Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain, begitulah tajuk novel sejarah tulisan Web Sutera
atau nama sebenar beliau ialah Hizamnuddin Awang. Melihat tajuknya sahaja sudah
cukup untuk menarik saya membacanya bagi mengetahui apa pengisian yang
terkandung dalam novel ini.
Pada asalnya saya
sendiri tidak pernah terfikir bahawa Alexander itu adalah Raja Zulqarnain yang
digambarkan kisahnya di dalam al-Quran. Penulis-penulis barat banyak menulis
tentang Alexander dan mereka menyembunyikan kesahihan cerita yang sebenar
tentang Alexander.
Sebagaimana yang
diceritakan dalam al-Quran, Surah al-Kahfi ayat 83-98, Zulqarnain atau Raja Zulqarnain
merupakan pemerintah yang adil sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Beliau
adalah perintis yang membebaskan dua dunia, Timur dan Barat. Novel sejarah ini
adalah pencerahan kepada kebenaran yang disembunyikan oleh penulis-penulis
barat mengenai Raja Zulqarnain dan mengaitkan beliau dengan Alexander.
Semasa membaca novel
sejarah ini, terasa diri mengembara dan berjalan bersama dengan watak-watak
yang digambarkan oleh penulis. Jelas konsep penceritaan sejarah melalui cerita
diolah oleh penulis dengan baik sehingga menjadikan ia seronok dan
menghiburkan. Bukan bersifat fakta semata-mata.
Pada setiap permulaan
bab pula penulis memetik kata-kata hikmah dan terjemahan ayat-ayat al-Quran
sebagai panduan.
Sebelum menghabiskan bacaan saya tertanya-tanya, wujudkah
Kitab Cahaya Bersinar?
Rupa-rupanya kitab ini merupakan catatan perjalanan
Alexander yang ditulis oleh Sangarius, iaitu watak dalam novel ini. Tersenyum
seketika. Setelah menamatkan bacaan, ternyata hijab di sebalik kepalsuan yang
disembunyikan berjaya dibongkar.
Ketahuilah, Raja
Zulqarnain seorang pemerintah unggul, kasih sayangnya ditunjukkan melalui
keakraban pergaulannya dengan rakyat, keikhlasan dalam memberi khidmat dan
simpati kepada rakyat sebelum rakyat memberi khidmat kepadanya. Perwatakannya
berjaya menyentuh hujung hati saya.
Pada saya novel ini
bukan sekadar novel, tetapi ada pengisian penting yang perlu kita tahu. Semoga
kita tidak lagi dikaburi dengan pendustaan oleh penulis-penulis barat.
Antara yang menarik di
dalamnya, catatan sejarah merekodkan Nabi Muhammad S.A.W memiliki sahabat,
Sultan Muhammad al-Fateh juga ada sahabat. King Arthur ada sahabat pahlawan
meja bulatnya, Hang Tuah dengan saudara berempat. Laksamana Sunan pun ada
sahabatnya, begitu juga dengan Alexander.
Memetik kata-kata
novelis thriller no. 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid, “Karya ini seperti filem
yang kaya dengan seni.”
0 comments:
Post a Comment