“Visi
Islam tidak pernah lenyap, usaha untuk menegakkan visi ini tidak pernah
ditinggalkan ; harapan dan usaha ini masih membara dalam dunia moden ini.
Sejarah Islam sebagai satu kepercayaan, dan kebudayaan yang telah dibentuk
terasnya oleh Islam, memperoleh keharmonian dan erti yang tiada taranya
daripada visi dan usaha berkenaan.” – Marshall G. S. Hodgson
Saya
sedang membaca (baca: menelaah) buku Jejak Ibnu Battuta oleh Ross E. Dunn. Di
selang-selang itu juga, saya menelaah secara serius buku Kebangkitan Islam:
Gambaran dan Sejarah dalam Tamadun Dunia Jilid 1 - Zaman Klasik Islam.
Sebelumnya, semasa menulis beberapa buah novel/buku, saya merujuk 3 jilid buku
kajian Marshall G. S. Hodgson berkaitan secara terpilih.
Kini
saya membaca secara serius, bab demi bab dari mula. Satu perkara mahu saya
sorot, yakni Islam itu adalah agama asal manusia, sejak Nabi Adam alaihissalam
dan isterinya Hawa. Allah dengan tegas menepis doktrin puak-puak kuffar dengan
firman-Nya:
“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nya tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya mereka dikembalikan.“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)’.” (Ali-’Imran 3:83-84)
Para
Nabi itu – yang turut dipercayai oleh penganut Yahudi dan Kristian – adalah Muslim
(atau Islam). Orang mengenali penganut agama Islam sebagai Muslim atau Muslimin
(plural). Jadi penganut agama wahyu yang dibawa oleh para nabi dan rasul sebelum
Nabi Muhammad (SAW) adalah Muslim, justeru agama mereka juga Islam.
Allah
menyatakan dalam banyak ayat al-Quran, bahawa Nabi Adam adalah seorang Islam
(maksud: berserah diri atau Muslim), Nabi Nuh adalah seorang Islam, Nabi
Ibrahim dan Nabi Musa (Moses) adalah seorang Islam, Nabi Ismail, Nabi Ishaq
adalah Islam, Nabi Yaakub sehingga kepada Nabi Isa (Jesus) semuanya adalah
Islam. Kemudian Allah menyempurnakan ilmu Islam sebagai fitrah seluruh alam pada
Nabi dan Rasul terakhir, Nabi Muhammad (SAW).
“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Al-A’raf 7:34)
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment