Imbas kembali, beberapa
tahun sebelum 2586 Masihi, VR Masjid Al-Aqsa
Dia melalui sebelah
timur kawasan masjid ini, merentasi bazar mengikut laluan gapura yang besar dan
indah. Kemudian dia membelok ke sebelah kanan yang dibarisi dua baris
tiang-tiang besar, masing-masing memiliki sembilan dan dua puluh pilar marmar.
Pilar-pilar itu di puncak dan dasarnya berupa pualam bercahaya pelbagai warna,
dengan sambungan kuat oleh lapisan timah.
Di atas pilar-pilar
terdapat lengkungan-lengkungan, yang terbuat dari batu bata, tanpa pelapis
plaster atau simen. Setiap lengkungan pula dibangun dengan tidak lebih dari
lima atau enam blok batu. Pilar-pilar ini mengarah sampai berhampiran Maqsurah.
Ramai orang berada
di persekitaran Baitulmaqdis Timur ini; orang Islam, Yahudi dan penganut
Kristian. Dia masih melilau mencari lokasi yang pernah dikatakan oleh rakannya
itu.
Dia melalui satu
lorong. Orang semakin berkurangan. Sebaik tiba di hujungnya yang agak gelap,
dia mengetuk pintu. Tidak semena-mena, satu lohong terbuka, lanta dia
memasukinya tanpa was-was.
Dia melihat sosok
seseorang berpakaian pahlawan era Raja Alexander. Dia tersenyum, bukan geli
hati tetapi agak terkejut dengan penampilannya. Dia berjalan santai sambil
melihat sekeliling domain itu.
Monolognya, “Ermm .. domain Batu Terapung.” Kemudian
dia bertanya, “Mengapa bersendirian, kawan?”
Sahabatnya itu
menoleh seraya menguntum senyum persahabatan. Lantas sahabat itu bangun dari
duduknya, pedang tersisip di sebelah kanan tubuh, memeluk erat Fateh Sa’adi yang
berpakaian pahlawan Melayu siap berkeris tersisip di pinggang juga.
Sebaik sahaja
pelukan terlerai, Yaacob
Dawood berkata, “Sengaja saya tidak mahu orang lain kacau damai di sini. Ramai
juga pengembara yang cuba ketuk pintu pohon kebenaran, tapi saya tak benarkan.
Hanya kamu, sahabat .. hanya kamu yang saya benarkan.”
“Alhamdulillah. Terima kasih, Yaacob. Sudah lama di sini?”
“Adalah, lebih kurang setengah jam waktu biasa. Bukan
dikira kelajuan cahaya.” Jawab pemuda Yahudi itu cuba bercanda.
“Apa sebabnya kamu bersendirian di ruang domain yang
paparkan lokasi banyak sejarah ini? Sejarah Nabi Muhammad bermikraj ke Sidratul
Muntaha.”
“Fateh, saya bosan dengan kacau bilau manusia yang tidak
manusia lagi. Di sini, di ruang domain ini, saya boleh bertafakur. Berfikir dan
mentaakul.”
Fateh Sa’adi duduk di satu bahagian Batu Tergantung,
sementara Yaacob Dawood di bahagian satu lagi. Pemuda Yahudi itu bercerita.
“Saya bosan dengan keadaan semua
warganegara Israel yang Muslim diperbolehkan untuk masuk dan beribadah di
Masjid Al-Aqsa, pada waktu-waktu tertentu. Israel menetapkan batasan ketat
akses masuk ke masjid bagi penduduk Islam di Tebing Barat dan Gaza. Untuk
tempoh yang lama hanya warga Arab dan Palestin yang tua-tua sahaja dibenarkan
masuk dan bersolat di dalam masjid ini. Helah Israel untuk pembatasan tersebut
dengan alasan kononnya yang berusia tua dan telah bernikah cenderung ‘tidak menyebabkan
masalah’.”
Fateh Sa’adi mengangguk. Suasana senyap. Kemudian dia bertanya, “Apa maksud persekitaran yang kamu bina ini, sahabat? Seperti pembinaan pada abad ke-21 yang lalu.”
Fateh Sa’adi mengangguk. Suasana senyap. Kemudian dia bertanya, “Apa maksud persekitaran yang kamu bina ini, sahabat? Seperti pembinaan pada abad ke-21 yang lalu.”
“Merenung batu itu dengan cermat, saya
bina agar ia terletak di atas asas konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya
berpijak ke atas asas itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang
sepatutnya. Semasa lawatan saya setahun yang lalu, saya bertanya Imam Besar
Masjid Al-Aqsa yang berada di situ. Beliau menyatakan memang dahulu batu besar
yang macam payung itu tergantung-gantung. Oleh kerana banyak pembesar-pembesar
negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat
gerun dengan keadaan batu itu.
“Ramai yang tidak
berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap
mereka. Memandangan isu keselamatan penting ini dan mengelak daripada
berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan Batu Tergantung yang
unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina tapak yang menyambung
batu itu dari bumi. Begitu juga apa yang saya buat dalam domain ini, Fateh.”
“Memang begitulah
apa yang berlaku di dunia sana pun, Yaacob.”
“Versi kamu akan
kejadian ajaib itu?”
Kemudian Fateh
Sa’adi pula bercerita sambil membetulkan kedudukan keris yang tersisip di
pinggangnya.
“Yaacob, ini bukan
versi saya atau versi yang kamu dahulu kata pelbagai. Insya-Allah, inilah yang
sebenarnya. Ulama umumnya berpendapat Rasulullah (SAW) bermikraj dari satu
tempat di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj atau kubah tempat
dimikrajkan. Pendapat alim ulama bukannya cerita yang direka-reka, bahkan dari
sumber amat sahih Al-Quran dan hadis Baginda.
“Tempat itu juga
dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis, di sini. Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi,
ketika membuat penjelasan kitab al-Muwatta’ oleh Imam Malik, beliau menyatakan
batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah. Batu itu berdiri sendiri
di tengah-tengah Masjid Al-Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua
bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang
langit, yakni Allah, daripada jatuh menimpa bumi.”
“Di puncaknya dari
arah selatan yang agak condong, itulah tempat kaki Nabi Muhammad (SAW) berpijak
untuk menaiki Buraq. Ditafsirkan kerana kegerunannya atas kehebatan Baginda
maka batu itu tergantung.
“Imam Abu Bakar mengakui
bahawa setelah beberapa ketika kemudian, beliau pun memberanikan diri dan masuk
berteduh di bawahnya. Beliau dapat melihat pelbagai keajaiban. Beliau dapat
menyaksikannya dari semua arah, benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada
arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain.”
Pandangan Yaacob Dawood tepat
ke sudut Batu Tergantung dalam domain itu. Sambil mengangguk dia berkata, “Kamu
benar, sahabat. Itu juga yang diceritakan oleh Imam Besar Masjid Al-Aqsa. Maha
Suci Tuhan.”
“Yaacob, saya percaya apa yang
terjadi di sepanjang perjalanan ajaib Israk dan Mikraj banyak boleh ditaakul. Ia perjalanan
sepantas kelajuan cahaya Rasulullah (SAW) pada sebahagian malam atas kekuasaan
dan kehendak Allah dari Masjid al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, kemudian naik ke
langit sampai ke Sidratul Muntaha.
“Timbul satu pertanyaan, mengapa Allah
kuasakan Nabi naik ke langit dari Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis ini, bukannya
dari Makkah? Pasti ada rahsia-Nya.”
Yaacob Dawood mengangguk. Dia berkata
sebagai pertanyaan, “Rahsia yang saya terfikir ialah Allah akan jadikan
Baitulmaqdis atau Al-Quds sebagai lokasi bermulanya pemerintahan Khalifah Islam
seperti mana era Khalifah al-Rasyidin di suatu zaman nanti?”
“Allah! Kamu benar, sahabat.”
“Saya mengakui kepimpinan Dajjal di
akhir zaman ialah manusia melihat kepimpinan sebagai habuan dunia untuk
kekayaan, kekuasaan, kemegahan, kesenangan dan kemewahan bukan amanah dan
tanggungjawab yang akan ditanggunghisab. Lantaran itu manusia berlumba-lumba
mengejarnya tanpa memikirkan halal atau haram dalam tatakelola. Ramai yang
menipu, memfitnah, berbohong dan seribu satu cara yang haram di sisi Allah. Apa yang penting bagi mereka kuasa dan pangkat mesti digapai.
“Akhirnya kepimpinan mereka tidak diredhai Allah, kepimpinan mereka
penuh dengan rasuah, kezaliman, penindasan kepada rakyat, maksiat, masalah
sosial. Halal dan haram diketepikan, dosa dan pahala tidak dihiraukan, keadilan
tiada dalam kamus kepimpinan dan negara akan hancur dek kerana kepimpinan yang
rosak ini. Fateh, saya sedar.”
Di akhir akuan itu, Yaccob Dawood bertanya, “Kamu kenakan busana
pahlawan Melayu. Kenapa? Mahu berperang?”
Fateh Sa’adi tersenyum seraya mengangkat bahu.
** Fragmen sebuah novel berjudul Kombat Armagedon dalam penulisan. Hakcipta Terpelihara 2013 Web Sutera.
** Ukiran peta atas: Pandangan dari pihak Barat berkenaan perang armagedon.
** VR ialah singkatan kepada virtual reality.
Berkaitan: KOMBAT ARMAGEDON - Baitulmaqdis
0 comments:
Post a Comment