Dare to be different!


Menulis ini bukan perkara main-main. Sesungguhnya secara tak langsung, ia cerminan si penulis dan apa yang dibaca, budaya apa yang digemari dan antara lainnya apakah jenis manusia itu.

Dasawarsa-dasawarsa yang berlalu, membetik banyak penyebab saya menulis. Sebermula di tahun-tahun 90-an, saya mulai aktif menyumbang rencana dalam banyak majalah berbahasa Melayu, ada kolum dalam Berita Harian dan menjadi feature writer dalam sebuah majalah bahasa Inggeris.

Minat menulis muncul justeru gila membaca, walaupun ada orang kata saya ‘mat cintan’ pada waktu itu. Entahlah! Terasa juga kerana seolah-olah membaca itu benda sangat pelik. Puisi adalah genre pertama digeluti, semenjak di bangku sekolah menengah lagi.

Oh ya! Saya bukan mantan budak sekolah aliran sastera, bahkan saya sangat meminati sains dan teknologi. Sepanjang tempoh pengajian saya ialah dalam bidang sains dan teknologi. Justeru sebaik grad dari universiti, saya bekerja sebagai editor di Dasar Padu, syarikat milik Dato’ Baha Zain. Tugas utama saya ialah mengeluti subjek matematik untuk dihantar kepada Kementerian Pendidikan.
***********

Semasa bekerja makan gaji selama lebih 14 tahun dan menguruskan bisnes katering sekarang ini, selain solat dan membaca al-Quran, membaca buku fiksyen sama ada berbahasa Inggeris atau Melayu boleh menenangkan minda. Itu yang saya dapat rasai.

Kerehatan yang paling besar semasa bekerja ialah ketika solat, berhubung dan bercakap dengan Allah Azza wa Jalla. Seterusnya, membaca ayat-ayat suci Quran dan menelaah terjemahannya di waktu senggang. Minda dan tubuh badan juga dapat direhatkan ketika saya membaca novel yang baik.

Semasa bekerja di MIMOS Berhad dan JARING Communications selama hampir 12 tahun, antara tugas yang diamanahkan ialah menulis, sama ada laporan tahunan, surat berita ataupun artikel surat khabar dan majalah. Itu tugas rasmi. Justeru minat menulis dicanai, antara lain, melalui potfolio tugas.

Di samping itu saya mengambil kesempatan menghantar rencana berkaitan teknologi, internet dan ICT kepada beberapa majalah bahasa Melayu. Ini tugas tidak rasmi yang mendatangkan duit tambahan. Justeru tidak hairan jika saya memiliki banyak koleksi buku-buku bahasa Inggeris yang mencakupi bidang-bidang yang disebutkan.

Minat membaca yang ditanam sejak di bangku sekolah lagi menghadirkan koleksi fiksyen bahasa Inggeris dan Melayu dalam rak buku. Pada suatu sela dasawarsa kehidupan, buku-buku juga tersimpan di rumah emak di Pahang dan di rumah emak saudara di Jerteh, Besut, Terengganu. Minda menjadi tenang bila membaca bahan-bahan bacaan yang baik.

Minat membaca, menelaah dan mengkaji dipupuk dan dibajai melalui penulisan yang dikongsikan.

Dare to be different!
** Saya WEB SUTERA, novelis dan penulis yang sudah menghasilkan lebih 17 karya berbentuk buku.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger