Maafkan sang penulis kerdil ini


Insya-Allah, dengan izin-Nya penulis membaca kembali novel yang sudah dibukukan ini. Saya memohon agar Allah lindungi diri ini daripada sikap takbur, riak dan bangga diri. Amin, ya Allah.

Novel setebal 896 muka surat ini melalui proses suntingan yang panjang, melelahkan dan penuh teliti. Saya mencari kelainan, justeru terbiasa dengan bacaan novel barat. Oleh kerana itu, pelbagai teknik saya terapkan dalam proses menggarap idea kurniaan Allah ini.

Di awal suntingan, editor Cikpuan Liana Omar berkomentar. "Rentetan peristiwa sebelum tiba ke jantung cerita sahaja sudah cukup panjang. Perjalanan tentera Islam untuk menawan Konstantinopel diperincikan dengan kreatif. Rantaian kemelut dalaman, konflik politik, peperangan, bukan sahaja daripada kedua-dua pihak utama, Islam dan Rom Bizantin, malah pelbagai pihak sampingan yang tidak kurang pentingnya seperti orang-orang Bulgar, Frank dan beberapa puak minor lain, dipaparkan dengan baik dengan teknik penceritaan yang pelbagai.

"Gaya penceritaan sdr. Web Sutera ini saya kira satu pembaharuan dalam dunia penulisan tempatan. Ia turun naik, sekejap mengembur debar, sekejab beralun tenang. Lingkaran cerita dan peristiwa berselirat dalam jaringan latar masa, tempat dan peristiwa yang berbeza-beza.

"Namun, ada baik buruk. Pembaca yang gemar akan teknik sebegini mungkin akan ‘tabah’ meneruskan pembacaan untuk mengetahui kesudahan kesemua rantaian cerita tersebut. Pembaca yang ‘kurang sabar’ atau yang gemar mengikut satu-satu cerita (gaya klasik: mula-klimaks-akhir) mungkin tidak akan menyukai karya ini."

Justeru, saya memberi kebebasan kapada editor agar memurnikan manuskrip mentah. Dengan usaha tanpa jeda sang editor mahir itu, proses suntingan berjalan dalam empat fasa, tidak termasuk dua fasa saya membaca semula keseluruhan manuskrip.

Hasilnya, manuskrip awal yang menjangkau lebih 1,000 muka surat itu, diisih dan dibersihkan menjadi buku setebal 896 muka surat untuk tatapan pembaca.

Akhirnya, Cikpuan Liana Omar menulis, "Namun menyeronokkan dan berisi. Membacanya membuatkan saya merasa seakan-akan sedang membaca karya-karya David Eddings dan David Gemmell (fantasi, epik) yang sarat plot, watak dan naratif. Juga terasa sedikit seperti karya Phillipa Gregory (penulis mapan dalam kisah sejarah bangsawan Inggeris).

"Saya memahami kesukaran untuk menghasilkan sebuah novel bernuasakan sejarah. Bukan senang dan memerlukan pembacaan yang bukan sedikit. Lebih-lebih lagi melibatkan Empayar Rom yang cukup panjang sejarahnya. Fakta-fakta dan kronologi peristiwanya bersimpang siur. Nama, tempoh hidup / pemerintahan, hieraki jawatan / gelaran, riwayat seseorang tokoh itu pun seakan-akan sama dengan tokoh yang lain. Ia mengelirukan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang sejarah yang kukuh. Apatah lagi dengan kurangnya rujukan yang benar-benar sahih dan boleh dipercayai.

"Sebab itulah tidak ramai yang berani melakukannya. Dalam konteks ini, saya ‘angkat topi’ kepada sdr. Web Sutera. Cubaan beliau dalam memaparkan kisah berkronologi panjang ini (625 - 1453) wajar diberikan pujian."

Alhamdulillah. Gabungan mantap antara penulis, penyunting, editor pruf dan editor perolehan Tuan Amir bin Abdul Hamid, novel sejarah ini berjaya berada di PBAKL 2013.

Maafkan sang penulis kerdil ini andai masih ada kekurangan dalam persembahannya. Justeru saya hanya sang hamba Allah yang tidak sempurna.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger