Puisi
atau mungkin sajak adalah genre pertama penulisan saya, sebermula di bangku
sekolah menengah bawah (tingkatan 1 - 3). Tatkala itu saya berada di Besut,
Terengganu. Kemudian saya kembangkan minat itu semasa berada di Asrama Felda
Kuala Lumpur, sehingga ke universiti. Di waktu itu saya gunakan nama pena Naga
Buana. Tetapi malangnya, semua catatan puisi atau luahan hati itu hilang entah
ke mana.
Berpuluh
tahun kemudian saya beranikan diri menghantar himpunan puisi untuk sebuah sayembara ITBM. Pastinya waktu itu saya berasakan
mahu lepas tangga pertama barisan penilai pun payah lantaran menyedari begitu
ramai otai atau pakar penulisan puisi yang turut serta. Benar belaka, setakat
menerima surat 'Penerimaan Manuskrip' dari pihak ITBM. Terima dengan senyuman,
Kemudian
cuba menghantar beberapa buah puisi untuk satu pertandingan di bawah penerbit Kata-Pilar
Books. Juga dalam hati terdetik 'tak lepas ni', kerana sedia tahu
siapa di belakang penerbit ini. Nyata benar sekali. Terus bersabar dalam redha menerima komen
dari penilai.
Namun
rezeki untuk melihat himpunan puisi diterbitkan akhirnya muncul. Tuan Shah
Othman, bos Buku
SO bersedia menerbitkannya setelah berbincang ringkas pada satu
acara buku indie di Jalan TAR, Kuala Lumpur. Terbitnya PUISI TAK PUITIS,
dicetak 200 naskhah sahaja.
Dalam
tempoh kurang 2 bulan, ia habis terjual! Wah, siapa sangka! Jangan ditanya
bagaimana saya dan penerbit jual, yang nyata habis. Justeru begitu teruja,
naskhah yang saya ada dijual semuanya... sehingga sebuah pun tiada dalam
simpanan. Apabila saya bertanya kepada Shah Othman, dia kata, "Saya hanya
ada sebuah saja, Pak Web dalam simpanan peti besi."
Dalam
penolakan pihak penerbit terdahulu, saya suakan PUISI TAK PUITIS kepada Tuan Aloy
Paradoks - full, salah seorang penggerak tegar geng buku/puisi
indie. Apa katanya setelah beberapa ketika membelek dan membacanya? "Puisi
abang ini jenis puisi bebas." Dia menerimanya dengan baik.
Pada
ketika lain, saya ambil kesempatan menyuakan buku puisi yang sama kepada otai
seni Tuan Pyanhabib
Rahman (foto). Dia ambil masa membelek dan meneliti. Kemudian dia
menarik saya untuk bergambar, sebelumnya dengan menunjuk tanda bagus kepada
saya.
Saya
puas hati, walaupun mutu PUISI TAK PUITIS tidak setanding dengan hasil
penulis-penuls puisi/sajak lain yang jauh lebih mapan. Dan saya memperoleh
royalti penuh dari penerbit Buku SO, sebaik sahaja buku ini habis dijual.
Licin!
Insya-Allah saya akan terus menukang rangkap-rangkap puisi atau mungkin luahan hati dalam bentuk baris-baris ayat prosa atau puisi. Terkini saya mengumpul puisi LELAKI PEMBAWA BUNGA. Hajatnya mahu diterbitkan dalam versi ebuku (dengan bernombor eISBN dari PNM), yang akan saya hadiahkan kepada pembaca yang sudi secara PERCUMA.
** Insya-Allah, ikhlas dari sang fakir di sisi Allah, WEB SUTERA.
0 comments:
Post a Comment