![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhRGFqgRmRpTlrTQhjFez7LLL6H6TcAOBpAejLF1NNq8ZMKVdxxXjDYxMCRLtPShKgu_2ulI7ZgEvW34uBLiqVqrmWfCPP_fDyJsFySyJwLN3WfD-vDNACO5OLwM_y9cY_0gbXSfHgUeac/s200/rafiziRamli.jpg)
Sekarang pun,
AFTA sudah pun dilaksanakan apabila pembelian kereta-kereta yang dikilang di
ASEAN tidak dikenakan sebarang cukai import. AFTA dilaksanakan untuk menghapuskan
halangan dagangan (trade barriers)
dalam bentuk tarif import supaya barangan boleh bergerak bebas tanpa
diskriminasi harga di dalam lingkungan pasaran besar ASEAN.
Yang
menyebabkan harga kereta naik melambung adalah cukai eksais dan cukai jualan
yang dikenakan dari kadar minima 85% hingga ke 115% ke atas harga asal kereta.
Cukai eksais dan cukai jualan inilah yang menjadikan harga jualan kereta
bertambah satu kali ganda, bukannya cukai import kerana AFTA telah pun
menghapuskan cukai import ke atas kereta-kereta dari negara ASEAN.
Setiap tahun,
90% dari kereta yang dijual di Malaysia dikilang di Malaysia atau negara-negara
ASEAN. Oleh yang demikian, untuk menurunkan harga kereta, dasar percukaian
negara perlu ditukar dengan menghapuskan cukai eksais ke atas kereta seperti
yang dicadangkan oleh KEADILAN.
Sebab itu,
apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak memahami faktor yang
meningkatkan harga kereta sekali ganda, ini menimbulkan keraguan sama ada
Barisan Nasional betul-betul ikhlas dengan janjinya untuk menurunkan harga
kereta. Lebih membimbangkan, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan
penurunan harga kereta dengan pelaksanaan AFTA membayangkan bahawa janji itu
hanya satu gimik politik yang tidak akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional
sekiranya menang nanti.
Makanya, saya
menyeru supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan sama ada:
1) Beliau
tidak faham tentang struktur percukaian negara dan tersilap membuat kenyataan
apabila menyebut pelaksanaan AFTA akan menurunkan harga kereta; atau
2) Beliau
tahu rancangan Barisan Nasional untuk mengaitkan janji menurunkan harga kereta
dengan AFTA tetapi bukan cukai eksais, sekali gus mengesahkan bahawa Barisan
Nasional tidak ikhlas untuk melaksanakan penurunan harga kereta
Saya tidak
pun akan memberi sebarang maklum balas terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin
Yassin bahawa Pakatan Rakyatlah yang menciplak Manifesto BN. Itu satu kenyataan
bertaraf kebudak-budakan yang tidak selayaknya datang dari seorang bekas
menteri kanan, maka ia tidak layak untuk diambil serius oleh rakyat Malaysia.
-- Siaran akhbar oleh Rafizi Ramli (foto), Pengarah
Strategi, Parti Keadilan Rakyat, 10 APRIL 2013. Beliau juga calun Parlimen Pandan,
Selangor untuk PRU ke-13.
0 comments:
Post a Comment