Cabaran mentadbir negara adalah lebih rumit kini. Ekonomi yang lebih
global, persaingan yang sengit, kesenjangan pendapatan (income disparity)
yang meruncing di dalam negara dan kebebasan maklumat melalui media sosial,
adalah contoh-contoh cabaran yang merumitkan pentadbiran Malaysia.
Oleh itu, keupayaan sesebuah parti mentadbir negara dengan baik boleh
dinilai dari keaslian (originality) idea-idea baru yang dibawa untuk
berdepan dengan cabaran-cabaran ini. KEADILAN menganalisa Manifesto Barisan
Nasional untuk menilai tahap keaslian idea-idea yang dibawa supaya dapat
dibandingkan oleh rakyat.
Setiap janji yang dimuatkan di dalam Manifesto BN disemak dengan
program-program sedia ada dan Manifesto Rakyat, untuk menentukan sama ada janji
itu adalah idea baru, program sedia ada ataupun diciplak dari Manifesto Rakyat.
Dari 157 janji yang dimasukkan di dalam Manifesto BN, 15% (atau 23
janji) diciplak hidup-hidup dari Manifesto Rakyat. Sebahagian besar dari janji
BN iaitu 71% adalah program sedia ada atau sasaran umum yang memang menjadi
tanggungjawab kerajaan dan diketahui umum.
Oleh itu, hanya 14% atau 22 janji adalah idea baru yang belum diumumkan
atau dilaksanakan.
Setelah menjadi kerajaan persekutuan selamsa 56 tahun, Barisan Nasional
tidak mampu pun mengenengahkan idea-idea baru yang boleh menarik perhatian
rakyat. Mengitar semula program sedia ada dalam keadaan persekitaran
pentadbiran yang lebih rumit bermakna keberkesanan program sedia ada
menyelesaikan masalah rakyat juga semakin merudum.
Sebab itu, akhirnya Barisan Nasional terpaksa menciplak idea-idea
radikal Pakatan Rakyat yang popular dan menjadi harapan rakyat, sehinggakan 15%
dari Manifesto BN dimuatkan dengan idea Pakatan Rakyat.
Tindakan menciplak ini terutamanya berhubung perkara-perkara besar
seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol, memberi permit teksi
individu, peranan kerajaan membina rumah rakyat supaya tidak ditinggalkan
kepada swasta, membina rumah untuk pekerja estet dan bantuan yang adil kepada
sekolah menggambarkan bahawa Barisan Nasional akhirnya menerima hakikat
Manifesto Rakyat adalah baik, mampu dilaksanakan dan menepati harapan rakyat.
Oleh yang demikian, KEADILAN bakal memasuki PRU13 dalam keadaan Barisan
Nasional terpaksa mempertahankan Manifesto BN yang tidak asli dan disadur dari
Pakatan Rakyat.
Memilih Barisan Nasional bermakna mengekalkan program sedia ada yang
sudah terbukti tidak mampu mengubah nasib rakyat. Memilih Pakatan Rakyat
bermakna melaksanakan idea baru yang lebih asli dan radikal untuk menyelesaikan
masalah rakyat.
** Oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi, Ahli Jawatankuasa Dasar dan
Manifesto Pakatan Rakyat. Calun Pakatan Rakyat bagi Parlimen Pandan, Selangor.
0 comments:
Post a Comment