Terjemahan Hadis: Mengapa sukar untuk difahami?

17 Zulkaedah 1431H - Sedikit masa dahulu saya ada memperkatakan berkenaan terjemahan hadis Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam) yang sukar difahami justeru kerana ustaz syok sendiri.

Saya bukan dari aliran agama. Begitu juga majoriti masyarakat Islam Malaysia. Saya takut pembaca akan keliru dan justeru itu ilmu yang hendak disampaikan oleh Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam) tidak kesampaian. Terjemahan ke bahasa Melayu mesti disusun semula supaya memperoleh maksud yang jelas dan sesuai seumpama Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) bercakap dalam bahasa Melayu. Baca di sini untuk komentar penuh.


Berkaitan dengan isu ini, saya salin kembali dan siarkan di sini pandangan Puan Ainon Mohamad, Presiden Universiti Terbuka PTS, seperti di bawah.

Apabila Nabi Muhammad bercakap, apa yang beliau percakapkan itu dapat difahami oleh sesiapa sahaja yang mendengarnya, sehingga kanak-kanak pun faham. Begitulah jelasnya ciri percakapan Nabi Muhammad.

Tetapi kata-kata Nabi Muhammad yang begitu mudah dan jelas dalam bahasa Arabnya, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, orang yang pernah belajar agama di universiti Jordan pun belum tentu faham! Inilah yang pernah dialami oleh pasukan penterjemah buku "Riadhus Salihin" susunan Imam Nawawi. Penyemak projek itu adalah Prof. Madya Dr. Arief Salleh Rosman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Sesekali penterjemah PTS tidak faham teks terjemahan Melayu-Indonesia yang sudah terbit. Mereka pun bertanya kepada Dr. Arief apa makna terjemahan itu. Apabila beliau pun tidak faham teks Melayu-Indonesianya, beliau terpaksa membaca teks Arab hadith berkenaan dalam "Riadhus Salihin" edisi Arab, barulah beliau faham.


Ciri "boleh faham" ini ciri yang sangat penting dikekalkan dalam terjemahan hadith. Jangan sampai orang yang membaca terjemahan itu terpaksa bertanya kepada pakar-pakar agama, ataupun membuka kamus-kamus Arab.


Apabila makna ayat terjemahan kata-kata Nabi Muhammad itu tidak difahami, padahal dalam teks Arabnya ia sangat mudah dimengerti, maka dari sudut etika-ilmu, sebagai penterjemah kita sudah melakukan kesalahan, kerana kita memberi gambaran yang salah tentang kemahiran-berbahasa dan kemahiran-berkomunikasi Nabi Muhammad.


Beliau seorang yang mempunyai profisiensi bahasa yang amat tinggi. Apabila beliau bercakap, orang kafir pun faham. Malah, musuh-musuhnya pun faham. Paderi-paderi Yahudi dan Kristian pun faham.

Justeru kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad perlu diterjemahkan dengan menggunakan bahasa yang orang kafir pun faham. Ini adalah sunnah bahasa dan sunah komunikasi Nabi Muhammad.


Tetapi, banyak teks terjemahan hadis dalam bahasa Melayu, jangankan orang kafir, sesama ustaz pun tidak faham!

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger