Gegar AL-FATEH di PBAKL 2013

 
Nabi Muhammad SAW pernah berkata, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.” (Hadis Riwayat Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad)

Konstantinopel sebuah kota yang menjadi rebutan. Sebuah kota bersejarah yang dibina kembali dari puing-puing tinggalan kaloni Greek yang membinanya dalam abad ke-7 Sebelum Masihi. Nama asalnya ialah Bizantium. Pelbagai pihak inginkannya.

Ia dimasyhurkan sebagai pusat kerajaan baharu Rom pada tahun 330 Masihi oleh maharaja Rom bernama Constantine Agung. Kota ini berfungsi sebagai pusat Empayar Bizantine untuk berabad-abad lamanya. Ia juga dikenali sebagai Rom Baharu atau Rom Timur.

Sejak dari itu, pelbagai pihak mencemburui kemajuan kota kemegahan ini, termasuk dari pihak di Rom, Itali dan suku kaum yang memerintah kerajaan-kerajaan Eropah. Lokasinya amat strategik. Semenjak Rasulullah (SAW) berkata dalam hadis di atas semasa Perang Khandak, pemimpin dan pejuang jihad Islam selepasnya berhasrat memenuhi ramalan kenabian itu.

Misi menawan kota Konstantinopel mempunyai rentetan kisah perjuangan yang tidak kurang menariknya untuk direnungi. Seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Ayub al-Ansari turut melakar namanya pada lembaran sejarah Islam. Beliau masyhur sebagai seorang pejuang Islam sejati. Apabila mengetahui ajalnya bakal tiba, beliau meminta agar dikebumikan berhampiran dengan kota Konstantinopel yang cuba ditaklukinya. Wasiat beliau ditunaikan.

Ini sebuah novel sejarah, perkisahan berkaitan kota Konstantinopel atau kemudiannya dikenali sebagai Istanbul sehingga sekarang. Saya persembahkan dengan cara yang berlainan dari pendekatan novel-novel sejarah lain yang sudah diterbitkan dalam bahasa Melayu, insya-Allah.

Saya bahagikan plot novel ini dalam beberapa era; Khulafa al-Rasyidin, Khalifah Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, Kesultanan Seljuk dan Khalifah Uthmaniah.

Sengaja saya perincikan sedemikian rupa justeru ianya selari dengan pendekatan pengkajian sejarah oleh penakluk dan pembebas Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau dalam merancang strategi perang mengepung kota Konstantinopel - selain kekuatan jiwa, munajat malam, nasihat penakluk rohani Syeikh Aaq Syamsuddin dan mengikuti tatacara Rasulullah (SAW) – dengan mengkaji geografi dan usaha kepungan di semua zaman termasuk semasa hayat Nabi Allah yang mulia itu.

Semua usaha yang menjurus kepada banyak peperangan itu adalah jejak-jejak perintis jihad dalam misi menakluk Konstantinopel bagi memenuhi ramalan kenabian Rasulullah (SAW). Faktor kejayaan, kegagalan dan mehnah yang dihadapkan ke muka setiap Khalifah dan pemerintah kerajaan Islam dalam memimpin angkatan kepungan menjadi iktibar yang ditelaah dan ditaakul hebat oleh Sultan Muhammad II, Al-Fateh bagi semua dunia dan umat Islam.
 

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger