Muhibah dan majmuk kekuatan ampuh milik rakyat Malaysia – Wan Azizah

KEADILAN mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Cina di mana sahaja mereka berada.

Kepada mereka yang pulang ke kampung halaman, pandulah dengan berhemah, biar lambat asalkan selamat.

Lazimnya sambutan tahun baru ini seperti sambutan perayaan lainnya, pasti akan diraikan dengan penuh rasa gembira bersama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga. Jelas terpancar semangat muhibah tulen di antara kita, tanpa mengira ras atau keyakinan, tatkala bersama-sama meraikan perayaan-perayaan tersebut. Tiada sengketa, tiada momokan dan tiada kecurigaan antara kita apabila semangat muhibah meresapi sanubari rakyat Malaysia.

Oleh kerana itu wajar kita menginsafi bahawa semangat muhibah serta masyarakat yang majmuk ini adalah antara kekuatan ampuh milik rakyat Malaysia. Perbezaan adalah lumrah, namun menghormati perbezaan dengan ikhtiar sedaya mungkin untuk kenal mengenali, sejajar dengan pesan Li-Taarafu, itu merupakan akhlak terpuji. Makanya lipat gandakan usaha, demi generasi kemudian, memupuk etika murni saling menghormati antara kita. Yakinilah rakyat Malaysia sudah matang, tiada momokan yang mampu memecah belahkan kita.

Sejarah merakamkan kemerdekaan serta kemajuan negara ini merupakan sumbangan seluruh rakyat Malaysia termasuk masyarakat Tiong Hua. Tiada siapa mahu ketinggalan demi memastikan negara ini bebas dari penjajahan. Tatkala generasi terdahulu berkorban demi membebaskan kita dari kezaliman penjajah, mereka membayangkan Malaysia yang adil untuk semua.

Akan tetapi, malangnya, semangat kemerdekaan 1957 dan semangat pembentukan Malaysia 1963 itu terencat di tengah jalan akibat ada penguasa yang mengabaikan nasib rakyat. Mereka hanya mementingkan tampuk kekuasaan dan sekadar mahu mengaut kekayaan negara buat memenuhi kantung mereka.

Manakala itu demi mengekalkan kedudukan, mereka sanggup mengolah tafsiran sejarah mengikut acuan mereka sendiri dan bertunjangkan politik perkauman sempit sekaligus cuba mendapat laba politik dengan menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Namun percayalah itu sekadar angan-angan kosong mereka sahaja. Rakyat Malaysia bijak menentukan hala tuju negara dan akan menepikan politik perkauman sempit yang berusaha menyemai kebencian.

Justeru demi bersama-sama rakyat Malaysia memacu perubahan yang lebih baik, Parti Keadilan Rakyat sentiasa mengungkapkan wacana dasar serta kebijakan sebagai tandingan kepada dasar usang yang diolah penguasa. Parti Keadilan Rakyat menyedari pendidikan merupakan asas kepada pembangunan negara.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat tidak akan ada sebarang diskriminasi dalam membangunkan pendidikan. Pengiktirafan sijil peperiksaan UEC akan dilaksanakan sejurus kita mentadbir negara.

Di samping itu, isu kenaikan kadar jenayah juga merupakan antara agenda utama yang diungkapkan Parti Keadilan Rakyat. Saya dan ramai lagi wanita di Malaysia sebagai ibu dan juga nenek berasa bimbang dengan kadar jenayah di negara kita yang mendapat tindak balas sambil lewa daripada kerajaan pusat. Saya menyeru kepada semua kaum ibu di Malaysia, marilah kita bersama-sama dengan KEADILAN yang telah pun menjalankan kempen "Wanita Malaysia Menentang Jenayah."

Akhirnya, Selamat Tahun Baru Cina saya ucapkan kepada seluruh masyarakat Tiong Hua. Ayuh kita berganding bahu dan bersama untuk membina Malaysia yang lebih baik. Moga tahun ular ini, kita dapat menyaksikan satu perubahan besar di Malaysia.

Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Jin Bu!

--- Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden, Parti Keadilan Rakyat.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger