Hayati
khutbah pertama di Masjid al-Aqsa setelah syiar Islam tergendala selama ratusan
tahun akibat penaklukan tentera Perancis dalam Perang Salib terdahulu. Kadi
Muhyiddin bin Zakiyuddin menjadi khatib pertama di masjid itu selepas
dibebaskan, pada hari Jumaat 27 Rejab 583 Hijrah. Antara kandungan khutbah Jumaatnya ialah seperti berikut:
“Wahai
sekalian umat Islam! Bergembiralah kalian kerana memperoleh keredhaan Allah
yang merupakan matlamat utama dan darjat tertinggi. Allah SWT mudahkan
pembukaan kota yang sekian lama hilang dari umat Islam ini melalui
tangan-tangan kalian, setelah berada di tangan kaum Musyrikin selama hampir
seratus tahun.
“Kalian
telah membersihkan kota ini yang Allah izinkan nama-Nya disebut dan diangkat di
dalamnya, membuang segala unsur syirik yang terdapat di setiap sudutnya dan
mengangkat semula asas-asas yang dibina atas dasar tauhid dan takwa. Masjid
al-Aqsa dibina atas dasar takwa, baik di hadapannya mahupun di belakangnyaa. Ia
adalah tempat moyang kalian Nabi Ibrahim alaihissalam, tempat Mikraj Nabi
Muhammad SAW dan kiblat kita di peringkat awal Islam.
“Ia
adalah tempat asal para nabi, tempat tuju para wali, tempat menetap para rasul,
tempat turunnya wahyu, dan tempat turunnya perintah dan larangan. Ia adalah
bumi suci yang disebut oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya.
“Ia
adalah masjid tempat solat Rasulullah SAW bersama Malaikat Muqarrabin, negeri
tempat Allah mengutuskan hamba dan Rasul-Nya yang ditiupkan ke dalam rahim
Mariam, yakni Nabi Isa alaihissalam yang dimuliakan Allah dengan risalah,
nubuwwah dan martabat ubudiah.
“Firman
Allah SWT: “(Nabi Isa) Al-Masih tidak
sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga
(sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa yang
enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada
Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka
semua kepada-Nya.” (An-Nisaa' 4:172)
“Masjid
al-Aqsa adalah kiblat pertama, masjid kedua dan Haramain ketiga bagi umat
Islam. Tidak dibenarkan kepada seseorang bermusafir untuk tujuan beribadah selain
dari Masjid Nabi, Masjidil Haram dan masjid ini.
“Andai
bukan kerana kalian adalah orang-orang yang dipilih Allah SWT daripada kalangan
penduduk negeri ini, masakan Dia akan mengkhususkan bagi kalian kelebihan yang
tiada tandingan oleh sebarang tandingan dan tidak dapat diatasi oleh sebarang
kemuliaan.
“Berbahagialah
kalian semua, kerana melalui tangan-tangan kalianlah mukjizat kenabian dicapai.
Ia berupa pertempuran-pertempuran seperti medan Badar, kezamanan-keazaman
seperti azam Abu Bakar as-Siddiq, pembukaan-pembukaan seperti pembukaan Umar
al-Faruq, tentera-tentera seperti tentera Uthman al-Affan dan kesatria-kesatria
pemberani seperti Ali bin Abi Talib.
“Kalian
memperbaharui kegemilangan Islam seperti di hari-hari pertempuran Al-Qadisiah,
Perang Yarmuk, kepungan kota Khaibar dan pembukaan-pembukaan Khalid al-Walid. Mudah-mudahan
Allah SWT membalas kepada Nabi kita sebaik-baik balasan. Jutaan terima kasih di
atas segala usaha yang telah kalian korbankan dalam melawan musuh.
“Mudah-mudahan
aliran darah yang kalian korbankan menjadi amalan yang mendekatkan diri ke
hadrat Allah SWT, dan mudah-mudahan Dia anugerahkan kepada kalian balasan
syurga, tempat menetap orang-orang yang bahagia. Hargailah nikmat besar ini
sebaik-baiknya. Laksanakan kewajipan-kewajipan bersyukur kepada Allah SWT. Sesungguhnya
Allah SWT telah khususkan kalian semua
dengan nikmat yang besar ini, dan memilih kalian untuk laksanakan gerak kerja
ini sehingga seterusnya.”
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment