Dari Besut ke Kuala Lumpur sebagai champion


Saya diputerakan pada bulan Mei 1968 di sebuah kampung terpencil kira-kira dua batu dari bandar Jerteh, Besut, Terengganu. Apabila tiba usia persekolahan, saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Pusat Jerteh, Jerteh sehingga darjah tiga.

Di pertengahan persekolahan itu, ibu bapa saya berpindah ke tanah rancangan Felda di Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut, Pahang. Justeru saya pun berpindah sekolah di Sek. Keb. Kota Gelanggi Satu sehingga tamat darjah enam. Tatkala itu di tahun 1980, di sekitar Pulau Tawar dan berdekatan Jerantut belum ada sekolah menengah, maka saya dihantar kembali ke Jerteh, Besut.

Bermulalah saya bersekolah menengah di Sek. Men. Seri Nering, Jerteh, Besut, Terengganu. Saya mengayuh sebuah basikal yang dibeli oleh orang tua sejauh lebih kurang lima batu. Selepas berjaya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dengan menjadi pelajar terbaik sekolah, saya ditawarkan memasuki asrama penuh di Sek. Men. Sains Dungun, Terengganu. Dalam masa yang sama, saya menerima tawaran belajar di Asrama Felda, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Setelah berbincang dengan orang tua, saya putuskan untuk menerima tawaran Asrama Felda, dan bersekolah di Sek. Men. Maxwell, Kuala Lumpur.

Selepas berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya memperoleh tawaran memasuki program Matrikulasi di Sekolah Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak. Kemudian memasuki kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang untuk habiskan setahun lagi Matrikulasi. Lulus Matrikulasi, saya mengambil jurusan Sains Komputer dengan minor Pengurusan selama lima tahun untuk pengajian ijazah.

Setelah menjadi graduan, bermulalah misi mencari kerja. Saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Tugas pertama saya ialah sebagai Pelatih Tukang Masak (Trainee Cook) di sebuah restoran masakan barat di Seksyen 14, Petaling Jaya. Karier kedua saya ialah sebagai Pegawai atau Penganalisa Kewangan di dua buah syarikat pasaran hadapan.

Pada tahun 1993, saya menjawat jawatan sebagai Editor di salah sebuah syarikat penerbitan Bumiputera di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian pada tahun 1995, saya bekerja di MIMOS di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Taman Teknologi Malaysia (TPM) pada 1996 sebagai Pegawai Penyelidik. Seterusnya MIMOS dikorporatkan menjadi MIMOS Berhad. Dua tahun berikutnya saya diserap memasuki JARING dan kemudiannya JARING Communications Sdn. Bhd.

Setelah hampir sebelas tahun di sana, saya berubah karier dengan meletak jawatan. Saya dengan berani ceburi bidang bisnes pada tahun 2006. Servis katering menjadi pilihan bersama isteri sehingga kini.

Tentu tuan dan cikpuan bertanya, apakah relevannya kisah ini? Insya-Allah, sebahagian daripada kisah hidup saya yang bermula sebagai sebuah keluarga Melayu miskin di Jerteh dan kini menjadi warga Selangor, ada termuat dalam dua buah buku motivasi berikut:

1) Berfikir Gaya Champion terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.;
2) 50 Sup Champion Resipi Rasulullah (SAW) terbitan Must Read Sdn. Bhd.

Keluarga dan saya sendiri bukan orang ternama, bukan berpangkat, bukan artis, bukan pemimpin politik. Namun banyak kisah yang saya ceritakan, insya-Allah, untuk tatapan, kajian dan telaah para pembaca, bahawa kita boleh berubah dan menjadi seorang juara atau champion.



** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir WEB SUTERA.

5 comments:

Alwi Alatas said...

Best. Kena baca buku tuan Web Sutera untuk belajar jadi champion.

Desmond Jerukan said...

Berjumpa di SERATAS dahulu tuan memang sudah menjadi champion, rakan champion. Walaupun saya orang jauh tetapi disambut bagaikan rakan karib....dan berjuang bersama untuk ke menara gading walaupun amat sukar.

Web Sutera said...

Terima kasih, Tuan Alwi Alatas. Insya-Allah, bersama kita melangkah menuju reda-Nya.

Tuan Desmond Jerukan, usah diperikan kisah lama andai tidak menjadi ingatan selamanya. Daku rindu nostalgia itu. Kita bersahabat, walau berbeza bangsa dan agama, justeru kita manusia hamba Tuhan. Kita champion justeru mengerti hala tuju masing-masing. Moga kamu sentiasa sihat, Des.

Nolizawati Mohd Saad said...

As salam..Besut melahirkan ramai yang cerdik pandai. Ada yang dikenali ramai.

3 tahun saya di sini, seronok duk Besut ni..

Syabas, semoga Tuan terus berjaya..
Be A Champion. Untuk ummah sejagat..

Tqvm
notie ms
"Besut aku datang...."
http://nolizawatimohdsaad.blogspot.com/

Web Sutera said...

Alaikumsalam warahmatullah, Puan Nolizawati Mohd Saad. Alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian.

Semoga terus sukses. Amin ya Rabb.

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger