Apakah Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010?

27 Rabiulakhir 1432H - Malaysiakini melaporkan bahawa DUN Selangor mencatat sejarah hari ini sebagai dewan perwakilan pertama yang meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (2010). Rang undang-undang itu dikemukakan untuk bacaan kali ketiga hari ini oleh exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar Selangor Elizabeth Wong (foto).

Cadangan rang undang-undang itu disokong oleh ADUN Sri Andalas Xavier Jeyakumar dan diluluskan sebulat suara oleh ahli dewan tanpa sebarang pindaan.

Dalam ucapannya, Elizabeth antara lainnya berkata enakmen baru itu merupakan hasil keberanian rakyat dan keyakinan mereka dalam memilih Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 2008.

Katanya lagi, rang undang-undang kepada enakmen itu telah melalui pemerhatian satu jawatankuasa pilihan DUN Selangor dan tidak akan melampaui kuasa perlembagaan. (Sumber: Malaysiakini)


Maklumat di bawah saya ambil dari portal SelangorKini Online.


Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010


Apa itu kebebasan maklumat?


Undang-undang kebebasan maklumat menetapkan peraturan dalam pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan. Undang-undang ini menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam.


Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah. Lebih dari 70 negara di dunia, termasuk negara China, India dan negara Thai telah melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat, dan banyak lagi dalam proses untuk berbuat demikian. Malaysia merupakan antara negara terakhir yang masih belum memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat.


Apakah Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010?


Enakmen ini bertujuan untuk “mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.” Enakmen ini hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga tidak termasuk.


Bagaimanakah permohonan untuk maklumat dibuat?


Setiap jabatan kerajaan akan melantik seorang Pegawai Maklumat yang berfungsi sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat. Permohonan perlu dituju kepada Pegawai Maklumat yang berkenaan, dan maklumbalas wajib diberi dalam masa 30 hari ataupun 7 hari dalam kes-kes kecemasan. Sebab dan tujuan mendapatkan maklumat perlu dinyatakan dan bayaran fi yang munasabah mungkin dikenakan.


Adakah maklumat peribadi dilindungi di bawah rang undang-undang yang dicadangkan?


Maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga memang dilindungi. Sesuatu jabatan berhak menolak permohonan maklumat peribadi pihak ketiga seperti alamat rumah, maklumat yang boleh menyebabkan satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa, dan rahsia-rahsia perniagaan. Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat jika pihak ketiga memberi kebenaran.


Bolehkah orang kurang upaya (OKU) ataupun mereka yang buta huruf membuat permohonan?


Ya. Permohonan secara lisan boleh dibuat oleh mereka yang tidak dapat memohon secara bertulis.


Apakah had terhadap maklumat yang dapat diperolehi?


Jika maklumat yang dipohon tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, seperti OSA, maka akses kepada maklumat tersebut juga akan tertakluk kepada undang-undang yang sama. Walau bagaimanapun, kebanyakan maklumat kerajaan tidak tertakluk di bawah OSA. Rang undang-undang ini memudahkan akses kepada maklumat yang tidak menjejaskan operasi Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya. Permohonan boleh ditolak jika pemohon didapati tidak berhak memperolehi maklumat tersebut, maklumat tersebut tidak wujud ataupun berada di luar bidangkuasa jabatan. Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang juga boleh ditolak.


Bolehkah rayuan dibuat ke atas penolakkan permohonan?


Ya. Satu Lembaga Rayuan yang terdiri dari bekas hakim, dan/atau peguamcara dan peguambela yang mempunyai pengalaman yang berkaitan akan ditubuhkan. Rayuan mesti dibuat dalam tempoh 21 hari selepas tarikh penerimaan keputusan.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger