Pusat Pertukaran Internet Tempatan, Langkah Yang Menjimatkan

Sejak mula Internet ditawarkan kepada orang ramai secara komersial bermula dari tahun 1992 di negara kita, pembinaan rangkaian fizikal yang berupa kabel atas tanah, bawah tanah, dasar laut dan satelit rancak dilakukan, di peringkat kebangsaan apatah lagi di peringkat serantau dan global. Setiap syarikat penyedia perkhidmatan Internet (ISP) terpaksa mempunyai sambungan kepada talian atau kabel yang akan membawa data trafik ke seluruh pelusuk dunia. Setiap ISP sama ada menyewa talian kabel dari pembekal tempatan, serantau atau luar negara, atau terpaksa melabur sendiri dalam membina prasarana fizikal bagi menyediakan laluan Internet.

Setiap perkhidmatan Internet yang digunakan, seperti mel elektronik (emel) dan suara melalui protokol Internet (VoIP), akan melalui pintu keluar setempat (atau dinamakan aplikasi pintu keluar masuk) yang ada di setiap premis ISP dan kemudian barulah kandungan yang dijana tersebut akan menerawang keluar mencari alamat destinasi Internet tersebut, melalui rangkaian atau rangkaian-rangkaian.

Dari sini timbul pertanyaan, berapa lama emel atau panggilan telefon suara VoIP akan sampai ke destinasinya? Tidak melampau jika dikatakan bahawa perjalanan kandungan itu mengambil masa beberapa saat atau mungkin satu hari penuh. Kita biasa menggunakan aplikasi Internet paling awal dan tetap popular iaitu emel. Kita sangat biasa mendapat balasan dari pihak yang kita hantar dalam masa beberapa saat atau kurang seminit, dan kita juga pernah menghantar emel kepada rakan, tetapi rakan kita memberitahu bahawa beliau tidak menerima emel tersebut sehinggalah beberapa jam berlalu. Ini sangat mengelirukan jika difikir.

Salah satu faktor terpenting yang memain peranan dalam proses pemindahan sebarang kandungan yang dihantar melalui Internet ialah rangkaian yang berupa sama ada kabel darat, dasar laut, satelit atau yang terkini ialah gelombang radio dan rangkaian wayarles yang terlibat. Isu di sini ialah kelajuan atau kebolehan setiap rangkaian kabel pembawa tersebut yang diukur dengan kadar bit sesaat. Inilah juga yang dikatakan kebolehan jalur lebar, sama ada boleh membawa data kecil (seperti emel teks sahaja) atau data besar seperti kandungan multimedia seperti video seumpamanya.

Pelbagai rangkaian yang dilalui oleh data sebelum sampai ke destinasi mempunyai pelbagai tahap kelajuan, satu berkapasti tinggi - seperti 45 Mbps (megabit sesaat) - dan yang lain amat perlahan, seperti jika kita menggunakan talian Internet dail untuk akses Internet dari rumah dengan kelajuan talian telefon hanya sekitar 33.0 ke 50.2 Kbps (kilobit sesaat).

Sesebuah syarikat ISP mempunyai pelbagai sambungan tulang belakang Internet yang menghubungkan ke rangkaian pembawa yang terletak di negara-negara lain. JARING (www.jaring.my) misalnya mempunyai prasarana rangkaian utama berkelajuan 2.5 Gbps (gigabit sesaat) yang menghubungkan selatan hingga ke utara Malaysia, juga mempunyai sambungan bekelajuan 8 Mbps, beberapa talian 34 Mbps, dan 155 Mbps. Adakah semua prasarana itu dimiliki oleh JARING sepenuhnya? Tidak. Apa yang ISP ini buat ialah menyewa sambungan atau menghubungkan talian dalaman mereka kepada pembekal yang berada di Jepun, Singapura, Kanada atau terus ke Amerika Syarikat. Perkara ini juga benar bagi semua pembekal ISP di Malaysia.

Dari ini fahamlah kita bahawa setiap kandungan Internet yang dihantar atau dimulakan dari Malaysia, sebagai contoh emel dan VoIP, setiap emel atau panggilan VoIP mungkin melalui Singapura atau Amerika Syarikat sebelum sampai ke penerima, walaupun penerima atau destinasi tersebut juga terletak dalam Malaysia. Proses merentasi rangkain berbeza ini melibatkan apa yang dikatakan pertukaran Internet, iaitu setiap emel atau VoIP tersebut terpaksa menukar atau melompat ke rangkaian berlainan.

Secara lebih teknikal lagi, proses ini melibatkan aktiviti melihat-lihat atau mengamati (peering) bagi pertukaran trafik Internet di kalangan sesama rangkaian yang saling berkait. Ianya melibatkan tiga elemen; salinghubungan rangkaian fizikal, perhubungan teknikal antara rangkaian (yang melibatkan banyak lapis protokol telekomunikasi), dan perjanjian bentuk salinghubungan tersebut (yang merujuk juga kepada jenis teknologi dan protokol yang terbabit).

Maka isu yang ditimbulkan oleh pihak Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi Malaysia (KTAK) (www.ktak.gov.my) ialah belanja tinggi yang dihabiskan oleh pihak ISP dan Kerajaan tentunya dari sudut laluan setiap kandungan atau aplikasi Internet yang digunakan. Dan pastinya wang itu mengalir keluar negara.

Justeru seruan kementerian terbabit yang menganjurkan kepada ISP dan syarikat khidmat kabel tempatan supaya membina apa yang dinamakan titik atau pusat pertukaran Internet tempatan menjelang akhir tahun ini (2006) adalah bagi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung, bukan sahaja oleh ISP, malah yang terlebih pentingnya ialah pengguna. Dan pastinya bagi mengurangkan kerugian akibat dari pertukaran matawang asing dan seterusnya meningkatkan mutu sambungan Internet.

Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Menteri Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi berkata bahawa dengan membina pusat pertukaran Internet sendiri akan membantu negara menyelamatkan berjuta-juta ringgit dalam pertukaran matawang asing setahun dalam bentuk akses Internet. Sebagai contoh dari segi kos, menurut beliau, negara menanggung kos sejumlah RM10 juta ringgit bagi setiap satu peratus akses trafik Internet.

Beliau berkata perbelanjaan pembinaan pusat ini akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (www.mcmc.gov.my) dengan peruntukan permulaan sebanyak RM15 juta. Ini adalah termasuk belanja membeli beberapa peralatan penting sebagai langkah awal pembinaannya.

Pembinaan pertukaran Internet ini turut melibatkan proses menarik kabel antarabangsa bersambung ke pusat pertukaran Internet Malaysia yang akan dibina. Dengan ini akan mengurangkan kos pelayaran pengguna Internet dalam Malaysia yang sekarang ini terpaksa merentasi trafik Internet melalui Singapura atau Amerika Syarikat.

Sebagai contoh lagi dari segi penjimatan kos ialah apa yang terjadi kepada perkhidmatan VoIP. Panggilan telefon VoIP yang dibawa oleh Internet sekarang ini memang menjimatkan pengguna. Namun dengan adanya pusat pertukaran Internet Malaysia sendiri, panggilan tempatan VoIP yang sekarang ini terpaksa melalui Singapura dalam lingkungan 80 peratus, terus dapat menurunkan harga yang terpaksa ditanggung oleh penyedia perkhidmatan. Pastinya selepas itu, pengguna akan menikmati kadar panggilan yang lagi murah dengan mutu suara yang semakin meningkat.

Menurut pihak KTAK, pasaran VoIP Malaysia dijangkakan menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.5 billion menjelang akhir tahun 2010, hampir sekali ganda jangkaan tahun ini. Ini dapat dirancakkan lagi dengan jangkaan meningkatnya penerimaan dari pengguna awam lantaran harga yang pasti turut turun dengan adanya pusat pertukaran Internet yang dicadangkan oleh KTAK tersebut.

(Gambar: Katering perkahwinan - meja VIP)

*Rencana ini pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Kosmik, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2 comments:

ABDUL LATIP said...

Assalamualaiku,

Semoga saudara berada dalam keadaan sihat sejahtera dan bertambah banyak rezeki.

Web Sutera said...

Alaikumsalam,

Terima kasih atas doa Pak Latib.

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger