Menulis ini bukan perkara main-main.
Sesungguhnya secara tak langsung, ia cerminan si penulis dan apa yang dibaca,
budaya apa yang digemari dan antara lainnya apakah jenis manusia itu.
Dasawarsa-dasawarsa yang berlalu, membetik
banyak penyebab saya menulis. Sebermula di tahun-tahun 90-an, saya mulai aktif
menyumbang rencana dalam banyak majalah berbahasa Melayu, ada kolum dalam
Berita Harian dan menjadi feature writer dalam sebuah majalah bahasa Inggeris.
Minat menulis muncul justeru
gila membaca, walaupun ada orang kata saya ‘mat cintan’ pada waktu itu.
Entahlah! Terasa juga kerana seolah-olah membaca itu benda sangat pelik. Puisi
adalah genre pertama digeluti, semenjak di bangku sekolah menengah lagi.
Oh ya! Saya bukan mantan budak sekolah
aliran sastera, bahkan saya sangat meminati sains dan teknologi. Sepanjang
tempoh pengajian saya ialah dalam bidang sains dan teknologi. Justeru sebaik
grad dari universiti, saya bekerja sebagai editor di Dasar Padu, syarikat milik
Dato’ Baha Zain. Tugas utama saya ialah mengeluti subjek matematik untuk
dihantar kepada Kementerian Pendidikan.
***********
Semasa bekerja makan gaji selama lebih 14
tahun dan menguruskan bisnes katering sekarang ini, selain solat dan membaca
al-Quran, membaca buku fiksyen sama ada berbahasa Inggeris atau Melayu boleh
menenangkan minda. Itu yang saya dapat rasai.
Kerehatan yang paling besar semasa bekerja
ialah ketika solat, berhubung dan bercakap dengan Allah Azza wa Jalla.
Seterusnya, membaca ayat-ayat suci Quran dan menelaah terjemahannya di waktu
senggang. Minda dan tubuh badan juga dapat direhatkan ketika saya membaca novel
yang baik.
Semasa bekerja di MIMOS Berhad dan JARING
Communications selama hampir 12 tahun, antara tugas yang diamanahkan ialah
menulis, sama ada laporan tahunan, surat berita ataupun artikel surat khabar
dan majalah. Itu tugas rasmi. Justeru minat menulis dicanai, antara lain,
melalui potfolio tugas.
Di samping itu saya mengambil kesempatan
menghantar rencana berkaitan teknologi, internet dan ICT kepada beberapa
majalah bahasa Melayu. Ini tugas tidak rasmi yang mendatangkan duit tambahan.
Justeru tidak hairan jika saya memiliki banyak koleksi buku-buku bahasa
Inggeris yang mencakupi bidang-bidang yang disebutkan.
Minat membaca yang ditanam sejak di bangku
sekolah lagi menghadirkan koleksi fiksyen bahasa Inggeris dan Melayu dalam rak
buku. Pada suatu sela dasawarsa kehidupan, buku-buku juga tersimpan di rumah
emak di Pahang dan di rumah emak saudara di Jerteh, Besut, Terengganu. Minda
menjadi tenang bila membaca bahan-bahan bacaan yang baik.
Minat membaca, menelaah dan mengkaji
dipupuk dan dibajai melalui penulisan yang dikongsikan.
Dare to be different!
**
Saya WEB SUTERA, novelis dan penulis yang sudah menghasilkan lebih 17 karya
berbentuk buku.
0 comments:
Post a Comment