Aku banyak dosa - Web Sutera


Apabila saya menulis atau mungkin memberi pandangan, bukanlah bererti saya yang terbaik dalam kalangan kalian, bukan yang paling soleh pun. Saya mengakui diri ini juga pernah melampaui batas. Namun, insya-Allah, seandainya seseorang itu hanya dapat dan dibolehkan menyampaikan dakwah serta nasihat apabila di saat ‘sempurna’, nescaya tidak akan wujud pendakwah. Justeru, makin lama kita (dan saya) akan terus hanyut dan melupai untuk memberi peringatan.

Sering saya sebut, “Saya hamba Allah yang banyak dosa.” Mengaku diri ini hanya hamba-Nya yang daif, yang sentiasa bermohon keampunan-Nya.

“Ya Allah, daku hamba-Mu yang hina dina. Tunjukkan daku jalan-Mu yang benar. Amin ya Rabb.”


Semenjak saya menulis novel sejarah Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH dan memperoleh komen dari para pembaca, banyak yang terfikir. Buku-buku rujukan yang ditelaah semasa menulis novel ini saya rujuk kembali, di bab-bab tertentu. Itulah tercetusnya idea menulis sebuah buku berjudul Berfikir Gaya AL-FATEH.

Sangat banyak pengajaran yang boleh digali dan dipersembahkan kepada anak bangsa. Perlu sangat saya menulis sebuah buku berkaitan Al-Fateh dari taakulan diri, bahawa semangat sang pembebas Konstantinopel sewajibnya benar-benar difahami oleh anak muda. Ia bukan sekadar mengimbau kenangan kejayaan itu semata-mata, malah yang lebih utama ialah melihat sisi perjuangan baginda meruntuhkan kuasa tirani demi redha Allah dan Islam yang dijunjung.

Berfikir Gaya AL-FATEH ialah menyedari bukan manusia yang bagi pahala. Bukan manusia yang bagi syurga. Bukan mengharap puji manusia, bahkan tidak perlu sama sekali. Bukan redha manusia yang kita mahukan. Buatlah apa sahaja benda baik, andai matlamat cari redha manusia, ia sia-sia. Ingat Allah, ingat mati kita akan menghadap Allah.

Untuk saya dan kalian, sahabat yang saya sayangi. Hidup hari-hari, mati hanya sekali. Tetapi selepas mati itu kita akan hidup balik, kekal selamanya tak mati-mati lagi. Itu yang dibimbangkan. Justeru, untuk saya dan sahabat tersayang, buat perkara baik agar kita dapat hidup dalam syurga Allah di dunia akhirat, bukan di dalam neraka.

Jom mati secara Husnul Khatimah (kematian yang baik), dan ayuh hayati ibrah kisah sang pembebasa kota Konstantinopel.


** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger