Showing posts with label Makhluk. Show all posts
Showing posts with label Makhluk. Show all posts

JELMA PUAKA: KISAH MISTIK GUA KOTA GELANGGI?


Legenda sang Kelembai, antara lainnya, masih melambai-lambai menitip rasa ingin tahu. Tentu kau masih ingat, tatkala kita berjalan memasuki rangkaian Gua Kelam, kita menemui satu arca penyu gergasi yang kita menyakini adalah kesan sumpahan sang Kelembai. Kau ingat lagi tak, yang kita pernah dikejar segerembolan kelawar, sehingga kita terjatuh ke dalam longgokan tahi kelawar? Kita ketawa terbahak-bahak, sebelum kena sesah oleh kedua-dua ayah kita.

Sungai itu, ada nilai sejarah. Kajian arkeologi pada dua belas tahun lalu menjumpai banyak tembikar buatan China di dalam gua. Pelik bukan? Tetapi andai kita merujuk catatan sejarah lama, pastinya ia tak pelik lagi. Bahawa sungai Salang dahulunya besar dan dalam. Justeru kapal-kapal sederhana besar boleh belayar sehingga ke pedalaman sini.

** Dipetik dari JELMA PUAKA, himpunan cerpen Web Sutera, menjelajah ruang mistik yang mencatat seribu rasa.


+ Mana suku-sakat koi yang tinggal dan menetap di Jerantut, Maran, Kuantan, Jengka, Temerloh dan Lepih? Pastinya tahu Gua Kota Gelanggi.

** Saya WEB SUTERA, penulis-novelis yang sudah menghasilkan lebih 34 karya yang dibukukan. Boleh dan mohon kesudian untuk menghubungi saya untuk pertanyaan. Saya dilahirkan di Jerteh, Besut, Terengganu dan kemudian berhijrah ke Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang. Mantan anak pesawah padi dan generasi kedua FELDA.


Chronicle Viking Melayu - BAB 1


“Siapa kau?” Radford tidak berlama-lama untuk bertanya.

Jeritan halus yang meremamg bulu roma itu semakin mendekat. Radford dapat merasai ancaman dari bunyi itu.

“Mungkin kau patut lebih risau tentang apa yang membuat bunyi itu.” Suara itu sedikit mengejutkan Radford. Bukan dari suku bangsa Viking atau Norse.

“Bunyi itu semacam suara dari neraka,” Radford menjawab sambil mengenggam kembali kapak besar yang diletakkan di sisinya tadi. Buat sementara dia tidak endahkan lintasan fikirnya siapakah lelaki pelik itu.

“Memang... kejahatan dari neraka yang muncul justeru hauskan darah. Gerembolan valkyrie dan konco-konco kegelapannya.”

“Andai begitu aku lebih rela bertarung sampai mati daripada benarkan mereka menghirup darah aku hidup-hidup.”

Cahaya bulan semakin terang. Teman baharu itu seakan terlupakan beberapa saat, walaupun mereka saling berdiri lebih kurang dua ela antara satu sama lain. Tumpuan Radford ialah bunyi itu.

“Lebih baik kita lari dahulu,” lelaki itu mencelah kata.

BACA SETERUSNYA >>>

** WEB SUTERA - Dare to be different!

Donald Trump - History in the making

Saya ikuti kedua-dua acara dunia ini, yakni angkat sumpah Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 dan Brexit UK dari EU.

Hipotesis saya: UK/British akan memilih untuk 'berkuasa' semula, dan AS akan mulai retak batu asas penubuhan negara itu. Namun saya percaya Donald Trump akan berbuat apa yang dikata semasa kempen.

History in the making.

Presiden ke-45 Amerika Syarikat Donald Trump akan mulakan langkah yang membuka ruang untuk retaknya sebuah negara. Bermulanya era kejatuhan Dollar AS dan hilangnya kepercayaan industri kepada Amerika Syarikat... dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata, ‘Akan diampunkan kelak dosa kami’, padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi." (Al-A’raf 7:169)

** Web Sutera - Dare to be different!

Aku hamba-Nya yang banyak dosa


Ada perkara meletihkan. Ada hal yang memeritkan. Ada dugaan dalam susah dan senang. Itulah dunia ... itulah kehidupan. Kerana ... kelak kita akan menemui kehidupan hakiki di dunia Akhirat.

Mau atau tidak, ia tetap fitrahnya begitu. Justeru kita hanya hamba-Nya.


Maaf cakap ... putus asa adalah ajaran Iblis/Lucifer yang menyuruh kita lupakan usaha dan Allah. Walhal Iblis tak pernah berhenti untuk berusaha sesatkan manusia. Ibrah. Siapa aku nak nasihat orang? Sedang diri sendiri banyak dosa. Allahu-Akbar! Namun .... .

Monolog Prof. Dr. Adnan Gul

Memang bangsa Yahudi bijak. Maka oleh kerana bijaklah... ramai daripada mereka sombong, bongkak dan takbur. Lalu sifat-sifat Iblis yang menjadi asbab dia dinista oleh Allah dianuti oleh golongan agamawan Yahudi, dan secara rakus diterima masuk ke dalam banyak aliran/mazhab Yahudi dengan Zionis-nya.

Maka usaha-usaha yang diacut dan ditali-temalikan dari dunia ghaib itu terus-menerus ditayangkan untuk umat manusia... walhal dalam sedar atau tidak, racun itu sebati dengan jiwa-jiwa yang kontang iman.

Musuh Islam dan agama itu menyedari - dan aku dengan izin Allah turut memahami - bagi mereka nilai-nilai murni agama adalah penghalang cita-cita. Nilai-nilai agama menjadikan penganut Islam berasa ada tanggungjawab terhadap Allah. Justeru tanggungjawab, maka jalan manusia Muslim menjadi lurus.

**********
"Apa tindakan kita sekarang?" Panglima Pangeran Galoh inginkan kepastian dari majlis Syura Kesiagaan Darussalam.

Tazkirah untuk aku: Aku punyai selengkap anggota

26 Zulkaedah 1431H - Beliau setinggi 78 sentimeter, lahir di Wilayah Hunan, China. Bahagian tubuhnya, dari paha ke bawah sudah tidak boleh diselamatkan. Pakar-pakar bedah menjahit tubuhnya. Dua tahun dia berada di hospital di Shenzhen untuk menjalani pelbagai jenis pembedahan semata-mata untuk membetulkan perjalanan organ dan sistem di dalam tubuhnya.

Peng Shuilin mula bersenam untuk menguatkan otot tangannya. Peng melalui semua jenis dugaan. Kini dia mengkagumkan para doktor kerana mampu melangkah kembali setelah sedekad berlalu.

Para doktor di Pusat Pemulihan dan Penyelidikan China di Beijing mencipta sejenis alat bagi memampukan beliau berjalan semula. Mereka memasang dua kaki bionik dan mencipta alat seperti mangkuk untuk menampung tubuhnya. Akhirnya, Peng dapat menapak.

RGO atau recipicating gait orthosis adalah instrumen yang dipasang di kaki bioniknya. Ada sebuah kabel yang terpasang supaya bila sebelah kaki bergerak ke hadapan, sebelah kaki lagi akan bergerak ke belakang. Akhirnya Peng dapat berjalan.

Kini Peng Shuilin sudah membuka sebuah pasaraya, yang dinamakan Separuh Orang-Separuh Harga! Lelaki berusia 37 tahun ini sudah menjadi seorang usahawan yang menjadi contoh kepada OKU-OKU yang lain.

Dengan ketinggian kurang semeter, kini Peng bergerak menggunakan kerusi roda untuk memberi kuliah mengenai pemulihan daripada kecacatan. Anda punyai sebuah tubuh dan dua kaki. Lihatlah Peng - insan yang tiada mempunyai kaki!

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Quran, Surah at-Taghabun ayat 11)

(Sumber: Alaf 21 Sdn. Bhd)

Subhanallah, Allahu akhbar!

Ketika Cinta Bertasbih

Hayati senikata lagu ini. InsyaAllah, jangan hanya dilihat dari satu sudut sahaja. Saya memiliki novel Ketika Cinta Bertasbih ini. Novel Islami ini diterbitkan dua jilid oleh Al-Hidayah Publishers.

Entah kenapa tiba-tiba ia merasa berdosa. Ia merasa berdosa dan jijik pada dirinya sendiri yang begitu rapuh, mudah terperdaya oleh tampilan luar yang menipu. Ia jijik pada dirinya sendiri yang ia rasa terlalu cair pada lawan jenis yang belum halal baginya. Ia hairan sendiri kenapa jati dirinya seolah pudar saat berhadapan atau berdekatan dengan Eliana. Apakah telah sedemikian lemah imannya sehingga kecantikan jasadi telah sedemikian mudah menyihir dirinya. la beristighfar dalam hatinya. Berkali-kali ia meminta ampun pada Dzat yang menguasai hatinya.

Azzam meratapi kekhilafannya dan memarahi dirinya sendiri. Dalam hati ia bersumpah akan lebih menjaga diri, dan hal yang menistakan seperti itu tidak boleh terjadi lagi. la juga bersumpah untuk segera menemukan orang yang tidak kalah hebatnya dengan Eliana, tapi bertudung litup, solehah, boleh berbahasa Arab dan berbahasa Inggeris dengan fasih. Kalau terpaksa gadis itu orang Mesir tidak mengapa. Yang jelas rasa terhinanya harus ia sirnakan.

la harus menemukan kembali kehormatannya sebagai seorang Azzam yang memiliki harga diri. Meskipun masyarakat Indonesia di Mesir mengenalinya hanya sebagai tukang masak atau penjual tempe, tapi harga diri dan kesucian diri tidak boleh diremehkan oleh siapapun juga. la yakin akan memperolehi isteri yang lebih jelita dari Eliana, dan lebih balk darinya. Ia yakin itu tekadnya. Ia ulang-ulang tekad itu dalam hatinya. Ia rajuk dengan doa. Ia bawa tekad itu ke dalam tidurnya. Ke dalam mimpinya. Dan ke dalam alam bawah sedarnya.


Dr. Haron Din: Menjawab persoalan makhluk halus

Saya sering menerima soalan sama ada melalui surat atau yang bertanya terus di majlis-majlis kuliah. Di antara soalan yang berulang kali diajukan kepada saya ialah yang berkaitan dengan makhluk halus seperti jin, qarin, sihir, rasukan, bunian, saka, orang mati hidup semula, penggunaan tangkal, penyakit yang disebabkan oleh jin dan sebagainya.

Mereka meminta pendapat saya walaupun ramai alim ulama’ lain di Malaysia yang boleh memberikan jawapan yang sama dengan saya.

Memandangkan persoalan ini berhubung kait dengan soal aqidah, maka menjadi suatu kefarduan kepada saya untuk menjelaskannya. Persoalan masyarakat ini perlu dirungkaikan supaya mereka tidak terus terjebak dengan amalan syirik.

Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat daripada sumber yang sahih terutama sekali jika ia melibatkan soal aqidah.

Saya telah berusaha menjawab setiap persoalan dengan berlandaskan hujah-hujah yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadith.

Kesemua jawapan ini sebenarnya merupakan respon saya kepada soalan yang diajukan melalui akhbar Harakah. Saya telah melahirkan hasrat saya kepada Ahli Jawatankuasa Darussyifa’ supaya koleksi soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah ini dibukukan.

Saya amat berharap usaha pembukuan soal jawab ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat bahkan saya berdoa moga buah tangan saya ini dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan fahaman dan amalan khurafat yang masih berakar umbi di dalam masyarakat kita.

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna lagi Maha Benar, manakala yang salah dan silap adalah daripada insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah SWT kita memohon rahmat dan berkat. Semoga Allah SWT sentiasa mengabulkan usaha kita dan menjadikannya sebagai amalan soleh.

(Mukadimah penulis, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, untuk buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan, terbitan Darussyifa')

Jadilah Muslim sejati bukan suka-suka - penganut Buddha

Seperkara yang diakui Muhammad Chan mengenai beberapa asbab yang membawa kepada pengislamannya, selain menggemari kelunakan bilal melaungkan azan, meskipun tidak memahami maksudnya, beliau juga tertarik dengan salah satu ibadat wajib bagi penganut agama Islam iaitu melihat mereka mendirikan solat terutamanya solat Jumaat.

Katanya, melihat umat Islam berjemaah membuktikan satu disiplin serta kesatuan yang teguh. Kewajipan mendirikan solat lima waktu dalam sehari malah tidak termasuk solat sunat yang lain, turut menjelaskan betapa rapatnya hubungan seseorang Muslim itu dengan Allah. Ia secara tidak langsung menyedarkan saya betapa kita perlu kepada-Nya walau sesibuk manapun kita.

Menariknya tentang kisah pengislaman anak kedua daripada empat adik-beradik ini, keputusannya bergelar Muslim langsung tidak mendapat tentang ahli keluarga yang lain, waima isteri dan tiga anaknya.

Kemanisan pengislaman Muhammad Chan tambah bermakna apabila isterinya juga menurut jejak langkah bergelar Muslim tiga bulan kemudian dengan menggunakan nama, Aminah Lee Abdullah.

“Sebelum saya memeluk Islam, saya ada beritahu abang sulung. Saya agak terkejut kerana abang saya yang merupakan seorang penganut Buddha yang taat dan pengamal vegetarian hampir 15 tahun, langsung tidak menentang.

“Malah dia menasihatkan saya agar menjadi seorang Muslim yang sejati bukan atas dasar suka-suka ataupun berkepentingan lain,” kata Muhammad Chan yang sentiasa murah dengan senyuman.

Artikel asal di sini. Berkaitan: Islam Pilihanku

Amalan syirik yang dominan dalam masyarakat hari ini

Golongan kufur zaman lalu mendakwa bahawa patung-patung yang diukir dengan batu dan kayu, yang tidak berkuasa untuk bergerak atau berbicara, memiliki sejenis kuasa bahkan mencipta alam semesta dan menguasainya, dan mereka menyembahnya dan memohon kesihatan, rezeki dan anugerah rahmat darinya.

Dengan keterangan ini, kita dengan jelas dapat membandingkan di mana majoriti besar manusia hari ini juga turut mengamalkan rasional serupa seperti yang dilakukan oleh para musyrikin silam. Para materialis dan evolusionis percaya bahawa unsur tidak bernyawa yang tersusun melalui himpunan dan longgokan atom yang kaku sebagai suatu kuasa. Mereka mendakwa bahawa sebagai suatu hasil kebetulan, materi yang tidak bernyawa berupaya mencipta dirinya sendiri untuk menghasilkan variasi hidupan yang sempurna dan begitu kompleks.

Bahkan, mereka menganggap semua kejadian di dalam alam semesta adalah di bawah kekuasaan atom-molekul yang kaku dan mati ini. Sebagai contoh, mereka menganggap bencana alam akibat gempa bumi (yang mereka sifatkan sebagai ‘kemurkaan alam’ atau ‘bencana alam’) adalah terjadi kerana kehendak ‘alam semulajadi’. Walau bagaimanapun, mereka gagal untuk menerangkan hakikat sebenar kuasa atau asal usul kuasa yang dipanggil alam ini.

Unsur yang dipanggil alam pada hakikatnya adalah tidak berbeza dengan tuhan sembahan yang digelar oleh masyarakat kufur silam sebagai ‘dewa bumi’ atau ‘dewa pemberi rezeki’. Perbezaan di antara keduanya hanyalah bentuk simbol; ketuhanan kini disifatkan sebagai materi yang mati dan tidak mampu dicapai dan juga kuasa kebetulan, yang mereka yakini bertanggungjawab terhadap kuasa penciptaan.


Pierre Paul Grasse, seorang ahli zoologi Perancis dan evolusionis yang bersemangat, menerangkan konsep ketuhanan yang tersembunyi bagi golongan evolusionis dan materialis sebagai berikut:


Kebetulan menjadi suatu pengurnia rezeki, di mana, di sebalik tirai ateisme, tidak dijolokkan dengan nama tetapi disembah secara rahsia.


Penyifatan kuasa penciptaan terhadap material yang tidak berjiwa dan atom yang mati adalah kecacatan logik akal yang sangat serius. Seperti mana kepercayaan para musyrikin zaman silam bahawa patung sembahan mereka adalah berkuasa mencipta makhluk hidupan, maka begitu jugalah halnya bagi para materialis dan evolusionis di zaman ini bahawa materi secara spontan berevolusi menjadi makhluk hidupan yang memberi suatu pengertian di mana elemen dan sejumlah unsur bahan sebagai kuasa hidup dan sedar yang membolehkannya memutuskan dan bertindak di atas sesuatu keputusan. Daripada sudut pandangan ini, mereka sebenarnya menyifatkan segala-galanya sebagai suatu sifat ketuhanan.


Sebagai contoh, evolusionis menganggap sekuntum bunga mawar dengan warna merahnya yang memukau yang tumbuh di permukaan tanah yang kotor sebagai tuhan kerana mereka percaya bahawa bunga mawar tersebut wujud dengan sendiri atau bahan dan unsur yang membinanya secara spontan mencipta dan membentuknya. Begitu juga halnya, mereka melihat buah limau, epal, strawberi, pisang, anggur, bebunga, rusa, singa, gajah, semut, lebah, lalat, ikan dan ringkasnya seluruh makhluk hidupan termasuk bukan hidupan memiliki kemampuan mencipta diri sendiri kerana mereka mendakwa bahawa semuanya membentuk struktur fizikal yang ada hari ini melalui kehendak dan kekuasaan yang tersendiri.


Dalam sebuah contoh lain, evolusionis mendakwa bahawa seekor lebah yang dahulunya adalah haiwan lain tidak semena-mena memutuskan untuk menjadi seekor lebah dan kemudian mula membentuk mekanisme tubuh badan yang berupaya menghasilkan madu. Mereka mendakwa bahawa lalat pada mulanya tidak berupaya untuk terbang, tetapi kemudiannya membentuk sepasang sayap dan dengan itu memulakan penerbangan. Bahkan, lalat ini menyiapkan diri mereka dengan mekanisme penerbangan yang sempurna dengan teknologi yang jauh lebih canggih berbanding kapal terbang dan helikopter yang ada hari ini.

Para evolusionis amat mahir mereka-reka cerita yang sama ke atas berjiwa juta hidupan lain di atas muka bumi. Semuanya berkongsi asas yang sama iaitu; susunan atom mati yang membina organisma hidupan atau alam di mana mereka berada memiliki semacam suatu fungsi sedar dan kebijaksanaan.

Istilah-istilah seperti pilihan semulajadi, mutasi rawak dan pemisahan geografi yang memberi sedikit sentuhan saintifik menghiasi cerekarama yang dihasilkan oleh evolusionis. Apa yang mereka agungkan pada hakikatnya adalah material kaku di dalam alam secara spontan berkuasa mencipta makhluk hidupan iaitu pisang, lalat, kucing, ikan paus, zirafah, rama-rama, semut, gajah dan generasi mereka seterusnya.


Berdasarkan kepada evolusionis, atom-atom ini jugalah yang mencipta ruang atmosfera dengan begitu sempurna, mentadbir dan merekabentuknya. Dan dengan itu, atmosfera mampu menjadi sebuah atap protektif bagi planet bumi dan membentuk segala keperluannya. Ini bermaksud, mereka mengagungkan materi yang memiliki sifat kekuasaan mutlak penciptaan. Menurut mereka, karbon, hidrogen, nitrogen dan besi semuanya adalah kuasa pencipta.


Sekali lagi, menurut kepercayaan pelik ini, atom yang sama juga mula berhimpun dan tidak semena-mena menyusun dirinya untuk membentuk sepasang mata yang mampu melihat. Tingkahlakunya begitu rapi dan sempurna yang memastikan bahagian lain mata akan membentuk rongga mata dan dengan begitu sabar menunggu sebarang akibat kebetulan yang akan membentuk rongga sebelum membentuk organ mata. Evolusionis melihat bahawa atom yang membina mata adalah pencipta kerana mereka percaya bahawa semuanya itu ‘berkemampuan untuk mencipta organ sesempurna itu’. Seperti mana masyarakat musyrikin silam menganggap hujan sebagai tuhan, para evolusionis juga turut mengangkat atom yang membina organ mata sebagai tuhan mereka.


Dari sudut pandangan ini, setiap individu dapat menyimpulkan bahawa agama bagi materialis dan evolusionis memiliki berjuta-juta tuhan untuk disembah. Dengan mendakwa bahawa setiap makhluk di dalam alam semesta wujud dengan sendirinya melalui sesiri kebetulan adalah bererti mengakui setiap satu daripada hidupan dan kuasa ini sebagai pencipta. Hal ini tidaklah jauh berbeza jika dibandingkan dengan logik yang mendorong seseorang itu menyembah berhala atau memohon kesihatan dan kebaikan kepada patung yang diukir. Pada hakikatnya, era zaman penyembahan berhala ini kembali dipraktikkan.


Berkaitan:
Jihad menentang agama batil (1)

(* Petikan dari buku Jihad Menentang Agama Batil oleh Harun Yahya)

Semua manusia bersaudara – Nik Aziz

Semua manusia seluruh dunia adalah adik-beradik sebenarnya tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.

"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.”

Amalkan kebaikan, hindari kejahatan: Guan Eng

"Sempena bulan puasa ini saya menyeru semua pihak tidak kira apa bangsa dan agama sekali pun marilah kita bersama-sama mengamal 'Amal Makruf Nahi Mungkar' sebagai jalan terbaik untuk atasi gejala moral di negara ini.” (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng)

Memetik dari laman Harakahdaily.net: Ujar beliau, hanya dengan mengamalkan kebaikan sambil menghindarkan perkara yang boleh menghampiri perbuatan terkutuk, negara dapat diselamatkan daripada hancur.

* Islam itu persaudaraan di kalangan semua manusia.

Ajaibnya kelahiran manusia

Pada mulanya tidak terlintas untuk aku menulis kisah kelahiran seorang manusia. Namun entah mengapa, tiba-tiba terdetik di sudut hati untuk aku mengisahkan suatu cerita tentang betapa ajaibnya proses kelahiran manusia dari rahim perempuan ke dunia fana ini.

Aku sudah dianugerahkan Tuhan tiga orang anak sebelum kelahiran insan baru itu. Tanggal 21 Oktober 2007 merupakan detik yang manis untuk aku dan isteri kerana kami dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, anak keempat. Memang benar, umur anak lelaki aku itu sudah hampir satu bulan sewaktu aku menulis kisah ini. Baru sekarang tergerak untuk menulis mengenai kelahirannya.

Rawatan antenatal isteri aku dilakukan di Hospital Pusrawi Sdn Bhd (Pusrawi) jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Kesemua anak aku memang dilahirkan di sana. Sewaktu mengetahui jantina anak yang sedang bersemayam dalam rahim mamanya, aku cukup gembira.

Kata doktor Daud yang merupakan pakar sakit puan di Pusrawi, “Awak akan dapat anak lelaki, insyaallah. Selang bunga nampaknya.”

Pada mulanya aku tidak faham apakah maksud ‘selang bunga'. Doktor Daud kata selang bunga ialah kelahiran anak berselang jantina; perempuan, lelaki, perempuan, lelaki. Merekalah anak-anak aku.

Kandungan semakin membesar. Manusia dalam rahim isteriku semakin aktif bergerak.
Bisnes katering berjalan seperti biasa. Mengandung atau tidak, bisnes diteruskan, kataku kepada isteri tersayang. Ketika itu aku dapat bayangkan bahawa anak tersebut akan mudah dilahirkan memandangkan pergerakan aktif isteri aku semasa membawa manusia ini ke hulur ke hilir.

Semasa satu sesi pemeriksaan, isteri aku berkata kepada doktor Daud, “Doktor, anak dalam rahim aktif awal pagi, sekitar 3.00 pagi ke atas. Tidak boleh tidur saya dibuatnya.”

Doktor Daud menjawab sambil tersenyum, “Anak awak mahu supaya mamanya standby berjaga malam.” Aku turut tersenyum.

Hari-hari terakhir bulan puasa berjalan seperti biasa, dengan ditemani sedikit kegelisahan kerana isteri aku mengadu asyik sakit-sakit. Tetapi pada awal pagi sekitar 3.00 pagi, elok pula budak itu aktif bergerak. Aidilfitri pun berlalu tanpa kelahiran manusia itu.

Hari Ahad, tanggal 21 Oktober 2007, selepas waktu Zohor, isteri aku mengadu mengalami sakit yang berselang masa setiap lima minit. Aku seperti biasa, tidak ambil kisah sangat kerana sudah lali dengan ‘perangai’ dia dalam rahim mamanya. Tetapi apabila isteri aku berkata bahawa memang budak itu sudah sedia untuk melihat abah dan mamanya, aku pun terus ke Pusrawi.

Aku dan isteri sampai di Pusrawi 15 minit menjelang jam 3.00 petang. Terus isteri aku dibawa masuk ke bilik bersalin. Selang lebih kurang 20 minit, doktor Salleh (doktor pakar yang bertugas pada hari itu) pun sampai untuk membuat pemeriksaan.

Aku bertanya, “Bagaimana doktor, bila bersalin?”Doktor Salleh jawab dengan yakin, “Petang ini juga.”

Dua jam lebih aku dan isteri di bilik bersalin, manusia lelaki itu pun lahir dengan selamat. Hendak tahu peristiwa ajaib kelahiran manusia, detik-detik berada di bilik bersalin dan perasaan aku ketika menyaksikan proses bersalin, nanti aku ceritakan dalam entri berikutnya.

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger