Tanggal 27 dan 28 Mac 2015 terasa penat
dalam wisata mencari damai di sebalik warna-warna dunia. Jumaat 27 Mac, antara
lain, menemukan saya dengan suatu isi khutbah yang memberi ibrah (pengajaran)
di sebuah masjid di Rawang. Isi khutbah yang menggamit isu semasa, termasuk
hudud yang dipertikai oleh bukan sahaja non-muslim, terlebih lagi manusia yang
mengaku Islam. Walhal, mengikut isi khutbah yang memetik ayat al-Quran itu,
bahawa manusia ‘Islam’ itu adalah manusia bertopeng syaitan.
Remang panas yang
membahang sekujur tubuh dan sekeping jiwa yang menadah redha Allah Taala. Kisah
dan ceritera berterabur di jalanan. Nun di puncak, kelibat sang penglipur lara
turut bersenandung irama sumbang, mencari sudut untuk berbuat mungkar! Allahu
Allah!
Kemudian 28 Mac pula
menemukan suatu komuniti sebuah kampung di Batu Caves. Dalam bicara dan sembang
sambil menjual buku dan buah fikiran, terbongkar kisah bahawa orang Islam
apabila dipanggil untuk bacaan Yasin untuk anak-anak sekolah, hanya lima orang
yang hadir. Macam-macam cerita lagi yang membuka ruang hijab bahawa orang yang
mengaku Islam masih perlukan banyak tuntunan melalui dakwah. Sedangkan buku
bagaikan benda ‘asing’ bagi mereka itu.
Akhirnya dalam sesak
MRR2 dan jalan-jalan sisinya, saya bersama tiga sahabat meraikan majlis walimah
di Kg. Dato’ Keramat walaupun di penghujung. Tahniah untuk pasangan mempelai.
Doa saya untuk kalian berdua bahagia sehingga ke syurga-Nya.
Kisah manusia sebagai
ibrah. Sungguh rezeki itu bukan sekadar wang ringgit. Bahkan banyak sisi rezeki
yang boleh diambil iktibar, termasuk persahabatan dan peluang melihat tamasya
kehidupan.
Petang hari itu menjelang
malamnya, mungkin akan terlihat bahang panas tetap panas lantaran beberapa
sebab. Allah Maha Tahu segala. Kita hamba-Nya yang daif. Malaysia negara
tercinta, semoga dikau kekal melindungi anak watan.
Masya-Allah.
Tabarakallah.
“Ya Allah, aku hamba-Mu
yang banyak dosa, aku mengaku. Ampunkan aku ya Rabb.”
Ceritera manusia
ada derhaka, ada ihsan
masing-masing mencari
ruang
untuk sebuah kefanaan.
Mana pilihan
menjadi penentu nyaman
syurga
atau bahang panas
neraka.
Ruang dan peluang
berebutan mencari pengaruh.
Nun di sana... puncak
kelam bahkan hitam
penglipur lara
bertopeng syaitan
memanggil mangsa untuk
ke jurang dalam.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment