Konstantinopel: Kita hidup dan mati hanya untuk Islam

Pope Urban II di Majlis Clermont
Dalam usaha penyelidikan melalui sumber buku dan internet, penulisan novel Konstantinopel: Menjulang Panji Jihad banyak menemukan sudut pandang baharu bagi saya. Memang gatal tangan untuk berkongsi. Ini antaranya. Moga dapat manfaat bersama.

Abad ke-14 Masihi, Anatolia

Ketika kesultanan Saljuk seolah-olah diserap buana, beberapa kerajaan kecil suku kaum Turkuman muncul menjadi pemerintah di sepanjang pergunungan bermula dari sempadan Armenia Kecil di sebelah selatan sehingga ke pantai-pantai Laut Hitam. Pada awal abad ke-14 wujud dua belas pusat kekuasaan baharu di kalangan suku kaum Turki dari semangat ghazi yang diterap di kalangan perajurit berkuda tangkas mereka. Ia mendominasi peta politik di Anatolia.

Misi pembebasan umat Islam ke atas Anatolia Barat di awal hingga pertengahan abad ke-14 merupakan permulaan satu era baharu. Di bawah panji-panji jihad para ghazi keturunan Sultan Uthman bin Urtugrul, tentera berkuda Turki menyeberangi Selat Bosphorus dan Dardanella, dan seterusnya memasuki wilayah Balkan.

Sultan Uthman bin Urtugrul meninggal dunia pada tahun 1326. Ketika terlantar sakit tenat, beliau menyampaikan pesan kepada putera penggantinya, Urkhan bin Uthman.

“Wahai anakandaku, jangan kamu sesekali sibuk dengan perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah, Tuhan Sekalian Alam. Apabila kamu berhadapan dengan halangan, maka bersegera meninta pandangan para ulamak.

“Duhai anakandaku, berikan penghormatan kepada sesiapa yang mentaatimu. Berikan limpah kurnia kepada para tentera. Jangan kamu diperdaya oleh syaitan dengan tentera dan hartamu. Jangan sama sekali kamu menjauhkan diri dari ahli-ahli syariat.

“Wahai anakandaku, kamu tahu matlamat kita ialah mencari keredhaan Allah, Tuhan Sekalian Alam. Jihad akan membawa cahaya agama kita ke seluruh pelusuk alam. Hanya dengan itu sahaja akan lahir keredhaan Allah Azza wa Jalla.

“Duhai puteraku, kita bukan berperang justeru demi mengejar kuasa atau menguasai manusia. Sedarlah puteraku, satu-satunya laluan kita di dunia ini ialah laluan Allah. Satu-satunya matlamat kita ialah menyebarkan agama Allah. Kita hidup dan mati hanya untuk Islam.

“Inilah kedudukanmu yang sebenar.”

Ketika Sultan Uthman bin bin Urtugrul atau Sultan Uthman I meninggal dunia, wilayah Khalifah Uthmaniah menjangkau sehingga 16 ribu kilometer persegi. Pada era beliau, empayar Islam yang baharu dibina itu menguasai kawasan pantai di sebelah Laut Marmara.


** Hakcipta Terpelihara Web Sutera, insya-Allah.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger