Sejak bila Datuk T. Murugiah suka baca novel bahasa Melayu?

2 Safar 1432H - Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran diminta campur tangan dalam isu berkaitan novel Interlok bagi menyelesaikan masalah yang timbul, ekoran kontroversi yang ditimbulkan oleh kaum India terhadapnya.

Interlok adalah sebuah karya sastera bermutu yang mengambil latar masa sekitar 1910 sehingga 1957 dan ia tidak sewajarnya menjadi mangsa politik perkauman di tanah air.


Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) menegaskan, novel itu adalah satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Ia adalah rakaman realiti semasa yang cukup baik,
mengenai masyarakat Malaysia waktu itu iaitu zaman pra merdeka dan ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah.

Presidennya, Dinsman berkata, dengan menjadikan novel tersebut sebagai teks sekolah, para pelajar boleh mempelajari dan memahami asal usul terbentuknya masyarakat Malaysia seperti komposisinya hari ini.

Menurut beliau, oleh itu novel tersebut seperti juga novel-novel lain sepatutnya hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan sebagai bahan atau alat politik.

"Namun masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik. Semua perkara hendak dipolitikkan dan segalanya hendak ditelan oleh politik" katanya pada sidang media di rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, PAKSI tidak bersetuju dengan cadangan supaya novel Interlok ditarik balik daripada menjadi buku teks untuk SPM kerana tidak ada sebab untuk berbuat demikian.

"PAKSI berharap supaya pelbagai pihak di negara ini dapat berusaha secara betul bagi mengurangkan pemikiran dan sikap prasangka perkauman di kalangan masyarakat," katanya.

Kontroversi mengenai Interlok timbul apabila Gabungan NGO India memandangnya sebagai sebuah novel yang menghina kaum India, khususnya pada bahagian-bahagian tertentu, sehingga ia dikatakan sebagai karya bentuk 'rasis'.

Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia, Datuk A Vaithilingam, dalam kenyataannya, mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel tersebut sekiranya novel karangan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian teks sastera SPM.

"Tetapi apakah yang dikatakan menghina itu? Bahagian mana yang menghina orang India dan juga orang Melayu? Apakah kerana ada menyebut 'kasta paria', dan orang Melayu bodoh dan malas? Bagaimana pula dengan orang Cina yang hendak menjual anak perempuan?" tanya Dinsman.

Beberapa orang AJK PAKSI yang turut hadir pada sidang media itu bagaimanapun kesal dengan sikap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah kerana menimbulkan isu berkaitan novel itu.

"Dengan sikapnya itu, Datuk T Murugiah ternyata hanya memandang kepada sesuatu bangsa, khususnya bangsa India dalam bercakap mengenai sesuatu. Sedangkan sebagai Timbalan Menteri, beliau sepatutnya memandang semua bangsa bagi mewakili seluruh rakyat Malaysia, bukannya hanya memandang suatu bangsa sahaja.

"Disebabkan sikap beliau itu, isu tersebut menjadi semakin panas. Jadi, isu ini sememangnya tidak akan selesai jika kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran yang lebih bertanggungjawab dalam hal itu tidak campur tangan," tegas mereka.

Sekiranya kontroversi mengenai Interlok gagal diselesaikan dengan baik oleh kerajaan dan Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat, PAKSI terpaksa mengambil tindakan lebih tegas bagi mempertahankan novel-novel di tanah air dari menjadi mangsa politik perkauman.

Dalam masa terdekat, PAKSI bercadang untuk mengadakan forum terbuka bagi membincangkan perkara itu di kawasan yang sedang menjadi tumpuan orang ramai sekarang, iaitu di Tenang, sempena pilihanraya kecil DUN Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini.

"Cadangan PAKSI untuk mengadakan forum di Tenang itu janganlah pula disalahanggap oleh pihak tertentu. Tujuan kita bukanlah untuk berpolitik, tetapi kita mahu mengadakan forum itu di tempat tumpuan orang ramai. Kini tempat yang dikunjungi oleh orang ramai di DUN Tenang.

"Jadi eloklah kita adakan forum di DUN Tenang. Dengan itu, forum itu nanti akan dapat disertai oleh orang ramai, bagi membolehkan semua kaum dan semua pihak faham dengan realiti sebenar Interlok yang sebenarnya bukannya untuk menghina sebarang pihak, tetapi sebagai gambaran sebenar masyarakat Malaysia terutama pada waktu itu," tegas Dinsman.

Novel Interlok adalah satu daripada karya yang mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel Sandera mendapat hadiah ketiga. Manakala hadiah pertama dan kedua tidak dimenangi sebarang novel.

Sejak itu, tidak pernah ada pembaca yang merasa tersinggung dengan adanya bahagian yang dikatakan menghina itu dalam novel tersebut. Isu itu hanya timbul secara tiba-tiba sekarang, setelah kira-kira 40 tahun novel itu dihasilkan.

Pengarang novel itu, Datuk Abdullah Hussein sendiri sebelum ini dan sehingga kini turut diakui pelbagai pihak sebagai bukan seorang penulis bersifat 'rasis', baik dari segi perwatakan dan penulisannya.

(Oleh
Aziz Muda dan Majdan Yahya, Harakahdaily)

P/s: Aku hairan dan musykil. Apa yang diperjuangkan mereka?

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger