Ini merupakan kunjungan kedua saudara Web Sutera ke Knowledge Management (KM) Centre. KM ingin mengucapkan ribuan terima
kasih kepada saudara Web Sutera di atas kesudian beliau untuk bercerita tentang
buku-buku tulisannya dan juga pengalamannya menulis. Setakat ini, beliau telah
menulis sebanyak 10 buah buku, yang telah diterbitkan (tidak termasuk beberapa
buah ebook). KM turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang
meluangkan masa bersama kami pagi tadi.
Web Sutera memulakan sesi Book Chat kali ini dengan sedikit
pengenalan tentang dirinya sendiri, bagaimana beliau mula menulis, dan apa pula
yang mendorongnya untuk terus menulis. Menurutnya, walaupun dirinya bukanlah
seorang ustaz, tetapi dia juga ingin berdakwah. Dakwahnya adalah melalui
penulisan.
Kita berjihad dengan cara masing-masing. Jika
dahulu Web Sutera membawakan buku bertajuk ‘Macedonia: Alexander Agung - HijabRaja Zulqarnain’ dan buku tarbiah rohani ‘Berfikir Gaya Champion’, kali ini
beliau membawa buku yang baru sahaja diterbitkan, iaitu ‘PERANG ARMAGEDON: Pertempuran Besar Akhir Zaman’. Sebuah buku lagi berjudul ‘KONSTANTINOPEL: Kibaran Panji-panji AL-FATEH’. Kedua-dua buku ini laris dijual sehingga
kehabisan stok di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 yang baru sahaja
berakhir beberapa hari yang lepas.
KONSTANTINOPEL: Kibaran
Panji-panji AL-FATEH
Rata-rata kita sudah mengetahui dan pernah
membaca buku-buku yang mengisahkan tentang kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh.
Buku saudara Web Sutera ini juga berkisar tentang kejayaan Sultan Muhammad
Al-Fateh tetapi ianya lebih menyeluruh dengan mengambil kira zaman-zaman
sebelum itu, bermula dari Perang Khandak pada zaman Rasulullah (SAW).
Novel sejarah Islam setebal 885 muka surat
ini menjanjikan kelainan kepada pembaca. Ia seperti membawa kita mengembara ke
merentasi era Khulafa al-Rasyidin, Khalifah Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah,
Kesultanan Seljuk dan Khalifah Uthmaniah. Pengkisahan dalam novel ini berkaitan
kota Konstantinopel atau kemudiannya dikenali sebagai Istanbul.
Konstantinopel merupakan sebuah kota
bersejarah yang menjadi rebutan pelbagai pihak seperti Rom, Itali dan
kerajaan-kerajaan lain di Eropah. (Rom, Itali, dan suku kaum yang memerintah
kerajaan-kerajaan Eropah). Betapa pentingnya Konstantinopel dalam sejarah Islam
dan Kristian hinggakan disebut oleh Rasululullah (SAW) semasa Perang Khandak.
Sabda Baginda, “Kota Konstantinopel akan
jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin
dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.” (Riwayat Ahmad
bin Hambal)
Pemimpin pasukan yang berjaya menakluk kota
Konstantinopel ialah Sultan Muhammad Al-Fateh. Betapa agungnya pemimpin ini
bersama tenteranya, kerana tidak ada seorang pun daripada mereka yang pernah
meninggalkan solat wajib sejak akil baligh.
Akan terbit rasa keinsafan pabila kita
menyusuri sejarah para Sahabat Nabi yang cuba membebaskan Konstantinopel,
tetapi sering sahaja menemui kegagalan. Lalu apakah rahsia tentera Muhammad Al-Fateh?
Konsep 'kebergantungan kepada Allah SWT'
menjadi pegangan asas, selain daripada semangat jihad yang tinggi, tidak
mengaku kalah dan tidak takut mati kerana Allah. Tambahan pula, strategi perang
yang digunakan adalah sangat luar biasa membuatkan mereka berjaya akhirnya
setelah beratus tahun wafatnya Rasulullah (SAW), sekali gus membuktikan
kebenaran kata-kata Rasulullah (SAW) tentang pembebasan Konstantinopel oleh
sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera.
Berbeza dengan novel kisah Sultan Muhammad
Al-Fateh yang lain, Web Sutera tidak menulis secara kronologi. Teknik
yang beliau gunakan adalah penceritaan secara bolak-balik (flash back and flash forward). Web Sutera menyuntik sedikit
elemen fantasi untuk menarik pembaca meneruskan pembacaan. Namun Web Sutera
sebenarnya cuba mengajak pembaca berfikir apakah ibrah (pengajaran) dari kisah
ini. Senjata canggih dan tentera sehebat mana pun, tidak akan berjaya
tanpa bantuan dan izin Allah SWT. Setiap usaha yang kita lakukan
haruslah beserta doa. Doa itu senjata orang mukmin.
PERANG ARMAGEDON: Pertempuran
Besar Akhir Zaman
Buku kedua yang dikongsi saudara Web Sutera
ini merupakan sebuah novel futuristik (sci-fi).
Web Sutera mula menulis buku ini setelah diajukan soalan dalam satu sesi
bersama IKIM, adakah beliau berani menulis sebuah buku tentang ‘Armagedon’
versi Islam. Untuk menyahut cabaran dan permintaan tersebut, maka terhasillah
buku terbaru ini iaitu PERANG ARMAGEDON: Pertempuran Besar Akhir Zaman.
Buku ini karya fiksyen yang sarat dengan input dan fakta bersumberkan banyak
rujukan, bukan sekadar bersandarkan imaginasi.
Umat Islam kini berjuang habis-habisan untuk
membebaskan Baitulmaqdis dari cengkaman Zionis. Tiada siapa yang
mempunyai jawapan sampai bilakah kekejaman Zionis akan berakhir, melainkan
Allah SWT. Perang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.. Yakinlah bahawa
masa hadapan akan menyaksikan satu perang yang terpaksa kita atau generasi
hadapan hadapi.
Dalam peperangan, ada masanya kita perlu
mundur. Jika tidak berundur, kemungkinan kita akan hancur. Para
pejuang keimanan dan keadilan seharusnya melihat dua perkara dalam setiap usaha
– tauhid, iman dan akhlak; dan penggunaan teknologi. Walaupun seorang hafiz
yang hebat berperang dengan senjata yang canggih, keputusannya tetap ketentuan
Allah. Antara yang menarik dalam fiksyen berlatarkan masa depan ini ialah
teknologi yang digunakan - senjata, kenderaan, gajet dan sebagainya.
Salah satu plot dalam novel ini berkisar
kepada perang siber di mana musuh-musuh Islam (Yahudi) mencipta virus dan worm. Mungkin ini sekadar merupakan satu
plot cerita tetapi tidak mustahil ianya berlaku pada masa hadapan.
Diselitkan cerita tentang rancangan tentera Islam di Pangkalan Madinah yang
bersiap-sedia berhadapan dengan musuh. Mereka turut berhadapan dengan muslihat
pihak CIA dan FBI di Washington.
(Nota penulis: Tentera Islam juga
menghasilkan virus dan cecacing (worm)
untuk melawan balik serangan siber oleh puak kuffar itu.)
Perang akhir zaman adalah perang menentang
Dajjal. Sebelum bertemu Dajjal, ada musuh-musuh Islam lain yang perlu
ditumpaskan. Perang Armagedon itulah yang merujuk kepada perang akhir
zaman. Umat Islam akan menang jika bersatu-padu. Benteng terakhir dan
terkuat umat Islam bukanlah kubu yang kukuh, tetapi keimanan yang teguh. Baitulmaqdis
kelak akan dibebaskan sama seperti zaman Salahudin Al-Ayubi. Insya-Allah.
Walaupun ada unsur imaginasi, buku-buku karya
Web Sutera telah ditapis dan diluluskan oleh panel syariah dari segi ketepatan
hadis dan fakta di dalamnya.
Knowledge
Management, Research Division
CyberSecurity
Malaysia
An Agency
Under the Ministry of Science, Technology & Innovation (MOSTI).
Café ILMU @KMC (11th Session)
Date:
7th May 2014 (Wednesday)
Time: 11.30 am
Venue: Knowledge Management Centre (KMC)
Sharer: Web Sutera
Title:
Author: Web Sutera
0 comments:
Post a Comment