Nabi Muhammad (SAW) mendirikan masjid dan berkuliah di dalam masjidnya. Masjid Nabi (Muhammad) yang terletak di bandar Madinah itu adalah universiti paling tua di dunia. Justeru, dari satu sudut, Nabi Muhammad adalah profesor pertama di dunia.
Nabi Muhammad orang Arab, apabila beliau mengajar murid-muridnya yang terdiri daripada orang-orang Arab, beliau menggunakan bahasa Arab.
Ada muridnya yang datang dari luar negara - (Bilal dari Afrika, dan Salman dari Iran) - maka mereka berdua itu terpaksa belajar bahasa Arab, bagi mengikuti kuliah Nabi Muhammad.
Tidaklah pula, disebabkan ada segelintir pelajar luar negara dalam kelasnya, maka Nabi Muhammad pun menyampaikan kuliahnya menggunakan bahasa orang asing, (umpamanya bahasa Latin, bahasa dunia pada zaman itu).
Begitulah sunnah Nabi Muhammad.
Entah sunnah nabi mana yang digunakan oleh kerajaan kita hari ini, apabila ada pelajar asing dua-tiga kerat dalam kelas, maka pensyarah diwajibkan mengajar dalam bahasa Inggeris.
Sunnah Nabi Muhammad adalah berdasarkan prinsip “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.
Apabila Bilal dan Salman datang belajar di negeri Arab, mereka belajar bahasa Arab. (Natijahnya, kalau hendak belajar di negeri Cina, mestilah belajar bahasa Cina. Kalau hendak belajar di negeri Jepun, mesti belajar bahasa Jepun.)
Tidaklah pula Nabi Muhammad sebagai pensyarah, dan semua pelajar-pelajarnya, dipaksa mempelajari bahasa ketiga, umpamanya bahasa Latin, demi hendak mengajar pelajar asing yang ada dalam kelas.
Ini yang berlaku di negara kita sekarang. Semua pensyarah dan semua pelajar, tidak kira dari mana negara asal mereka, dan apa bahasa ibunda mereka, semuanya dipaksa belajar bahasa Inggeris.
Kita mesti kembali kepada Quran dan Sunnah, baru betul apa yang kita buat.
Tengoklah dengan mata kepala kita sendiri apa yang berlaku di negara-negara yang meminjam bahasa bekas penjajah masing-masing - India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, Burma, Ghana, Zambia, Kenya, Zimbabwe, dan seluruh benua Afrika dan Latin Amerika, sudahkah taraf pendidikan mereka sama maju dengan taraf pendidikan di UK, USA, Australia, Kanada, dan New Zealand?
Sudahkan negara-negara itu menjadi aman, makmur dan kaya raya?
Bandingkan dengan negara-negara di seluruh Eropah, Jepun, Korea dan lain-lain yang semuanya ‘ikut’ sunnah Nabi Muhammad (SAW) yakni mereka semua memandaikan rakyatnya dengan menggunakan bahasa mereka sendiri. (Sumber: Unika)
Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) dipetik sebagai berkata oleh laman berita Malaysiakini.
Berkaitan: Isu PPSMI: SN Pak Samad di pentas PAS
1 comments:
Senangnya jadi orang perasan. Berasakan diri telah banyak ilmu dan tidak ada lagi ilmu yang perlu dituntut.
Lalu mudahnya menganggap orang lain semuanya berfikiran tertutup, hanya dia berfikiran terbuka. Ada satu dua orang asing dalam majlis dah ubah bercakap asing, kononnya menghormati orang asing itu.
Terlupa ia untuk hormat kepada bahasanya sendiri. Terlupa etika terlupa estetika. Sedarlah, dalam disiplin ilmu bahasa pun tidak akan habis dipelajari manusia kerana begitulah luasnya ilmu Allah.
Post a Comment