Iblis Makhluk yang Berdendam


Dengan hikmah dan cinta-Nya, Allah dengan sebaik-baik ciptaan ingin menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi. Allah berfirman kepada para malaikat, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’.” (Al-Baqarah 2:30)

Namun justeru para malaikat tidak diberi ilmu oleh Allah dalam memahami rahsia serta hikmah ciptaan itu, maka mereka bertanya, “Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), ‘Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’.” (Al-Baqarah 2:30)

Maka Allah Azza wa Jalla menjawab, “Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya’.” (Al-Baqarah 2:30)

Allah dengan Maha Bijak memberi satu ujian kepada para malaikat sebagai bukti bahawa makhluk baharu itu sangat istimewa dan berbeza dengan ciptaan yang lain. Dengan itu Allah mengajar manusia itu nama-nama semua makhluk yang ada. Kemudian Allah yang Maha Bijaksana memerintahkan agar malaikat menyebut nama-nama yang diberitahu kepada manusia itu.

“Dan Allah telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda (nama makhluk) dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman, ‘Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar’.” (Al-Baqarah 2:31)

Sebaik memahami hakikat ciptaan itu, maka para malaikat mengakui kelemahan mereka. Justeru keagungan Allah diperakui oleh mereka dengan berkata, “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah 2:32)

Seterusnya Allah perintahkan Nabi Adam dengan firman-Nya, “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda (makhluk-makhluk) ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman, “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.”(Al-Baqarah 2:33)

Sebagai ciptaan terbaik dan termulia, Allah memerintahkan agar semua malaikat sujud (memberi hormat) kepada Nabi Adam, “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat, ‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam’. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Al-Baqarah 2:34)

Nyata bahawa semua malaikat yang menghuni langit tunduk akan titah perintah Allah, kecuali makhluk bernama Iblis. Dia enggan tunduk kepada manusia kerana rasa dengki dan sarat perasaan tinggi diri. Pada waktu itu, Iblis belum lagi mengisytiharkan perang terhadap Nabi Adam dan keturunan manusia yang akan datang kelak. Maksudnya senjata belum diangkat oleh Iblis dalam memerangi manusia.

Lalu Allah bertitah, “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkanmu?” (Al-A’raf 7:12)

Dengan takbur dan angkuh, si Iblis menjawab, “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A’raf 7:12)

Apakah si Iblis itu tidak mengetahui kekuatan dan keagungan Allah Taala? Pastinya dia mengetahui secara jelas. Namun oleh kerana sikap meninggi diri dan berasa diri terlebih baik, maka dia engkar. Dia mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptanya dan mencipta Nabi Adam, serta mengakui di dalam kuasa-Nya terletak kuasa Maha Tinggi untuk menghidup dan mematikan. Ia sangat jelas sebagai mana permintaan Iblis.

Si Iblis meminta kepada Allah dengan berkata, “Iblis berkata, ‘Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)’.” (Al-A’raf 7:14)

Lalu Allah menjawab, “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).” (Al-A’raf 7:15)

Dari ayat di atas, salah satu kesimpulan yang dapat difahami ialah pemberian tangguh kematian itu bukan seperti yang diminta oleh si Iblis. Yakni bukan sehingga hari kebangkitan semula, malahan hanya sehingga ‘waktu tertentu’ (hari kiamat).

Mengapa Allah sangat murka terhadap Iblis? Harus dimengerti salah satu nama-nama Agung Allah ialah Al-Mutakabbir. Ia membawa makna, antara lain, takabbur (takbur) dan kibriya’, yakni pemberitahuan tentang hak Allah SWT bagi sifat-sifat agung dan maha sempurna. Kerana sikap Iblis yang tidak mahu tunduk itu dan memberi alasan dia lebih baik daripada Nabi Adam, maka tiada tindakan lain selain firman Allah:

“Turunlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.” (Al-A’raf 7:13)

Dalam tafsir Fi Zillal al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb menulis:

“Sesungguhnya Iblis telah diusir keluar dari syurga dan dijauhkan daripada rahmat Allah. Dia berhak menerima laknat dan kemurkaan Allah Taala serta Allah menjadikannya termasuk dalam golongan yang hina. Akan tetapi Iblis yang jahat dan amat engkar itu tidak pernah lupa bahawa Nabi Adam adalah punca dia diusir dan dimurkai oleh Allah. Iblis tidak akan menyerah kepada tempat kembali dan penyudahnya yang buruk tanpa membalas dendam terhadap Nabi Adam serta memainkan peranan jahatnya yang telah diharunginya.”

Sebaik sahaja Allah menanguhkan kematiannya, Iblis terus melakukan pemberontakan dan menongkah arus murka Allah dengan pelbagai cara. Tanpa rasa malu dan takut dia merancang dan melaksanakan terlalu banyak pelan bagi menyesatkan kuturunan Nabi Adam dan Hawa, yakni kita manusia yang menghuni muka bumi ini.

** Olahan semula oleh Web Sutera dari kitab Al-Bayan fi Madakhil al-Syaitan (Pintu-pintu Syaitan) oleh Syeikh Abdul Hamid Al-Bilali, edisi terjemahan bahasa Melayu.
** KONSPIRASI MAHARAJA - Sudikan baca novel online percuma berkaitan konspirasi Zionis-Yahudi dan geng kuffar di SINI.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger