Saya
kongsikan secebis kisah yang sedang menuju ke penghujung penulisan ceritanya.
Ia sebuah novel adaptasi perjalanan kisah hidup jutawan muda Mohamad Azlan
Al-Amin. Buku yang menjadi rujukan ialah Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan.
Insya-Allah
ia bakal menjadi peneman dan sekali gus pelengkap buku terlaris itu.
Saya
kongsikan sekali posting Mohamad Azlan Al-Amin dalam Facebook, bersama fragmen
novel itu. Semoga bermanfaat.
----------+----------
“Dipetik
dari NOVEL MENGISAHKAN PERJALANAN HIDUPKU yang sedang ditulis oleh penulis Novel
terkenal Web Sutera. Tajuk
belum diputuskan. Insya-Allah, nantikan kemunculannya di pasaran tidak lama
lagi." -- Mohamad Azlan Al-Amin
**********
Waktu
merangkak meninggalkan sunyi, menyisih sepi dan melakar irama di kanvas masa.
Ia lalu memintal benang-benang pancawarna, dan kemudiannya menjelma menjadi lembaran
baharu yang tidak pernah dibayangkan oleh akal fana manusia.
Sungguh...
waktu itu membuka kesempatan, dan sekali gus menitip ibrah betapa tipisnya
hijab yang menabur kesempatan di sebalik kesempitan.
Demi
Dia yang Maha Merancang, sesungguhnya hijab kehidupan tidak terjangkau oleh
minda yang termanggu-manggu.
Tuhan
bersumpah demi waktu.
Kelmarin
telah berlalu, meninggalkan legasi yang baik dan buruk. Hari ini akan beransur
mendatangi persada dan lusa segera akan menjelang. Itulah janji-Nya kepada manusia
dan jin. Hanya yang bijak memahami makna waktu maka dia akan beroleh manfaat
dari mehnah dan peristiwa yang didepani selama hidup.
Kata
bijak pandai, ‘kelmarin adalah hari penyesalan, sekarang hari bertaubat dan
esok hari beroleh keputusan’.
Dari
satu sisi, dia tidak terasa sudah sepuluh hari berlalu sejak meninggalkan
teratak kemesraan itu. Namun ketika ini, di saat sendirian bermuhasabah,
Mohamad Azlan kerinduan. Masih jelas dalam ingatannya ketika dia melangkah
dengan rajuk yang membusung sekujur tubuh dan jiwanya. Rajuk... bukannya marah.
Terkilan mungkin.
Irama
waktu berkumandang syahdu mengetuk ruang-ruang hatinya agar kembali ke ribaan
dan pelukan ibu, berlari mendakap sekujur tubuh kurus si ayah dan bergurau
manja dengan adik-beradik.
Demi
Tuhan yang memintal waktu... dia merinduinya, sebuah keluarga miskin itu, yang
dihina dan ditohmah dalam pelbagai bahasa yang dilontarkan dari lidah-lidah
yang berpatahan. Sebagai manusia biasa, apabila mengenangkan setiap sumpah dan
ejekan kasar jiran-jiran sekampung, dia berkecil hati... bahkan sangat berkecil
hati.
Juga
mantan guru-gurunya yang memalit luka justeru kurang teliti dalam membuat
keputusan.
Namun...
“Masya-Allah. Astaghfirullah! Ya Allah,
aku hamba-Mu yang hina. Ampunkan aku yang masih berwalang durja justeru ujian
lalu. Mohon ya Rabb, jangan Engkau biarkan hatiku berkelana dalam kembara yang
menyesak jiwa. Mohon Engkau lapangkan hati ini agar dapat menerimanya.”
Rintihnya ke hadrat Allah Azza wa Jalla.
Sesekali
rasa sebal itu menyapa persada jati dirinya. Entah racun bisikan syaitan mana
yang melayah turun ke dalam hatinya yang kian dipupuk agar bersifat qanaah kepada pemberian Allah.
**********
Angin
semilir selepas asar membawa sedikit hawa panas. Ditambah dengan hangat yang seakan
bakal tiba pada suhu menggelegak di dalam dada membuatkan berdirinya Mohamad
Azlan persis tidak berpijak ke tanah. Hawa tidak menyenangkan itu menjamah
wajahnya yang muram. Saat-saat ini, dia hanya dapat dan mahu berbicara dalam
diam. Baginya, sudah tiada guna andai suara diangkat ke depan ayahnya yang
sudah berbuat keputusan. Baik atau buruk, adil atau tidak, biarkan ia berlalu
dahulu.
Dalam
lisan yang bisu, dia mengheret motornya agak menjauh dari laman rumah.
Adik-adiknya sekadar memerhati, dan dia maklum mereka terkesima terhadap apa
yang terjadi.
Langkah-langkah
kakinya longlai di petang yang meresahkan jiwanya. Sepasang lutut yang mahu
luruh. Ya... jiwanya sedikit rapuh saat ini.
Di
luar kawasan halaman rumahnya, baharulah dia duduk di atas pelana motor.
Hatinya semakin memberat. Dikuatkan sekujur badan untuk berpaling. Wajah
kasihan ibunya terserlah. Sedih.
Mohamad
Azlan termanggu. Terasa matanya semakin panas. Ada air mata yang ditahan-tahan
agar jangan keluar. Entah berapa lama dia berkeadaan begitu, dengan wajahnya
bertapak di wajah sedih ibunya. Dia menghela nafas dan kemudian mata
dipejamkan.
Nekad,
justeru dia tidak mahu terus berperang kata dengan ayahnya.
Biarlah.
Biarlah dia bawa hati ini, mungkin sebentar cuma. Biarlah, andai itu yang
terbaik untuknya. Diucapkan selamat tinggal, tetapi kata-kata yang amat berat
itu sekadar di dalam mindanya. Tiada terkeluar dari rongga mulutnya. Hanya
diam.
Sungguh... andai boleh aku tak mahu.
Tak mahu tinggalkan pondok ini, walaupun usang macam manapun. Apakan daya, dirinya seorang anak
yang terlihat pada pandangan si ayah sebagai bersalah besar.
Aku mungkin mahu tinggalkan rumah ini,
tetapi bukan sebegini. Aku mahu keluar sebagai orang yang berjaya, sebagai anak
yang membawa bahagia ke dalam rumah ini.
Namun
apa dapat ditelah lagi. Disebabkan perbezaan pandangan dan hujah, dia dihalau
oleh ayahnya.
Ya Allah! Ampunkan ayahku, kasihanilah
dia.
Enjin
motor dihidupkan. Pandangannya menghala ke depan. Hadapan yang mungkin nampak
lurus dek jalan yang berliku.
Begitulah
hidup ini. Dia kena teruskan langkah bersama doa dari ibunya, itu dia pasti.
>>
Saya Web Sutera, seorang novelis dan penulis yang sudah menghasilkan 34 buah
karya yang dibukukan, bergerak aktif menulis semenjak tahun 2010.
Bersama
saya beberapa judul karya yang ada stok. Andai sudi atau mahu berkenalan, saya
berbesar hati andainya tuan/cikpuan dapat memiliki karya-karya saya itu. Setiap
buku akan ditandatangan. Hubungi saya ya, melalui Facebook atau di sini. Insya-Allah
benda boleh bincang.