HIJRAH PEJUANG

Kosa kata ‘hijrah’ mengandungi hikmah yang besar, bahkan amat besar. Rahsianya besar sehingga kita sukar untuk menggali dan mengupas keseluruhannya kemudian mengaplikasi dalam hidup sehari-hari. Walaupun demikian, kita diberi akal. Justeru sama-sama kita gunakan sebaiknya.

 

Kosa kata ini mula digunakan secara meluas semenjak berlakunya hijrah Nabi Muhammad (SAW) dari Makkah ke Madinah. Hijrah berasal daripada kata kerja hajara yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Perkataan bahasa Arab ini secara fizikalnya bermaksud meninggalkan suatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Hijrah Rasulullah (SAW) bersama Sahabat Abu Bakar as-Siddiq adalah suatu perintah agung Allah.

 

Makna hijrah seeloknya selalu hidup dalam diri kita. Peristiwa perjalanan Rasulullah (SAW) itu mesti dijadikan pengajaran dalam setiap usaha kita mentransformasikan setiap jejak, baik mengubah nasib atau menjadi lebih baik. Kita sebagai manusia, apatah lagi umat Islam, wajib melihat penghijrahan Nabi besar itu sebagai ibrah yang direnung dan diamalkan.

 

Perintah hijrah Rasulullah (SAW) dan para Sahabat sebelumnya ialah perintah Allah, bukan dibuat secara suka-suka. Dalam misi itu, Rasulullah (SAW) menerima banyak halangan. Andai Allah mahu, boleh sahaja Dia menerbangkan hamba-Nya itu ke Madinah atau memudahkannya. Namun tidak begitu. Allah mahu agar para Sahabat, Nabi Muhammad (SAW) dan Abu Bakar as-Siddiq berusaha gigih.

 

Rasulullah (SAW) berkata, “Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!” 

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Maksud hijrah dalam hadis di atas ialah berpindah dari Makkah ke Madinah dan bebasnya Makkah dari orang-orang Mursyik yang tidak beriman. Justeru peristiwa itu sudah berlaku, maka umat Islam tidak lagi dituntut supaya meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Dua-dua negeri itu sudah menjadi Islam.

 

Jadi apakah bermakna kita tidak perlu berhijrah lagi? Apakah masih ada hijrah untuk menjadi lebih baik atau bagaimana? Melalui pembacaan saya, sebenarnya hijrah mempunyai dua pengertian:

 

(1) Hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain atau dari suatu tempat ke tempat yang lain.

(2) Hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya atau berubah kepada yang lebih baik.

 

Inilah hijrah hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani seorang pejuang. Perkataan hijrah mengandungi elemen, ‘dari’ dan ‘ke’ atau ‘daripada’ dan ‘kepada’. Jadi hijrah hati para pejuang bermaksud berubah daripada cinta kepada selain Allah kepada cinta hanya kepada Allah, daripada sikap bergantung kepada makhluk kepada berharap kepada Allah. Ia juga bermaksud daripada takut, berharap dan bertawakal kepada selain Allah kepada takut, berharap dan bertawakal kepada Allah Azza Wa Jalla.

 

Ulama Ibnu Qayyim berkata, “Hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya. Manakala hijrah kepada Rasulullah (SAW) ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.”

 

Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As melaporkan, Nabi Muhammad (SAW) berkata, “Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.” 

(Hadis riwayat Ahmad)

 

Dalam al-Quran Allah menegaskan: “Dan (Tuhan tegaskan lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” 

(Surah al-A’raf, ayat 96)

 

Tidak selamanya harus pejuang berada di takuk lama yang tidak atau kurang baik. Kita sebagai pejuang perlu berubah, mesti berhijrah.

 

Pejuang mesti mahu berubah dan melaksanakan transformasi. Perubahan juga ialah islah, yakni berubah daripada keadaan semasa yang kurang baik kepada lebih baik, seterusnya menjadi hamba Allah yang cemerlang.

 

Saya mahu menasihati diri sendiri dan mengajak teman-teman pembaca, bahawa yang lebih utama ialah kehidupan selepas mati. Justeru mati itu bukan penamat, melainkan sebuah permulaan. Pejuang ingin hidup damai di akhirat, dan selesa di dunia.

 

Allah ciptakan dunia dan isinya bukan sia-sia, melainkan untuk diambil ibrah, iktibar, pengajaran dan dilestarikan oleh setiap manusia tanpa mengira di mana dan bangsa apa pun jua.

Berjalan, melihat, mentaakul dan kemudian belajar. Itu suruhan Allah dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad (SAW).

>> Saya Web Sutera, seorang novelis dan penulis yang sudah menghasilkan 34 buah karya yang dibukukan, bergerak aktif menulis semenjak tahun 2010.

Bersama saya beberapa judul karya yang ada stok. Andai sudi atau mahu berkenalan, saya berbesar hati andainya tuan/cikpuan dapat memiliki karya-karya saya itu. Setiap buku akan ditandatangan. Hubungi saya ya, melalui Facebook atau di sini. Ada pakej atau kombo menarik dengan diskaun hebat. Insya-Allah benda boleh bincang.

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger