Pembentukan
sel pada makhluk hidup, merupakan hasil daripada interaksi yang dinamis dan
rumit, antara berbagai jenis sel, setelah melewati berbagai proses. Agar
interaksi ini boleh efektif, maka diperlukan unsur pokok yang menjadi elemen
untuk mensenyawakan berbagai sel, sehingga proses kehidupannya terus
berkembang.
Unsur
pokok atau asas itu adalah air. Air sumber kehidupan. Justeru, air mempunyai
peranan teramat penting dalam kehidupan di dunia ini – dari sudut membina
kehidupan baharu, mencari rezeki ataupun dalam taktikal peperangan.
Air
mengisi sekitar 90 peratus daripada kandungan zat protoplasma yang merupakan
zat pembentuk sel. Ia merupakan unsur penting dalam pembentukan sel-sel hidup
yang terdapat dalam tubuh manusia. Air adalah medium yang boleh mengaktifkan
enzim dan protein, dan lain-lain tindakan dalam tubuh benda hidup.
Banyak
lagi fakta sains tentang air. Namun bukan hasrat saya untuk mengupasnya di
sini. Apa yang saya mahu sorot ialah air itu elemen utama kehidupan di dunia
ini. Kajian sains dan apa yang termaktub dalam al-Quran tidak dapat disangkal
lagi. Allah berfirman dalam Kitab-Nya:
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Al-Anbiyaa’ 21:30)
Air
dan bencana berkaitan air turut menjadi teori dan hipotesis fenomena Armagedon
dalam agama Nasrani/Kristian dan Yahudi. Banyak catatan dalam Taurat dan Bible
berkenaan Armagedon ini. Adakah Armagedon adalah retorik? Apakah fahaman
Armagedon dari sisi Nasrani dan Yahudi? Apa pula menurut pandangan Islam?
Dalam
Bible ada tercatat: “Then they gathered the kings together to the place that in Hebrew is
called Armageddon.” (Revelation 16:16)
Terjemahan
dalam bahasa Melayu/Indonesia, antara lain: “Lalu
ia mengumpulkan mereka di tempat, yang dalam bahasa Ibrani disebut Armageddon.”
(Wahyu 16:16)
Banyak
filem dan dokumentari Barat dan Yahudi menggambarkan rupa bentuk sebuah bahtera
yang persis bahtera luar biasa yang dibina oleh Nabi Nuh a.s. untuk suatu
entiti atau wahana bagi menyelamatkan generasi manusia dari bencana Armagedon.
Di dalam bayangan mereka itu juga, mereka memperlihatkan gambaran haiwan-haiwan
yang dikumpul memasuki bahtera itu.
Bahtera
agam lagi sangat canggih itu dibina dengan menggunakan pelbagai teknologi
terkini yang dicapai manusia melalui gabungan ribuan saintis dan bijak pandai
dalam pelbagai bidang. Itulah satu-satunya bahtera atau kapal laut terbesar
yang pernah dibina manusia.
Begitu
juga bahtera Nabi Nuh a.s. di zaman baginda. Ada pandangan ulama memberitahu
bahawa bahtera baginda itu tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal
pengangkut binaan manusia sehingga kini, mungkin sehingga berakhirnya dunia
fana ini nanti.
Penyebab
kemusnahan satu kaum manusia – Bani Rasib – di era Nabi Nuh a.s. disebabkan
malatepaka banjir amat besar lagi bergelombang ganas. Dalam filem Armagedon
2012 juga muka planet Bumi berakhir tamadunnya disebabkan air, setelah banyak
siri bencana lain sebelumnya. Filem ini ialah adaptasi kisah kejadian bencana
alam dari ceritera Nabi Nuh a.s. Tetapi mereka hanya melihat sisi bencana yang
memusnahkan kehidupan di bumi, bukannya sebagai hukuman Allah kepada kaum kafir
yang menyembah banyak berhala di era Nabi Nuh a.s., lagi amat zalim terhadap
golongan miskin dan sederhana.
Sementara
itu, dalam kisah apa yang pihak Barat dan Yahudi gambarkan sebagai ‘penaklukan’
kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, mereka turut menjadikan
kisah itu sebagai fenomena Armagedon. Yakni musnahnya sebuah peradaban Kristian
Empayar Bizantin oleh sebab serangan terancang tentera Islam pimpinan sultan
berumur 21 tahun itu.
Daripada
tertawan dan runtuhnya benteng kota Konstantinopel, mereka sifatkan peristiwa
itu sebagai Armagedon yang musnahkan penguasaan Barat ke atas dunia. Pada hemat
saya, itu pandangan etnosentik dari lensa mereka yang kekal bersangka jahat
kepada Islam.
Walhal,
kita menyakini bahawa itu ialah sebuah misi suci bagi membebaskan satu kuasa
tirani selama lebih seribu tahun menjarah manusia dalam doktrin yang kurang
baik untuk kemanusiaan, pemerintah zalim yang suka merampas harta rakyat. Usaha
Sultan Muhammad Al-Fateh itu antara lain, ialah sisi membebaskan perhambaan
sesama manusia.
Bagi
pihak Barat, terutamanya orang-orang yang tidak mempercayai hari pembalasan di
akhirat, Armagedon merujuk kepada kejadian malapetaka yang akan memulakan
kehidupan baharu spesis manusia di muka Bumi. Banyak filem juga menggambarkan
suatu ketika planet ini akan diserang oleh makhluk asing dari planet lain, lalu
generasi manusia hancur, hanya segelintir yang terselamat. Kemudian kumpulan
kecil pejuang-pejuang manusia akan bertungkus-lumus menyelamatkan saki-baki
manusia agar tidak pupus.
Namun
dari pandangan Islam, Armagedon (asalnya dari ajaran Yahudi dan Nasrani) ialah
satu perkataan yang merujuk kepada kejadian atau perang atau siri perang di
antara dua golongan – Islam melawan kafir Zionis-Yahudi. Ia juga merujuk kepada
kejadian malapetaka – akibat perbuatan tangan-tangan manusia – yang menjadi
siri kejadian penanda akhir zaman, dan akhirnya terjadi perang Al-Malhamah
Al-Kubra sebelum jagat raya ini kiamat.
Bermulanya
misi menyahut dan mencari jalan penyelesaian bagi mencapai ramalan kenabian
Nabi Muhammad SAW oleh Sultan Muhammad Al-Fateh ialah dengan melihat air.
Yakni, baginda Sultan melihat laut di sekitar Asia dan Eropah, khususnya Laut
Tengah atau Laut Mediterranean dan Laut Hitam.
Maka baginda menguatkan armada
tentera laut dengan kapal-kapal besar, terkini dan tentera yang terlatih
mengendalikan kapal dan bertempur di lautan.
Faktor
air di selat Tanjung Emas turut menjadi penghalang utama gerakan memanjat
benteng kota Konstantinopel. Maka akhirnya Sultan Muhammad Al-Fateh dengan
nasihat ulama besar, ‘melayarkan’ kapal-kapal melintasi ‘samudera’ bukit
sehingga tiba di sempadan sebelah sana, sempadan musuh. Pihak musuh gempar
kerana membayangkan seolah-olah kapal-kapal itu ‘terbang’ atau ‘belayar’
menaiki bukit.
0 comments:
Post a Comment