Kira-kira tengah hari tadi sedang mengais-ngais tanah, mencabut rumput di pekarangan, telefon bimbit di saku berbunyi. Selepas menyambut salam daripada sdr Azizi, Timbalan Pengerusi ABIM, Perak, dia mengundang saya ke seminar tentang PPSMI pada 12 Julai di Perak. Saya memohon maaf kerana pada hari berkenaan sudah ada acara lain dipersetujui.
Sdr Azizi bertanyakan bagaimana perkembangan PPSMI, terutama selepas ada beberapa pernyataan daripada TPM/Menteri Pelajaran yang akan membuat pernyataan pada Julai ini. Saya beritahu beliau, tunggu sampai betul-betul diputuskan apa buah butirnya. Janganlah percaya sangat terhadap apa jua bayangan keputusan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik bangsa kita.
Peristiwa PPSMI ini sudah membuktikan banyak sekali fikiran karut marut, dan juga janji-janji penyelesaian yang diucapkan oleh menteri, dan sokongan pemimpin tertentu terhadap penentangan PPSMI di belakang-belakang yang tidak boleh dipercayai.
Ini pengajaran yang besar bagi penulis, budayawan dan cendekiawan. Jangan mudah terpesona, terkeliru dan teruja akan cakap-cakap pemimpin politik. Hanya angka dan fakta yang boleh dipegang mulai hari ini. Kalau sekali kita tertipu itu wajar; kalau dua kali bererti kita leka dan lalai; kalau sampai tiga kali kita ini badut bodoh ( bloody fool ). Jadi benarlah seperti kata orang: politik itu seni serba mungkin, termasuk seni penipuan.
Apabila PPSMI itu dilaksanakan pada tahun 2003 itu adalah penipuan total dilakukan di depan mata rakyat. Seluruh negara tertipu oleh kegelojohan dan keangkuhan politik. Mujurlah segelintir penulis, ilmuwan dan cendekiawan cepat-cepat bingkas bangun mendedahkan kebodohan keputusan politik nasional itu. Jadi sekurang-kurangnya walaupun belum dibatalkan, mata kita semua sudah celik; celik terhadap serangan politik terhadap tradisi, jati diri dan budaya bangsa. BERWASPADALAH DARI SEKARANG.
Jangan mudah menggadaikan kepercayaan. Ini adalah zaman budaya politik itu direnung dengan fikiran yang kritis-kreatif, ditapis, diragui kebenaran ucapannya, dan diteliti daripada setiap sudut, diperdebatkan sebelum diangguk. Jangan mudah terpesona dengan ketokohan. (Sumber: Bos lama saya, Dato’ Baha Zain, 1 Julai 2009)
0 comments:
Post a Comment