Kucing dan tikus merupakan dua jenis haiwan yang saling berkaitan. Dalam
perumpamaan Melayu pun, dikatakan tikus lawannya kucing. Sejarah kejadian
kucing dan tikus ini merupakan kekuasaan Allah. Namun, ada beberapa orang
penulis mengatakan kucing berasal daripada harimau / singa, manakala tikus dan
babi pula berasal daripada gajah.
Para penulis itu berperi tatkala Nabi Nuh dan pengikutnya berada dalam
bahtera yang mengharungi banjir besar:
Nabi Nuh gusar. Najis haiwan dan manusia memenuhi bahtera sehingga menyebabkan timbul rasa kurang senang kepada pengikut-pengikutnya. Maka Nabi Nuh berdoa dan memohon kepada Allah.
“Wahai Tuhanku! Bahtera ini dipenuhi dengan najis. Berilah petunjuk agar dapat aku menyelesaikan masalah ini.”
Maka Allah berfirman, “Wahai Nuh, belailah gajah itu, nescaya keluar darinya haiwan yang akan membersihkan najis-najis ini."
Maka setelah dibelai, keluarlah babi-babi dari gajah berpusu-pusu dan segera membersihkan semua najis sehingga bersih tanpa tersisa sedikitpun.
Si Iblis pula cemburu dengan mukjizat Nabi Nuh, maka dia pun turut mencuba membelai gajah. Dengan takdir Allah keluar darinya tikus yang banyak lalu merosakkan kapal Nabi Nuh.
Tikus yang banyak itu kemudiannya merosakkan bahtera sehingga dikhuatiri ia akan tenggelam. Nabi Nuh berdoa dan meminta kepada Allah bagi menyelesaikan masalah ini.
“Wahai Allah, bahtera ini telah dirosakkan oleh tikus. Aku takut kiranya bahtera ini akan karam. Berilah petunjuk kepadaku agar dapat diselesaikan masalah ini.”
Maka Allah berfirman, “Wahai Nuh, belailah harimau (singa) itu, maka akan keluar darinya haiwan yang akan memusnahkan tikus-tikus itu.”
Sebaik usai berbuat demikian, kucing keluar darinya dan memakan tikus-tikus itu sehingga habis semuanya.
Nuh bin Lamik bin Metusyalih bin (Nabi) Idris adalah Rasul Allah pertama
yang diutus. Seawal itupun baginda bercerita mengenai Dajjal - sang Pembohong
Besar - walaupun tidak muncul pada era itu kepada kaumnya.
Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda, “Sukakah aku ceritakan kepadamu tentang Dajjal,
yang belum diberitakan oleh Nabi lain kepada kaumnya? Sungguh Dajjal itu buta
mata sebelahnya dan ia akan datang membawa sesuatu yang menyerupai syurga
dan neraka. Adapun yang dikatakan syurga, maka itu adalah neraka. Dan aku
memperingatkan kalian sebagaimana Nabi Nuh memperingatkan kepada kaumnya."
(Hadis riwayat Muslim) -- (Hadis ini panjang)
Apa yang dimaksudkan dengan sabda di atas ialah Dajjal akan menipu agar
kita lalai dan terpesona dengan kerlipan neon, dengan syurga dunia iaitu
kemewahan, pangkat, harta dan wanita yang sekali gus akan menyebabkan kita lupa
diri dan hanyut dengan keduniaan semata-mata. Walhal itu hanyalah sementara dan
bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kembali nikmat-nikmat yang dikecapi
itu. Inilah juga yang diberitakan oleh Nabi Nuh kepada kaummya.
Saya – Web Sutera - bukan pengkarya
agung. Karya Teragung tetap selamanya Al-Quran. Segala puji dan puja
dikembalikan ke hadrat Allah Azza wa Jalla dengan ilham yang dimasukkan ke
dalam ruang minda saya.
“Daku bermohon pada-Mu ya Allah, andai
bengkok mohon luruskan daku. Andai tersalah, mohon sebatan cinta-Mu. Pastinya
daku tetap hamba-Mu yang daif, justeru ampunkan daku.”
Dalam pembacaan dan kajian berkaitan
Nabi Nuh dan bahtera, banyak polemik dan tafsiran ayat-ayat Al-Quran, sama ada
melalui saling merujuk ayat-ayat lain atau melalui pengukuhan hadis-hadis Nabi
Muhammad (SAW).
Malangnya, dalam masa yang sama, banyak
tafsir ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang diambil oleh penulis
tanpa kajian mendalam. Walhal dalam masa yang sama, kita sewajibnya menyedari
bahawa Perjanjian Lama (Taurat) dan Perjanjian Baru (Bible) sudah lama ditulis
oleh manusia, bukan lagi sebagai wahyu Allah untuk para nabi.
Dalam pada itu banyak juga diambil dari
apa yang dikatakan ‘hadis’ Nabi Muhammad (SAW). Padahal itu adalah sumber hadis
palsu yang diriwayatkan oleh penganut Syiah.
Sebagai contoh, dikatakan bahawa:
Para sahabat Nabi Nuh bertanya, ‘Bagaimana haiwan-haiwan ternak boleh berasa tenang dengan hadirnya singa?’
Lantas Allah timpakan demam kepada singa, dan itulah penyakit pertama kali wujud di muka bumi. Namun dalam tempoh beberapa masa, penghuni bahtera risau akan keberadaan banyak tikus. Mereka berkata, ‘Tikus merosakkan makanan dan harta benda kami.’
Lalu Allah mengilhamkan kepada singa sehingga ia terbersin. Maka kucing keluar dari bersin itu. Seterusnya tikus bersembunyi dan tidak boleh berbuat kerosakan lagi.
Dalam kisah lain yang dikatakan bersumber dari hadis:
“Setelah banyak kotoran najis bertumpuk, Allah wahyukan kepada Nabi Nuh supaya menyentuh ekor gajah, lalu keluarlah babi jantan dan betina. Kemudian sepasang babi itu memakan najis yang banyak itu.
Kemudian dalam masa yang lain, Allah perintahkan agar Nabi Nuh menyentuh ekor babi, lalu wujudlah tikus jantan dan betina.
Kemudian tikus-tikus itu menggigit tali-tali bahtera dan merosakkan makanan. Maka Allah menyuruh Nabi Nuh mengusap kening singa, lalu keluar sepasang kucing, lalu memakan tikus-tikus itu.”
Sekiranya benar kutipan-kutipan kisah di
atas, kita yang mempunyai akal sihat tentu bertanya, “Apakah yang memakan
kotoran atau najis babi? Apakah Nabi Nuh terhibur tatkala menyentuh babi yang
kemudiannya mengeluarkan tikus jantan dan betina?”
Kemudian serangkaian pertanyaan timbul
lagi, dan lagi. Nyata tiada jawapan pasti. Justeru para peminat akan kisah Nabi
Nuh dan bahteranya tetap akan terkeliru dan berasa pelik.
Tafsiran yang dicedok di atas adalah pengaruh
kisah dalam kitab Taurat atau nukilan ahli kitab atau dikenali sebagai
Israiliyat. Sekiranya kita mempercayai tafsiran Taurat yang diselewengkan itu,
maka Yahudi berjaya menanam doktrin jahat mereka dalam memalsukan kandungan
Al-Quran. Walhal Al-Quran sudah dijamin Allah akan tetap terpelihara sehingga
ke hari kiamat.
Lantaran itu, keyakinan dan pandangan
pentafsir Taurat dan Bible diambil oleh para penulis Islam. Mereka berpegang
kepada teori orientalis, maka semakin sulit untuk hasilkan hujah pembohongan
Yahudi.
Insya-Allah, saya akan sambung komentar
kisah ini dalam entri akan datang.
@@@@@@@
Berfikir iman dan amal, insya-Allah. Semasa satu sesi sembang dengan teman-teman pembaca buku, saya bercerita mengenai salah satu keajaipan Al-Quran. Saya bukan bijak pandai bidang agama, malah bahasa Arab pun hanya beberapa patah boleh diungkap, itupun tergagap-gagap.
Walaupun begitu, segala syukur dan terima kasih dipanjatkan ke hadrat Allah kerana anugerahkan saya nasihat melalui ujian dan kasih sayang-Nya. Saya memang insan biasa, tidak rajin menelaah Al-Quran setiap waktu, cuma cuba konsisten dalam membaca, menelaah makna dan mentaakul. Dalam merangkak dan sering tersasul itu, saya ulangi pembacaan.
Alhamdulillah. Di sela-sela menghayati ayat-ayat cinta Allah itu melalui pembacaan terjemahan dan tafsir, setiap kali saya menemui perkara baharu, walaupun ayat-ayat itu sudah dibaca entah kali yang keberapa.
Betapa
ajaib dan agungnya kitab Al-Quran. Setiap kali tika memahami maksudnya, setiap
kali itu juga kita menemui perkara baharu. Ya, baharu bagaikan tidak pernah
dibaca sebelumnya.
Subhanallah!
Maha Suci Allah. Beberapa nukilan bab dalam dua buah buku – Berfikir Gaya
Champion dan 50 Sup Champion Resipi Rasulullah – penulis daif di sisi
Allah ini bertinta dan mencatat sisi keajaipan Al-Quran. Bagaimana kitab suci
itu memimpin saya ke jalan Ilahi, ke sumber cahaya yang tidak pernah padam.
Betapa saya mengaji kembali melalui bantuan sang isteri.
Buangkan sifat malu untuk
belajar kembali membaca Al-Quran, walaupun dari seorang wanita bergelar isteri.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
3 comments:
Ada yg mengatakan kita boleh mendengar sahaja tetapi tidak sampai boleh percaya.
Ada juga perbahasan yg mengatakab jika kisah itu tidak kena dengan taraf seseorang nabi hatta memalukan nabi dan rasul tersebut maka tertolak kisah tersebut.
Sewaktu saya membuka perbincangan di wall saya hari itu saya ada merujuk tafsir al Azhar biasanya dalam tafsir Azhar Prof Hamka akan memberitahu sama ada sumber itu dari israiliyat atau dari syiah. Ini adalah lebih baik agar kita dapat membezakannya
Israiliyat ermmm.. saya sedang mencari kesahihan nama Hawa, Puteri Balkis, Zulaikha .. berasal dari ahli kitab @ israiliyat.
Tuan AAdam Jaafar ARahman, tidak semua sumber dari ahli kitab tidak boleh digunakan. Namun majoritinya memang tak boleh pakai. Tip utama ialah selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah, ia masih boleh diterima. Wallahu'alam.
Post a Comment