperti karya Phillipa Gregory (penulis mapan dalam kisah sejarah bangsawan Inggeris). Jika tidak berhati-hati, mungkin boleh ‘lemas’ dalam jalinan cerita yang bersimpang siur.

Saya mengambil masa dua hari suntuk (dengan jeda) untuk menghabiskan pembacaan buat kali pertama. Penat! Walaupun begitu, sebagaimana karya Alexander Agung, saya mencuba sebaik dan seteliti mungkin untuk mengurangkan ‘keberatan’ karya ini agar mampu dinikmati oleh semua (kebanyakan) lapisan pembaca tempatan.

Bagi sebuah karya yang baik, ia bertumpu kepada satu atau maksimanya tiga (biasanya saling berkaitan) titik utama cerita. Kisah atau urutan plot lain hanyalah sebagai tempelan atau penyedap karya. Dan karya ini mempunyai ciri-ciri tersebut. Perkembangan cerita utamanya mantap diselangselikan oleh dua senario sampingan utama iaitu:

a) Kisah Muhammad Nabil yang berkisar tentang ceramah Konstantinopel dan ruang litup ahli keluarganya pada masa kini, dan

b) Kisah Grisham Gale dengan Sarah / Mavi Mirza dan ruang politik Konstantinopel pada tahun 1908.

Kedua-dua kisah ini amat relevan dan sangat berfungsi dalam penceritaan Konstantinopel. Secara tidak langsung, saudara Web Sutera membawa kita kepada tiga fokus  / situasi  utama iaitu waktu kini, perjalanan ceritanya dan keadaan selepas klimaks cerita. Jadi, sebagai pembaca, kita dapat menghayati perjalanan cerita ini dengan lebih dekat dan mendalam.

Rentetan peristiwa sebelum tiba ke jantung cerita sahaja sudah cukup panjang. Perjalanan tentera Islam untuk menawan Konstantinopel diperincikan dengan kreatif. Rantaian kemelut dalaman, konflik politik, peperangan, bukan sahaja daripada kedua-dua pihak utama, Islam dan Rom Byzantine, malah pelbagai pihak sampingan yang tidak kurang pentingnya seperti orang-orang Bulgar, Frank dan beberapa puak minor lain, dipaparkan dengan baik dengan teknik penceritaan yang pelbagai.

Gaya penceritaan sdr. Web Sutera ini saya kira satu pembaharuan dalam dunia penulisan tempatan. Ia turun naik, sekejap mengembur debar, sekejab beralun tenang. Lingkaran cerita dan peristiwa berselirat dalam jaringan latar masa, tempat dan peristiwa yang berbeza-beza.

Namun, ada baik buruk. Pembaca yang gemar akan teknik sebegini mungkin akan ‘tabah’ meneruskan pembacaan untuk mengetahui kesudahan kesemua rantaian cerita tersebut. Pembaca yang ‘kurang sabar’ atau yang gemar mengikut satu-satu cerita (gaya klasik: mula-klimaks-akhir) mungkin tidak akan menyukai karya ini.

Banyak babak yang ditulis secara ringkas pada mulanya dan kemudiannya dijelaskan dengan ‘cerita’nya sekali lalu ataupun beberapa kali. Ada dua pandangan mengenai hal ini. Yang positifnya, ia bagus untuk menjelaskan lagi apa yang telah berlaku dan menampahkan impak ‘dramatik’nya. Dan saya kira, ini adalah salah satu identiti penulisan sdr. Web Sutera.

Ia juga menunjukkan sdr. Web Sutera telah banyak melakukan penyelidikan sebelum menulis (novel) Konstantinopel ini. Bukan sedikit fakta dan informasi sejarah yang terkandung di dalamnya.

Syabas diucapkan atas keprihatinan dan kerajinan beliau dalam memandaikan anak bangsa yang kini kian hanyut dengan arus modenisasi sehingga terlalai akan kehebatan kita sebagai orang Islam.

** Komentar Cikpuan Editor yang sedang menambah baik dan memurnikan manuskrip ini, insya-Allah. 

P/s: Aku tahu, aku hanya serangga. Namun aku tidak terpesona dengan kilau neon yang bisa patahkan sayap.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Copyright © 2013 - Buana Ini - is proudly powered by Blogger