Sebermulanya PERANG ARMAGEDON

Novel PERANG ARMAGEDON ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. Semasa menulisnya saya berdepan dengan beberapa kepayahan, terutamanya dalam mengolah plot dan mencipta watak. Akibat banyak perkara mahu dimasukkan, kadangkala saya hilang fokus. Namun dengan suntingan editor yang terlatih dan tekun, akhirnya terhasil versi yang padat. Walaupun demikian, ia masih kekal gaya penulisan saya, antara lain teknik bolak-balik dan fast forward. Sebermulanya ...

PROLOG

Suatu ketika pada masa hadapan ...

Bumi berada dalam galaksi Bima Sakti yang padat dengan bongkah-bongkah asteroid, planet-planet dan najam cerekawala yang kompleks. Begitulah janji Allah yang termaktub dalam kitab agung, Lauh Mahfuz. Berdengung alam berbicara akan sifat-Nya yang Maha Benar lagi Maha Perkasa.

“Patutkah kamu berasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahan-Nya di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

“Atau patutkah kamu berasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahan-Nya di langit itu, menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu. Maka, dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaran-Ku?

“Dan demi sesungguhnya! Orang-orang (bukan Islam) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaan-Ku.” (Al-Mulk 67: 16 – 18)

Sekumpulan meteor memasuki atmosfera Bumi. Daripada Bumi, anak-anak meteor itu kelihatan seperti cahaya yang pecah dan bertaburan di langit. Seketika kemudian, kelihatan kumpulan meteor besar yang berada di belakang anak-anak meteor pula menuju ke Bumi.

Ia menghentam Bumi. Dentuman hebat kedengaran. Asap dan debu melata. Mereka yang jauh daripada lokasi hentaman merasai impak pertama. Buana disergah, lalu diselubungi selimut tebal isian asap dan dedebu. Seolah-olah awan berlapis-lapis sedang bermaharajalela. Belum apa-apa, Bumi mula bergetar di sana-sini. Gempa melanda.

“Itu adalah awan yang berlapis-lapis.” Ada kumpulan manusia berkata.

Orang-orang Islam yang berpuasa giat berdoa, “Ya Allah! Lenyapkanlah daripada kami azab itu. Sesungguhnya kami beriman kepada-Mu, ya Maha Gagah lagi Maha Besar.”

Asap tebal dan kelam menyelubungi seluruh permukaan Bumi. Juga menawan atmosferanya. Begitulah selama 40 hari dalam hitungan-Nya, Bumi berkeadaan demikian. Dunia gempar!

Semua terkena bahangnya. Orang beriman yang berpuasa terkena selsema. Penjajai Sang Pendusta teruk diserang selsema dan radang – kulit, mata dan pendengaran. Pemberian-Nya kepada warga Bumi. Hampir semua teknologi mutakhir lumpuh. Dengan izin Yang Maha Merancang dan Maha Penentu, Dia memastikan umat Islam selamat dan terpelihara teknologinya, walau sekelumit cuma.

Dunia bertukar arah dan doktrin. Islam kembali meniti gah dari negara ke negara, dari benua ke benua. Tika inilah Sang Dajjal muncul buat kali kedua dengan fitnah paling besar. Huru-hara disambut dengan cahaya Allah. Perang al-Malhamah membakar kegelapan. Kuda merenggek menunggu si pejuang jihad. Busur dan panah menggeletar.

Namun, sebelum itu ...

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger