Setakat
ini, seingat saya lebih 10 cerpen dan cerita pendek yang dibukukan. Ia
terkandung dalam 6 buah buku yang dipaparkan ini. Kapsul Nurani, Kapur Kasut
vs. Kapur Tulis dan SARKAS adalah himpunan kisah bersama barisan penulis lain.
Manakala Berfikir Gaya Champion, 50 Sup Champion Resipi Rasulullah dan Hijrah
Champion Gaya Rasulullah adalah buku berseorangan.
Ada dua
himpunan lagi yang tersangkut penerbitannya justeru sebab tertentu. Mutakhir
ialah projek cerpen dengan satu penerbit baharu, yang baru semalam saya
siapkan. Terima kasih atas sokongan tuan dan cikpuan yang sudah mencicip rasa
cinta saya dalam setiap cerpen dan kisah kontot.
Tunggu
buah fikir saya seterusnya, insya-Allah. Kerana ini adalah dakwah dan jihad
saya, demi janji redha Allah semata-mata. Saya kongsikan satu cerpen berkenaan.
Bicara Alam Bermunajat
Di kejauhan terdengar deru enjin motosikal. Tidak berapa lama kemudian
sekumpulan orang tiba berhampiran kolam dan memakir lima buah motosikal
berhampiran sebuah kawasan lapang. Terdengar mereka bercakap-cakap. Jam sudah menghampiri
empat petang.
Teratai Kecil, Teratai Besar, ikan kaloi, kura-kura dan lain-lain
penghuni memerhati tingkah laku mereka. Salah seorang dari kumpulan itu membuka
tikar dan menghampar di kawasan lapang berhampiran motosikal mereka. Mereka
duduk bersila seramai lapan orang. Berkeliling. Salah seorang yang lain
mengeluarkan daun terup. Wang dikeluarkan. Ada not berwarna merah, hijau dan
ungu diletakkan di atas tikar. Daun terup dibahagi-bahagikan. Mereka berjudi!
Dalam masa yang sama, ada sepasang muda mudi sedang bercanda tidak
berapa jauh dari sekumpulan penjudi tersebut. Mereka berdua tidak menghiraukan
kumpulan itu. Kumpulan yang sedang memulakan aktiviti haram itu juga perasan
ada sepasang manusia sedang berbuat maksiat juga.
“Biarkan mereka berdua itu. Kita pun ada kerja
penting mahu dibuat. Mahu berseronok juga. Dia
dengan caranya, kita ada cara tersendiri pula,” tingkah seseorang dari kumpulan
penjudi itu sebaik sahaja rakan di depannya menjuih bibir menunjuk ke arah
pasangan yang duduk tidak berapa jauh dari mereka.
Maksiat dan kejahatan. Dia kumpulan manusia sedang melakukan maksiat
yang dilarang Allah. Berjudi, dan
berdua-berduaan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram. Selang masa
kedatangan mereka tidak berapa lama.
“Awak lihat pasangan itu, Teratai Besar. Mereka tidak
malu dengan kita,” si Teratai Kecil meluahkan kejengkelannya terhadap pelakuan
maksiat tersebut.
“Itulah jadinya sekiranya batasan malu sudah
dilangkah. Tidak mengenal lagi dosa dan pahala. Aduhai manusia! Yang lapan
orang itu juga sedang dirasuk syaitan dengan berjudi. Tidakkah mereka tahu
bahawa berjudi itu salah satu dosa besar?” Teratai Besar memberi ulasan dan
turut jengkel serta meluat dengan pelakuan mereka.
“Judi bukan sahaja diharamkan oleh Allah, malah ia
adalah penyakit bagi semua masyarakat dan menjadi antara punca utama kemusnahan
sesebuah keluarga. Judi merosakkan keharmonian sesebuah keluarga dan
menjejaskan aliran ekonomi sesebuah keluarga. Itu pun mereka tidak tahu?”
si ikan kaloi besar berkata dengan wajah kemerahan tanda amat marah.
“Mari kita bersama-sama berdoa kepada Allah agar mereka segera beredar
dari sini. Saya tidak sanggup melihat lebih lama lagi,” kata sang kura-kura
pula. Ikan kaloi dan lain-lain penghuni pun bersetuju dengan cadangan kura-kura.
Lalu semua hidupan dalam kolam, pokok-pokon bunga, rumput dan pokok
menjalar, pokok-pokok renek dan besar di sekeliling kolam menyampaikan hasrat
mereka di antara satu sama lain. Mereka bersepakat melantik ikan kaloi besar
sebagai peneraju bacaan doa. Mereka akan mengaminkan beramai-ramai.
Alam di sekeliling sunyi sepi. Cuma terdengar keluhan, cemuhan dan kadang-kadang maki hamun dari
kumpulan penjudi. Pasangan pemudi dan pemuda di sebelah yang lain turut asyik
bertemankan syaitan yang bergelak ketawa tanpa mereka sedar.
Ikan kaloi bermunajat bersungguh-sungguh ke hadrat
Allah Azza wa Jalla.
Sunyi. Sepi. Angin semilir bertiup lembut. Di
kejauhan bisik-bisik mula kedengaran. Amat halus. Alam, flaura dan fauna di
sekeliling seolah-oleh berbisik. Pujian dan permohonan bantuan diangkat ke
langit. Sekali-sekala ucapan tasbih kedengaran jauh. Subhanallah, alhamdulillah, Allahu-Akbar! Mereka terus bermunajat.
Dua kumpulan manusia itu tidak menyedari akan doa
alam yang sudah diangkat ke langit, merintih ke Sidrarul Muntaha. Asyik benar
mereka dalam noda dan dosa besar.
Sekumpulan awan mula berarak menghampiri kawasan
kolam yang luas itu. Tiupan angin mula bertukar
rentak, sudah bertiup laju daripada biasa. Kelihatan daun-daun pokok besar mula menari-nari.
Batang-batang pepohon lalang pula mula melentok.
Pasangan dua sejoli haram itu tertoleh-toleh di persekitaran. Cuak juga
mereka. Namun syaitan terus berbisik. “Teruskan sahaja. Jangan dihiraukan
apa-apa. Semua nyaman di sini.”
Seorang dua dari kumpulan penjudi itu mendongak ke langit. Awan kelabu
sudah tampak kian menghampiri. Seorang lagi melihat dedaunan pokok yang kian
rancak bergoyang. Namun mereka terus diulit kelekaan berjudi. “Persetankan yang lain.” Agaknya itu
kata mereka.
Alam terus berbisik. Kian lama makin kedengaran suara-suara memenuhi
suasana. Pokok-pokok seolah-olah bergeseran antara satu sama lain. Bunyi alam!
Angin semakin rancak bertiup, tetapi tiada tanda-tanda hujan akan turun. Dalam
masa yang sama kumpulan teratai, rumpair dan banyak kehidupan di dalam air mula
bergerak ke arah dua kumpulan manusia yang masih lagi asyik. Marah benar mereka.
Salah seorang dari kumpulan lapan orang penjudi itu mula perasan
suasana sudah berubah. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu yang pelik sedang
terjadi dalam kolam. Ada gerakan serentak. Air kolam mula beralun-alun. Angin semakin kencang. Dahan-dahan pokok semakin
mengeluarkan bunyi geselan.
“Geng, cuba engkau orang tengok di sekeliling.
Peliklah!,” kata orang itu. Kejadian itu juga menjadi
perhatian pasangan sejoli itu. Panik mula menerpa di sanubari masing-masing.
Alunan air semakin membuak. Gelombang kecil terjadi. Angin bertambah kencang.
Suasana di sekeliling kolam mulai gelap sedikit akibat awan kelabu yang
melindungi pancaran matahari petang.
Melihat keadaan dan kejadian pelik itu, dua kumpulan
manusia itu bergegas beredar. Kelihatan wajah-wajah pucat mereka. Satu persatu
enjin motor dihidupkan. Lalu dipecut laju meninggalkan kawasan kolam.
Pangajaran
Murka alam merupakan murka Tuhan. Kejadian gempa
bumi, banjir besar, letusan gunung berapi dan tsunami adalah tanda-tanda
kemurkaan Tuhan. Alam selamanya berfikir. Kita juga sebagai manusia, apa bangsa
pun, mesti menurut fitrah alam. Jangan nodai keindahan dan keimanan alam
ciptaan Tuhan dengan kegiatan tidak berfaedah dan maksiat yang akan meruntuhkan
janji kita kepada Tuhan sejak di alam rahim lagi.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment