Ada seorang
ulama bernama Muhammad bin Syihab Az-Zuhri. Beliau lebih dikenali
sebagai Az-Zuhri, meninggal dunia pada tahun 123 Hijrah, seorang alim
dan ahli fikah. Az-Zuhri tinggal di Ailah, sebuah desa antara Hijaz dan
Syam. Reputasinya menyebar sehingga beliau menjadi tempat rujukan bagi
para ulama Hijaz dan Syam. Beliau membukukan banyak hadis.
Az-Zuhri meriwayatkan hadis bersumber dari Abdullah bin Umar, Abdullah bin Ja’far, Sahal bin Sa’ad, Urwah bin az-Zubair dan Atha’ bin Abi Rabah. Beliau juga mempunyai riwayat-riwayat yang mursal dari Ubadah bin as-Shamit, Abu Hurairah, Rafi’ bin Khudaij, dan beberapa perawi lainnya.
Salah sebuah hadis yang dibukukan adalah kisah di bawah.
Umar bin Khattab menemui Nabi Muhammad (SAW) sambil menangis. Baginda bertanya, “Wahai Umar! Mengapa kamu menangis?”
Umar
menjawab, “Ya Rasulullah! Di muka pintu ini ada seorang pemuda sedang
menangis. Namun dalam masa yang sama dia telah membakar hatiku.”
Rasulullah (SAW) mengarahkan, “Bawakan dia kepadaku."
Sebaik
pemuda itu berada di hadapan Nabi Muhammad (SAW), masih lagi menangis,
baginda bertanya, “Wahai pemuda! Apakah sebabnya kamu menangis?”
Pemuda itu menjawab, “Ya Rasulullah! Saya menangis justeru banyaknya dosa-dosa. Saya takut kemurkaan Allah yang Maha Perkasa.”
“Adakah kamu mempersekutukan Allah?”
“Tidak, ya Rasulullah.”
“Adakah kamu membunuh jiwa tanpa hak?”
“Tidak.”
“Maka Allah akan ampunkan dosa-dosa kamu walaupun sebesar tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta bukit-bukau.”
Kemudian Rasulullah (SAW) bertanya lagi, “Apakah dosamu lebih besar atau Al-Kursi?”
Pemuda itu menjawab, “Dosa saya lebih besar.”
“Dosamu lebih besar atau Arasy?”
“Dosa saya lebih besar.”
“Sesungguhnya
dosa besar tidak dapat diampunkan kecuali oleh Allah yang Maha Besar,
yang besar maaf dan ampunan-Nya. Duhai pemuda! Nyatakan kepadaku apakah
dosamu itu?”
“Saya sungguh malu padamu, ya Rasulullah.”
Rasulullah (SAW) bertanya sekali lagi, “Nyatakan kepada aku apakah dosamu itu?”
“Ya
Rasulullah! Sejak tujuh tahun lalu sehingga sekarang, saya seorang
penggali kubur. Pada suatu hari, saya menggali kubur seorang gadis
Ansar. Saya membuka kain kafan, keseluruhannya. Kemudian saya
tinggalkannya. Namun setelah saya berjalan pergi tidak berapa jauh,
bangkit hawa nafsu saya. Maka saya kembali dan menyetubuhi jenazah gadis
itu sehingga puas nafsu saya. Setelah itu saya tinggalkannya begitu
sahaja.
“Sebelum
jauh, tiba-tiba gadis itu bangkit dan berkata, ‘Celaka engkau, hai
pemuda! Tidakkah engkau malu dengan Tuhan yang akan membalas pada hari
pembalasan kelak, bila tiba masanya setiap orang zalim akan dituntut
oleh yang teraniaya? Engkau biarkan aku telanjang, dan engkau hadapkan
aku di hadapan Allah sebagai seorang jenabat (dalam hadas besar)!’”
Rasulullah
(SAW) sungguh terperanjat, lalu bangkit bagaikan terdorong dari
belakang. Baginda berkata, “Hai fasik! Alangkah selayaknya kamu masuk
neraka. Sila keluar dari sini.”
Setelah
dihalau oleh Nabi Muhammad (SAW), keluarlah pemuda itu dari tempat
pertemuan. Dia bertaubat selama 40 hari. Pada hari ke-40, dia mendongak
ke langit sambil berdoa, “Ya Tuhannya Nabi Muhammad, Nabi Adam dan Hawa.
Andai Engkau telah ampunkan aku, maka beritakan kepada Nabi Muhammad
dan para sahabatnya. Jika tidak, turunkan api kepadaku dari langit dan
bakarlah aku di dunia ini, dan selamatkan aku dari siksa akhirat.”
Allah
memerintahkan malaikat Jibrail menemui Nabi Muhammad (SAW). Usai
memberi salam, Jibrail berkata, “Ya Muhammad! Tuhanmu memberi salam
kepadamu.”
Nabi Muhammad (SAW) menjawab, “Dialah As-Salam. Dari-Nya salam dan kepada-Nya segala kesejahteraan.”
“Allah bertanya, ‘Apakah engkau menjadikan makhluk?’”
“Bahkan Allah menjadikan aku dan semua makhluk.”
“Allah bertanya, ‘Adakah Engkau yang memberikan rezeki kepada mereka?’”
“Pastinya Allah yang memberikan rezeki kepada aku dan mereka.”
“Kemudian Allah bertanya lagi, ‘Apakah engkau yang memberi taubat kepada mereka?’”
“Bahkan Allah memberi taubat kepadaku dan kepada mereka.”
Lalu malaikat Jibrail berkata, “Allah menegaskan, ‘Maafkanlah hamba-Ku itu, kerana Aku telah mengampunkannya.’”
Justeru
Rasulullah (SAW) segera memanggil pemuda itu, dan memberitahu bahawa
Allah telah menerima taubat dan memberi ampunan-Nya.
Allah berkata dalam al-Quran, “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat
nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan
kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai. Pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan
orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal
soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan
mereka (semasa mereka berjalan). Mereka berkata (ketika orang-orang
munafik meraba-raba dalam gelap-gelita), ‘Wahai Tuhan kami!
Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada
kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’” (Surah at-Tahrim, ayat 8)
Sang
bijak berkata, “Sifat orang yang mengenal Allah ada enam. Di saat
teringat akan Allah, dia berbangga. Andai teringat akan diri sendiri,
dia berasa rendah dan hina. Jika melihat ayat-ayat Allah (ciptaan-Nya),
dia mengambil pengajaran. Manakala di ketika teringat akan dosa-dosa dan
maksiat yang diperbuat, dia memohon ampun."
0 comments:
Post a Comment