Champion Gaya AL-FATEH: Harta benda dan usaha terbaik


“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali Imran 3:92)

Derma, pemberian atau harta benda yang diinfakkan (disedekahkan) menjadi teguran Allah, justeru ada manusia yang cenderung berikan sesuatu yang tidak baik. Ia juga dapat ditafsirkan sebagai pemberian usaha yang tidak bersungguh-sungguh atau samba lewa. Dengan kata lain, “Tak buat pun tidak mengapa.”

Usaha tekun dan jerih oleh ulama, dan pemimpin Khalifah Uthmaniah dalam membentuk jiwa-jiwa kental pada ghazi Islam bukan mudah. Namun usaha yang bukan mudah itulah yang berhasil dengan jayanya dalam mempastikan hadis Rasulullah SAW tercapai. Ia tradisi para pejuang era Negara Islam Madinah di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad SAW dan empat Khulafa ar-Rasyidin.

Inilah yang dikaji dan difahami secara tuntas oleh Sultan Muhammad al-Fateh, yakni menafkahkan segala harta benda, tenaga dan usaha dalam membentuk tentera terbaik. Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Al-Baqarah 2:267)

Dalam erti yang sama, harta benda yang diperoleh secara haram dan membeli peralatan perang dari sumber haram bakal menatijahkan doa-doa tidak dimakbul oleh Allah Taala. Ini diperangi secara tegas oleh para ulama penasihat kerajaan Uthmaniah. Inilah juga antara faktor kejayaan gemilang misi Sultan Muhammad al-Fateh.

Ulama, Sultan, para menteri, tentera dan rakyat mengangkat kedua-dua belah tangan ke langit, berdoa ke hadrat Allah. Perajurit kesatria Hasan Ulubate juga tidak ketinggalan demi mendamba redha Allah melalui syahid yang diidamkan.

Mereka fahami bahawa antara sebab doa dimakbulkan ialah dengan mengangkat tangan menadah dan merintih kepada Allah. Justeru Allah dengan Maha Kuasa dan Belas Kasihan-Nya berasa malu kepada hamba-hamba-Nya yang menadah tangan kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Pemurah. Dia berasa malu jika ada seseorang mengangkat kedua-dua tangan kepada-Nya, tetapi Dia (Allah) membiarkannya dengan tangan kosong tanpa memberi apa-apa.” (Riwayat Muslim)

Kata alim ulama, antara sebab doa termakbul ialah kerana dalam perjalanan jauh, situasi yang sesuai, mengangkat kedua-dua belah tangan ke langit dan meminta dengan bersungguh-sungguh. Faktor dalaman lain pula ialah pastikan makanan, pakaian dan senjata diperoleh dari sumber yang halal lagi diberkati Allah.


** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger