Alahai Musim Raya Alahai Pilihan Raya Kecil - Pyanhabib

Pyanhabib (tengah berbaju kemeja putih) di rumah novelis Ramlee Awang Murshid pada 14 Syawal 1430H, menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang disajikan oleh Lusiana Catering

Terasa baharu sahaja pemegang mohor raja-raja Melayu - yang saban tahun muncul di kaca TV, yang barangkali sudah lama melakukan tugasan ini, lama sebelum Malaysia kenal TV warna, gamaknya - umum 1Syawal jatuh pada Sabtu, 20 September.


Terasa rendang daging lembu baharu disendukkan dari kuali dan lemang raya baharu masuk ke mulut dan baharu sahaja hendak turun mencair ke perut.


Syawal masih tersangat awal dan Hari Raya masih sangat seronok untuk dirayakan.
TV terus-terusan berkeliaran dengan program hiburan dan berselirat dengan drama Hari Raya yang balik-balik muka itu-itu juga.

Di atas highway, berita melaporkan orang mati balik raya tidak pernah berkurang!


Dalam suasana inilah, dua gerombolan gedebe politik yang sentiasa bercakar sejak dahulu, kini dan selamanya, umumkan calon masing-masing untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.


Pengumuman ini terasa sedikit lain, kerana ia berlangsung dalam bulan raya di mana sebahagian daripada musuh, gedebe dan pencacai masih lagi berjabat salam meraikan semangat Aidil Fitri tanpa mempedulikan mereka pernah dan akan bermusuhan.


Semangat berhari raya ini sedikit sebanyak melupakan sejenak fobia pilihan raya kecil yang tidak habis-habis merasuk kepala orang politik segala peringkat hingga kepada tukang buka pintu kereta, tukang angkat beg dan tukang tekan butang lif.


Pantang ada Yang Berhormat sakit pening, apatah lagi sakit jantung! Macam selalu, strategi disusun, propaganda diatur, jentera digerak, kemudahan diperguna sebaik-baiknya dengan satu tujuan: Kuasa!


Dalam pilihan raya, menyeranah, menabur janji atau seliparkan musuh adalah dihalalkan. Sejak azali, orang-orang kampung adalah mangsa yang halal dan sasaran terbaik segala dakyah dan dakwah politik, yang sangat-sangat diperlukan sewaktu pilihan raya (ulang: sewaktu pilihan raya!).


Kerana terlalu kerap berlangsung pilihan raya kecil dalam jarak masa yang singkat, ada rakan berkata, Malaysia negara yang kaya pilihan raya tetapi, balik-balik pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri.


Dalam jenaka mereka bertanya, selepas ini siapa pula wakil rakyat - atau ahli Parlimen - yang mati?


Bayangkan kalau selepas ini tiba-tiba giliran Yang Berhormat ahli Parlimen (hemm...) mati mengejut, letak jawatan atau lompat katak dan bukan ahli Dewan Undangan Negeri!

(Pyanhabib
pernah berkhidmat sebagai penulis di ruangan sastera Utusan Malaysia tetapi kini beliau menulis ikut kepala otaknya sendiri.) (Sumber asal: mStar Online.)

0 comments:

LUSIANA CATERING: HALAL food and catering services.

Komentar dari pembaca di Goodreads | This is one good book. I’ve read one by this author before,Perang Armagedon, which...

Posted by Web Sutera on Friday, 4 March 2016

Copyright © 2013 - WebSutera.com - is proudly powered by Blogger