Saya kongsikan secebis kisah yang sedang menuju ke penghujung penulisan ceritanya. Ia sebuah novel adaptasi perjalanan kisah hidup jutawan muda Mohamad Azlan Al-Amin. Buku yang menjadi rujukan ialah Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan.
Insya-Allah ia bakal menjadi peneman dan sekali gus pelengkap buku terlaris itu.
Saya kongsikan sekali posting Mohamad Azlan Al-Amin dalam Facebook, bersama fragmen novel itu. Semoga bermanfaat.
----------+----------
“Dipetik
dari NOVEL MENGISAHKAN PERJALANAN HIDUPKU yang sedang ditulis oleh penulis Novel
terkenal Web Sutera. Tajuk
belum diputuskan. Insya-Allah, nantikan kemunculannya di pasaran tidak lama
lagi." -- Mohamad Azlan Al-Amin
**********
Waktu merangkak meninggalkan sunyi, menyisih sepi dan melakar irama di kanvas masa. Ia lalu memintal benang-benang pancawarna, dan kemudiannya menjelma menjadi lembaran baharu yang tidak pernah dibayangkan oleh akal fana manusia.
Sungguh... waktu itu membuka kesempatan, dan sekali gus menitip ibrah betapa tipisnya hijab yang menabur kesempatan di sebalik kesempitan.
Demi Dia yang Maha Merancang, sesungguhnya hijab kehidupan tidak terjangkau oleh minda yang termanggu-manggu.
Tuhan bersumpah demi waktu.
Kelmarin telah berlalu, meninggalkan legasi yang baik dan buruk. Hari ini akan beransur mendatangi persada dan lusa segera akan menjelang. Itulah janji-Nya kepada manusia dan jin. Hanya yang bijak memahami makna waktu maka dia akan beroleh manfaat dari mehnah dan peristiwa yang didepani selama hidup.
Kata bijak pandai, ‘kelmarin adalah hari penyesalan, sekarang hari bertaubat dan esok hari beroleh keputusan’.
Dari satu sisi, dia tidak terasa sudah sepuluh hari berlalu sejak meninggalkan teratak kemesraan itu. Namun ketika ini, di saat sendirian bermuhasabah, Mohamad Azlan kerinduan. Masih jelas dalam ingatannya ketika dia melangkah dengan rajuk yang membusung sekujur tubuh dan jiwanya. Rajuk... bukannya marah. Terkilan mungkin.
Irama waktu berkumandang syahdu mengetuk ruang-ruang hatinya agar kembali ke ribaan dan pelukan ibu, berlari mendakap sekujur tubuh kurus si ayah dan bergurau manja dengan adik-beradik.
Demi Tuhan yang memintal waktu... dia merinduinya, sebuah keluarga miskin itu, yang dihina dan ditohmah dalam pelbagai bahasa yang dilontarkan dari lidah-lidah yang berpatahan. Sebagai manusia biasa, apabila mengenangkan setiap sumpah dan ejekan kasar jiran-jiran sekampung, dia berkecil hati... bahkan sangat berkecil hati.
Juga mantan guru-gurunya yang memalit luka justeru kurang teliti dalam membuat keputusan.
Namun...
“Masya-Allah. Astaghfirullah! Ya Allah, aku hamba-Mu yang hina. Ampunkan aku yang masih berwalang durja justeru ujian lalu. Mohon ya Rabb, jangan Engkau biarkan hatiku berkelana dalam kembara yang menyesak jiwa. Mohon Engkau lapangkan hati ini agar dapat menerimanya.” Rintihnya ke hadrat Allah Azza wa Jalla.
Sesekali rasa sebal itu menyapa persada jati dirinya. Entah racun bisikan syaitan mana yang melayah turun ke dalam hatinya yang kian dipupuk agar bersifat qanaah kepada pemberian Allah.
**********
Angin semilir selepas asar membawa sedikit hawa panas. Ditambah dengan hangat yang seakan bakal tiba pada suhu menggelegak di dalam dada membuatkan berdirinya Mohamad Azlan persis tidak berpijak ke tanah. Hawa tidak menyenangkan itu menjamah wajahnya yang muram. Saat-saat ini, dia hanya dapat dan mahu berbicara dalam diam. Baginya, sudah tiada guna andai suara diangkat ke depan ayahnya yang sudah berbuat keputusan. Baik atau buruk, adil atau tidak, biarkan ia berlalu dahulu.
Dalam lisan yang bisu, dia mengheret motornya agak menjauh dari laman rumah. Adik-adiknya sekadar memerhati, dan dia maklum mereka terkesima terhadap apa yang terjadi.
Langkah-langkah kakinya longlai di petang yang meresahkan jiwanya. Sepasang lutut yang mahu luruh. Ya... jiwanya sedikit rapuh saat ini.
Di luar kawasan halaman rumahnya, baharulah dia duduk di atas pelana motor. Hatinya semakin memberat. Dikuatkan sekujur badan untuk berpaling. Wajah kasihan ibunya terserlah. Sedih.
Mohamad Azlan termanggu. Terasa matanya semakin panas. Ada air mata yang ditahan-tahan agar jangan keluar. Entah berapa lama dia berkeadaan begitu, dengan wajahnya bertapak di wajah sedih ibunya. Dia menghela nafas dan kemudian mata dipejamkan.
Nekad, justeru dia tidak mahu terus berperang kata dengan ayahnya.
Biarlah. Biarlah dia bawa hati ini, mungkin sebentar cuma. Biarlah, andai itu yang terbaik untuknya. Diucapkan selamat tinggal, tetapi kata-kata yang amat berat itu sekadar di dalam mindanya. Tiada terkeluar dari rongga mulutnya. Hanya diam.
Sungguh... andai boleh aku tak mahu. Tak mahu tinggalkan pondok ini, walaupun usang macam manapun. Apakan daya, dirinya seorang anak yang terlihat pada pandangan si ayah sebagai bersalah besar.
Aku mungkin mahu tinggalkan rumah ini, tetapi bukan sebegini. Aku mahu keluar sebagai orang yang berjaya, sebagai anak yang membawa bahagia ke dalam rumah ini.
Namun apa dapat ditelah lagi. Disebabkan perbezaan pandangan dan hujah, dia dihalau oleh ayahnya.
Ya Allah! Ampunkan ayahku, kasihanilah dia.
Enjin motor dihidupkan. Pandangannya menghala ke depan. Hadapan yang mungkin nampak lurus dek jalan yang berliku.
Begitulah hidup ini. Dia kena teruskan langkah bersama doa dari ibunya, itu dia pasti.
>> Saya Web Sutera, seorang novelis dan penulis yang sudah menghasilkan 34 buah karya yang dibukukan, bergerak aktif menulis semenjak tahun 2010.
Bersama saya beberapa judul karya yang ada stok. Andai sudi atau mahu berkenalan, saya berbesar hati andainya tuan/cikpuan dapat memiliki karya-karya saya itu. Setiap buku akan ditandatangan. Hubungi saya ya, melalui Facebook atau di sini. Insya-Allah benda boleh bincang.
0 comments:
Post a Comment