Memadu janji mengikat ukhuwah, derap champion dipacu

Malam 27 Januari 2015, Editor Perolehan Galeri Ilmu mesej saya melalui FB, “Bro, esok ada program lagi. Sekolah rendah.”

Saya menarik nafas, sambil berkata, “Allahu!” Bukan apa, penat hari itu (26 Januari) masih tersisa, antara lain kerana meredah kesesakan jalanraya pergi dan balik dari lokasi sebelumnya. Tambahan pula pada hari Sabtu dan Isnin saya turut turun ke sekolah lain.

Saya bertanya lanjut, dan kemudiannya beroleh informasi lengkap. Cuak mulai melanda kerana saya kena berdepan dengan murid-murid sekolah rendah untuk program motivasi Berfikir Gaya Champion, Mudahnya Dapat A’.

Terlintas di dalam benak, bahkan saya ajukan kepada ketua tim Majalah Asuh serangkaian pertanyaan. “Bagaimana saya mahu buat? Apa yang saya hendak ceritakan kepada mereka? Apa pendekatan yang harus digunakan?”

Mengapa? Justeru saya kurang pengalaman berbicara dan berceloteh di depan khalayak murid-murid sekolah rendah. Bimbang mesej tak sampai dan budak-budak termanggu-manggu. Namun para sahabat memberi galakan, antara lain seperti berikut:

“Pak Web boleh buat. I trust you!”
“Abang Web la esok. I know you can do it, brother.”
“Kami harapkan tuan untuk program ini. Tuan boleh buat.”

Sedikit demi sedikit cuak dan ragu-ragu itu hilang. Subhanallah! Okey, sebelum tidur malam itu, saya lihat kembali slaid kandungan yang sudah digunakan dua kali untuk sesi di dua sekolah menengah. Olahan minda dibuat dan mesej saya sampaikan kepada ahli pasukan yang saya bersedia demi sampaikan ilmu kepada anak bangsa.

Esoknya lebih kurang jam 6.45 pagi, saya memandu ke ofis penerbit di Kota Damansara. Awalnya? Ya, awal ... untuk elakkan sesak jalan yang mungkin terjadi lantaran pelbagai sebab. Pada hari sebelumnya saya ambil masa sejam lebih untuk tiba ke sana, kerana ada lori terbalik, dan kemudian ada bas kilang rosak pula.

Saya tiba di ofis Galeri Ilmu sebelum jam 8.00am. Sarapan bersama Puan Dissa Azmin yang tiba lebih awal. Kemudian masuk ke lobi ofis, ada majlis tazkirah / motivasi dan doa keberkatan. Ini kali kedua saya sempat menyertai majlis pagi-pagi itu. Allah! Banyak ilmu yang saya peroleh.

Pada tarikh 27 Januari itu, bos besar Galeri Ilmu, Cikgu Abu Hassan Morad memberi tazkirah selepas beberapa hadis Rasulullah dibacakan oleh seorang ustaz. Antara pesanan Cikgu yang paling terkesan kepada saya ialah, “Jangan (cuba seboleh mungkin) tinggalkan solat berjemaah walau di mana pun berada. Kalau pergi ke mana-mana, cuba cari atau tunggu kawan atau orang lain dapat turut serta.”

Dengan doa selamat dari Cikgu Abu Hassan Morad, tim Majalah Asuh bergerak ke lokasi di Sek. Keb. SS19, Subang Jaya, Selangor. Dalam kereta saya masih berfikir apakah yang patut saya celotehkan kepada anak-anak sekolah. Lalu saya buka buku terbaharu sahabat Ustaz Adzhar Ibrahim berjudul Himpunan 60 Kisah Jenaka.

Saya risau sebenarnya untuk program budak-budak sekolah rendah. Untuk anak-anak sekolah menengah dan orang dewasa, saya yakin untuk bercerita. Kemudian dapat ilham dari buku yang sedang dibaca. Istighfar ... Allah berikan ilham.

Bak kata editor saya yang kerap diulang, "Allah belaka. Benda boleh bincang." Ya, benda boleh buat ... dari Allah, kita kisahkan untuk anak-anak bangsa.

Dapat idea. Antara celoteh saya untuk anak-anak sekolah ialah kisah Mullah (orang alim) yang diminta oleh Raja Timur Lenk agar mengajar keldai membaca. Saya baca sekali kisah itu, kemudian hafal.

Kami tiba di sekolah sekitar 10.30 pagi. Langkah kaki keyakinan dihayun. Selepas dua orang penceramah, tiba giliran saya pula. Dengan lafaz memohon lindungan dari syaitan yang direjam dan Basmallah ... saya mulakan celoteh dan perkongsian motivasi.

Alhamdulillah. Subhanallah! Apabila saya bercerita kisah mengajar keldai membaca itu, ada anak-anak yang terlopong, dan terdengar kata-kata salah seorang murid, “Mana boleh.” Lancar sahaja untuk program kali ketiga bulan Januari 2015. Insya-Allah, program berikutnya bulan Februari nanti.

"Perjalanan yang beribu batu bermula dari langkah kecil." Itu antara mesej yang saya kongsikan bersama anak-anak sekolah menengah dan rendah di program motivasi percuma Berfikir Gaya Champion, Mudahnya Dapat A’ bersama tim Majalah Asuh.

Tuan dan cikpuan yang mahu pasukan Majalah Asuh menemui anak-anak sekolah, sudikan hubungi nombor yang tertera di poster atas. Insya-Allah, ia percuma!

** Pesta Buku Selangor 2015, SACC, Shah Alam. Berlangsung dari 29 Jan. – 8 Feb. Sesi khas saya di pentas utama seperti tertera dalam poster, insya-Allah. Sudikan.

** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger